Showing posts with label Makanan. Show all posts
Showing posts with label Makanan. Show all posts

Friday, 1 July 2016

Banana tart and banana puff - my style

Pada awal Ramadhan hari tu, mama ada bagi pisang. Ndak tahu suda mo di buat apa pisang tu (seperti biasa) haha Beberapa hari mama sudah bikin bubur Mama cakap. Pigi masjid pun sudah di bawa bubur pisang tu. Tapi pisang ni masih banyak lagi. Jadi, aku bawa balik ini jadinya pisang tersebut. Mulanya buat banana tart sebab pastri sangat lembut, ndak buli di canai. Anak-anak buah pun suka. Minta bikin lagi.

Sekali bikin kali kedua, ini pula jadinya. Banana puff.haha Resepi main masuk-masuk ja. Ini lah jadinya. Yang penting jadi juga ya



Thursday, 23 June 2016

Acar Buah

Kalau Acar buah ni jadi makanan wajib yang mesti ada di rumah semasa Hari raya, biasanya Hari Raya Aidilfitri. Selalunya mamalah yang masak ni. Kami ni tolong-tolong ja, potong2 bawang, buah dan sebagainya. Proses menyediakan bahan-bahan ni kadang memakan masa 2 hari. hihi Banyak yang mahu di potong kan. Tetapi, memasaknya sekejap ja... kalau semua bahan telah tersedia.

Bahan-bahannya :



 




250gm atau lebih kurang 1 paket besar serbuk kari (Babas)
1/2 kg halia (dihiris)

11/2 kg bawang merah (dibelah 6 atau 4)
1/2 kg bawang putih (dibelah 3)

2 gelas cuka 
Minyak masak untuk menumis.
Pelbagai jenis buah-buah kering (dalam 10kg) di potong dan dikelar2 (jika ada biji)
 Untuk buah-buah kering ni, buah pala (1/2 kg), prun, limau kasturi, limau oren (kering) mesti ada. Jika tiada limau ni, ndak sedap.  Untuk mencantikkan masakan ini apabila siap di masak, pastikan buah ceri ada pelbagai warna (merah , hijau dan kuning).
Garam (5 sudu besar) - di rasa juga semasa memasak

1/2 kg lada kering (direbus dan diblender)




 

Jika kesemua bahan-bahan nya telah tersedia, maka mula lah menumis / memasak. 


Cara membuat nya: 
1. Panaskan minyak, masukkan bawang merah, kemudian bawang putih dan halia.
2. Masukkan kari (yang telah dicampur dengan air), lada kering dan cuka.
3. Masak sehingga naik minyak. Kemudian masukkan garam, buah-buahan kering dan buah pala.
4. Masak lagi sehingga kering. Kemudian masukkan buah-buahan bulat (ceri hijau, merah dan kuning).
5. Masak sehingga naik minyak iaitu lebih kurang dalam 40 minit.

Thursday, 19 May 2016

Butter Cake


Resepi Butter Cake: 


Bahan-bahannya:
200 gm tepung biasa (saya guna tepung naik sendiri)
250 gm unsalted butter (saya guna Buttercup ja)
2tbps serbuk penaik
200 gm gula kastor
4 biji telur
60ml susu (saya guna susu segar)
1/2 tsp garam (gunakan secubit sahaja atau jangan letak langsung sebab nanti terasa kek tu masin, lebih-lebih lagi kalau butter yang kita gunakan sudah ada garam).
11/2 tsp esen vanilla

Cara membuatnya:
1. Pukul butter dan gula hingga kembang dan sebati.
2. Masukkan telur, susu, dan esen vanilla
3. Ayak tepung dan serbuk penaik dan masukkan ke dalam adunan.
4. Gris loyang dan masukkan ke dalam loyang sebelum di bakar di oven.
Jangan lupa panas kan oven dulu sebelum masukkan loyang. Bakar selama 30 minit.
Siap.



Thursday, 7 April 2016

Banana Cake

Untuk resepi banana cake ni saya ikut resepi ini Chocolate Chip banana muffin resepi

Yang dalam gambar tu saya kehabisan coklat chip. jadi, apa yang saya buat saya ambil coklat bar potong kecik-kecik.... hahah Untuk nampak banyak, boleh tambah bahan-bahan untuk 2 adunan. Jadi, memang sesuai dibakar dalam loyang pembakar yang besar sikit. Nampak banyak lah... tadaaa




Bingka Ubi Kayu

Dulu di halaman rumah kami ada tanam ubi kayu. Jadi, kalau sudah dapat hasilnya, banyak ubi tu di rumah. Rebus sudah, di bubur sudah. Ni satu resepi bingka ubi kayu. Boleh cuba ya...

1kg ubi kayu (dikupas kulit dan diparut - selalunya saya tidak sukat berapa banyak. Yang penting boleh muat satu adunan tin kek tu
1 biji kelapa (di buang kulit arinya dan diparut)
2 biji telur
250 g gula (jangan manis sangat, boleh kurang kan jika mahu kurang manis)
45g mentega dicairkan
1/2 camca teh esen vanilla
30gm tepung dan 1 camca teh serbuk penaik - di ayak (ada juga orang tidak letak tepung tapi saya letak ja sikit. Saya letak tepung supaya keras sikit bila sejuk. Tidak terlalu lembut.
1/2 camt garam

Cara-cara membuatnya : 

  1. Ketepikan separuh kelapa yang telah diparut. Perah baki kelapa itu untuk mendapatkan santan.
  2. Pukul gula dan telur hingga kembang dan pekat. 
  3. Masukkan ubi kayu yang telah diparut, kelapa yang diketepikan tadi, mentega, esen vanilla, dan pati santan. kacau hingga rata.
  4. Masukkan tepung dan garan dan gaul sehingga sebati. 
  5. Masukkan ke dalam acuan pembakar kek. Jangan lupa sapukan mentega atau minyak supaya tidak melekat. 
  6. Bakar dengan suhu 400 F selama setengah jam. Kena tengok juga ya. Saya suka masak di suhu yang rendah, perlahan-lahan masak dan selalu tengok kalau sudah masak ke tidak. Macam masak kek tu, guna lidi untuk tengok melekat ke tidak jika mo tahu sudah masak ke belum. 
Mak dan suami suka bingka ubi ni... Sebab tu rajin juga buat kalau ada ubi kayu di rumah. Sorry tiada gambar. Kalau buat lagi nanti saya ambil gambar wokey...

Selamat mencuba!


Tuesday, 5 April 2016

Kuih Lada

Ada yang berminat untuk beli kuih lada? Kuih lada ni tidak pedas tetapi manis rasanya. Sesiapa mo order boleh lah tinggalkan pesanan ya. Ni adik ipar yang buat, bukan saya yang buat. Jadi, resepi dia saya kurang pasti pulak haha  RM10 satu balang untuk sesiapa berminat.


kuih lada

Ni tolong buat promosi ni, sebab dia mahu buat rawatan. Ada lagi kuih-kuih lain dia buat tapi tiada gambar. Mana tahu ada yang mahu beli sambil sedekah pada orang yang dalam kesusahan kan.

Kita doakan dia akan sihat sejahtera hendaknya dan berjaya menjalani rawatannya dalam bulan November tahun ini. Insya Allah. 

Thursday, 24 October 2013

Makanan yang jarang-jarang di makan

Apa makanan yang jarang-jarang atau pelik sikit di makan? Semasa Raya Haji baru-baru ni saya ada termakan karipap mihun. Mahu cakap pelik, mungkin ada yang biasa suda kan. Tapi, memang makanan ni saya ndak pernah rasa. Ia memang rasa karipap lah, tetapi intinya mihun.  First time rasa karipap mihun. Adakah kerana kehabisan inti sudah, maka mihun pun boleh jadi inti karipap juga.... Apa-apa ja lah kan. Yang penting boleh di makan.


Makanan kegemaran

Apakah makanan kegemaran kamu? Biasanya makanan kegemaran saya ialah makanan yang di masak oleh ibu saya. Masakan ibu lah makanan yang paling sedap.... hehe Saya suka makan soto (yang mama masak k), begedil, sambal tempe, sambal kerepek ubi.... hmmm apa lagi ya, oh ya, belacan. Kalau makan nasi, mesti mau cari belacan.... baru lah kenyang dan puas kalau makan. Kerabu mangga, kerabu pucuk paku dan pecal juga sedap. dan... banyak lah lagi, ada yang ndak ingat pulak.



Makanan kegemaran suami saya ialah ikan yu masak sagol. Hujung minggu yang baru lepas, kami ke tamu Kota Marudu untuk mencari ikan yu. Yang ada cuma 4 atau 5 ekor sahaja tetapi besar-besar botol air mineral yang kecil tu.... Kami beli ja lah sebab memang tiada lagi, itu ja lah yang ada. Supaya tidak kempunan, orang cakap, kami pun beli lah.


 Semasa di tamu tu, kami ada beli kepala ikan manyung juga. Balik rumah, belah dua, dan masak ampap pedas-pedas sikit. Itulah makanan kegemaran suami ku juga. Nak tahu ikan manyung, di bawah ni ada gambar ikan manyung. 


Minuman pulak, saya suka kicai ping dan suami suka bandung laici. Tapi air putih lah yang paling sedap kan.... hahaha dan berkhasiat. 

Ok lah teda apa yang mau diupdate di blog ni.... itu ja lah

Wednesday, 25 September 2013

Claypot

Suatu malam, suami ku ingin sangat mau makan ABC. Ye lah, selalunya ABC ni famos semasa bulan puasa atau bulan Ramadhan sahaja, terutama di bazaar Ramadhan. Kalau hari-hari biasa, susah sikit mahu dapat, kecuali di tempat-tempat yang biasa menyediakannya. Malam tu, disebabkan teringin sangat mahu makan, kami pun pergi lah ke gerai di Putatan dekat Giant Supermarket tu. Tujuan memang mahu makan ABC sahaja. 



Sesampai kami di sana, kami pun duduk dan seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan makanan kami. Kami pun memesan ABC. Pelayan tersebut bertanya, samada mahu pesan makanan. Kami menyatakan itu sahaja dan tidak mahu makan apa-apa.  Tetapi pelayan berkenaan seperti mahu juga agar kami memesan makanan, maka kami pun memesan sotong kangkung. Ok dia maklumkan dengan senang hati. Tidak lama selepas itu, pelayan tersebut datang semula ke tempat kami dan memaklumkan yang kuah untuk sotong kangkung telah habis. Maka kami pun, cakap ndak apa, kami hanya makan ABC sahaja.

Tidak lama selepas itu, pelayan berkenaan datang semula ke tempat kami dan menyatakan mereka ada menyediakan menu dan memberikan kami menu, seperti mahu kami memesan sesuatu. Mahu, tidak mahu, kami pun memesan claypot. Pelayan tersebut pun membawa menu yang diberikan tadi dan berlalu dengan senang hati. Seketika kemudian, pelayan tersebut, datang semula ke meja kami.... "Pakcik, katanya, kami tiada piring untuk claypot, katanya". hmmm ndak apa lah kami katakan. Kalau tiada, ndak payah lah, kami katakan. Tadi pun kami hanya mahu makan ABC sahaja. "Tapi pakcik, kalau pakai piring biasa boleh kah?". Aku hanya tersenyum.... hmmm Rasa mahu tergelak di situ juga. ok boleh lah, suami ku katakan. Piring apa pun boleh lah.... Kemudian datang tukang masak dia ke meja kami, dan bertanyakan samada boleh kah tidak menggunakan piring biasa sahaja. Kami tiada masalah, dan katakan ok sahaja.

Selepas mereka berlalu pergi. Suami ku pun katakan, selepas ni apa lagi yang tiada. hmmm Kalau tahu tadi bagus juga bawa gelas dan piring sendiri untuk makan di sini ya... hahaha aku cuma tergelak sahaja. Begitulah kan, kesian juga orang kita, kita orang ni, mahu berniaga, tetapi, masih banyak yang tiada dan kekurangan kan. Kalau tiada, jangan lah di letak di menu. Mahu marah pun ndak jadi, kami hanya tergelak bila "claypot" tersebut sampai.... Boleh lah, di piring pun ok juga, bukan semestinya di pot tanah liat kan...  Yang penting isinya, bukan luaran nya sahaja.

Sunday, 21 July 2013

Kerepek Sukun

Tahu buah sukun? Pernah tak makan buah sukun? Sesapa yang tak pernah makan buah sukun tu, ha rugi lah tak pernah menikmati salah satu lagi nikmat dunia. hehe Pokok sukun ni, tinggi kalau sudah matang. Bila pokoknya tinggi, jadi buah-buahnya pun tinggi-tinggi lah kan. Daunnya besar-besar. Buahnya juga besar macam buah kelapa. 

Selalunya buah sukun ni, boleh juga di buat sayur masak lemak kalau buahnya tu belum matang. Kalau cukup matang, selalunya di goreng begitu sahaja ataupun digoreng dengan tepung (macam goreng pisang tu). Kalau sudah terlebih masak, boleh pulak di buat jemput-jemput. Kalau terlebih masak, rasanya manis-manis sikit. Memang sedap dibuat jemput-jemput.  Tak perlu letak gula.

Selain dari yang disenaraikan di atas, buah sukun ni boleh juga di buat kerepek. Selalunya kalau nak di buat kerepek, kenalah parut sukun tu nipis-nipis. Kerja memarut ni, nampak ja senang, tapi kalau buat, susah juga. Kalau parut tidak sekata, tidak lah cantik. Nampak hancur. Kalau silap sikit, boleh patah pemarut tu. Jadi, untuk memarut sukun ni, mesti ada skil. 

Kerepek sukun ni, sedap di makan di depan TV. Kalau makan ja, tak sedar dah habis....

Dirumah mak, ada 2 ja pokok sukun ni. Tapi buahnya ni bermusim. Kalau musim buah sukun, sampai kepuasan makan buah ni. Sebab, sekali berbuah, buahnya memang banyak. Sebelum ni, kalau musim buah sukun, kami akan memberi kepada sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Tetapi, sejak mak membuat kerepek sukun ni, kami pun mulalah menjual kerepek berkenaan. Setakat ni, ada lah sikit-sikit hasil sukun tu. Sesapa yang berminat nak mengorder kerepek sukun ni, ha, jangan segan, jangan malu, bagi tahu ja bila-bila k. 


Oh ya, ada satu lagi yang selalu mak buat dari sukun ni.... iaitu puding sukun. Setakat ni, belum ada gambarnya, nantilah kalau sudah ada gambar saya akan upload. Puding sukun ni pun kalau nak order, boleh juga, bagi tahu ja. Sesapa yang tak pernah rasa ni, memang sedap, sampai menjilat jari...hehe Semasa bulan Ramadhan ni, kalau mak sihat, mak akan buat, dan adik saya menjualnya di bazaar Ramadhan di Kepayan. Sesapa yang nak rasa, yang malu nak order, boleh cari kat sana k.

Tuesday, 16 July 2013

Bubur lambuk

Tahu bubur lambuk? Di Sabah, bubur lambuk ndak berapa famos. Ada tu memang ada lah. Tapi tidak lah macam di Semenanjung. Walaupun begitu, ianya semakin dikenali dan disukai juga. Aku memang suka juga makan bubur lambuk ni. Mungkin sebab ada rempah ratus yang dicampur dalam bubur tersebut. hmmm ok lah. Dulu semasa di Semenanjung, selalu juga makan bubur lambuk ni. ye lah kan, selalunya, dibahagi-bahagi di masjid semasa iftar atau murih. 

Kelmarin, semasa hendak balik ke rumah selepas waktu Asar, limpas di hadapan masjid melihat anak bulan, Masjid Al-Hilal Tg Dumpil, ada beberapa budak sedang mengagihkan bubur lambuk. Ingatkan apa yang diagihkan sebabnya, budak-budak tu melambai-lambai agar kereta yang lalu lalang di situ berhenti, agar membolehkan mereka memberi bubur tersebut. Bila limpas ja, ingatkan tak mahu berhenti, tetapi, bila tengok diaorang agihkan bubur lambuk, saya pun berhenti lah juga. Budak tu berlari-lari memberikan bubur lambuk tersebut. Alhamdulillah. Dah lama juga tak makan bubur lambuk. Dapat lah berbuka puasa dengan bubur lambuk kemarin. 

Di rumah, suami memang tak berapa suka dengan bubur atau bubur nasi. Jadi, saya dan seorang anak saya sahaja yang habiskan bubur lambuk tersebut. Kalau ada daging dalam bubur lambuk tu lagi sedap.... hehe 

ok lah itu ja nak beritahu pasal bubur lambuk ni. Tapi kalau makan bubur ja semasa berbuka dan sahur pun makan bubur lambuk juga... ha, nanti tak bermaya pulak. Kena lah juga makan nasi kalau nak elak rasa lapar masa berpuasa ya. Ok, selamat berpuasa kawan-kawan dan selamat berbuka puasa. 

Friday, 28 June 2013

Kek batik

Membuat kek adalah salah satu terapi otak yang baik. Ia dapat menenangkan kita di kala kita stress atau tekanan. Ni ada satu lagi resepi yang selalu saya buat terutama semasa raya atau stress. 



Bahan-bahan: 

170 gm butter
1 tin besar susu pekat manis
1 gelas gula
11/2 gelas milo
1 gelas air
3/4 gelas nestum
3/4 gelas koko
1 sudu kecil esen vanilla
4 biji telur
1 packet biskut marie (di belah 4) 

Cara membuatnya: 

Masukkan semua bahan (kecuali biskut marie) dalam periuk yang agak besar dan panaskan di atas api. Api jangan kuat atau besar sangat, sebab, kalau mendidih, meletup-letup atau memercik ke tangan. Semasa panaskan di atas api, jangan lupa untuk mengacaunya supaya tidak melekat atau tidak berkerak di periuk tu.... Kacaulah ia sehingga pekat. Kalau mahu tahu pekat atau tidak adunan kita tu, kita angkat sikit guna senduk. Kalau cepat ja jatuh tu, masih belum pekat lagi. Tetapi kalau adunan tu lambat jatuh, ha, ok lah tu, dah pekat. Selepas tutup api, biarkan sejuk. 

Kalau adunan tadi dah sejuk, baru masukkan biskut marie yang telah di belah 4. Kemudian, masukkan dalam pembakar tin yang telah digris dan diletakkan kertas minyak. Ratakan. Lepas tu bakar lah di oven lebih kurang 30 - 40 minit. Jangan lama sangat, nanti hangus pulak. 

Selalunya saya buat kek ni dalam 3 adunan. Jarang lah buat satu adunan ja. Kadang tu saya ambil tempahan juga. Kalau ada sesiapa yang nak order pun boleh juga. Setakat ni, satu adunan RM60 ja. Ada sesiapa nak order?  


Ok selamat mencuba membuat kek batik. Kalau sesiapa yang suka coklat, kek ni memang sedap. Tapi memandangkan sekarang ni, kita kena juga jaga kesihatan kita, kalau nak kurangkan manis, kurangkan lah gula atau susu pkat. Tetapi selalunya saya kurangkan gula lah....



Wednesday, 26 June 2013

Chocolate Chip Banana Muffin

Ada sesiapa nak try buat chocolate chip banana muffin / cupcake ? Cuba resepi ini. Saya dah buat beberapa kali, memang sedap sebab dia moist.

Bahan-bahan : 

1 3/4 cawan tepung serbaguna gandum
3/4 cawan gula (kalau tak mau manis, kasi kurang 1/2 cawan sahaja)
1 camca teh baking powder
1 camca teh baking soda
1/2 camca teh garam
1 biji telur
1/2 cawan minyak (boleh kurangkan 1 sudu) atau boleh guna butter juga yang telah dicairkan
1/2 cawan plain yogurt
1 camca teh esen vanilla
1 cawan pisang yang telah dilecek
3/4 cawan chocolate chip

Cara-cara membuatnya: 

1. Dalam mangkuk yang besar ayakkan tepung bersama baking powder, soda dan garam. Kemudian masukkan gula dan chocolate chip. Gaul rata.

2. Dalam bekas yang lain, satukan minyak, telur, yogurt, pisang dan esen vanilla. Gaul rata.

3. Kemudian masukkan adunan pisang ke dalam mangkuk tepung tadi. Gaul sekadar bersatu sahaja.

4. Sendukkan ke dalam paper mufin atau cup cake dan bakar pada suhu 180C sehingga masak.

Tada...senang kan. Ok, buat banyak-banyak dan sedap-sedap ya. Selamat mencuba.

Monday, 27 May 2013

Makanan pelik tapi sedap

Apakah makanan pelik-pelik yang pernah kamu makan? Keluarga saya sederhana sahaja. Kami jarang makan makanan yang pelik-pelik, kami selalu makan ikan goreng dan sayur sahaja. Yang penting mesti ada sambal kicap. Tetapi sejak saya berkahwin, banyak makanan yang saya tidak pernah makan, saya telah cuba makan. Suami saya berbangsa Bajau Samah. Ok, mari saya senaraikan makanan-makanan yang jarang-jarang saya makan sebelum ni, tetapi menjadi makanan ruji pulak selepas berkahwin.... haha 

1. Sagol

Sagol ni makanan kegemaran suami saya. Ia adalah ikan yu yang di masak tumis dengan bawang, air asam jawa, halia dan yang paling penting kunyit hidup. Sebelum di masak, ikan yu ni di celur dulu dengan air panas, buangkan pasir-pasir dari permukaan kulitnya. Sudah licin dan bersih, baru lah tumis bawang, halia, kunyit yang telag ditumbuk lumat. Lepas tu masukkan lah ikan tadi dan air asam jawa, leraikan lah isinya dan akan jadi seperti di bawah ni. Kalau dah kering, masak lah tu. Jangan lupa letak garam dan serbuk perisa pulak.



Bau dia hanyir sikit. Kalau ndak biasa makan, memang ndak pandai makan lah.Pernah semasa saya dan suami masih lagi tinggal bersama keluargaku, suamiku teringin makan sagol. Selepas masak dan makan, kami pun simpan sagol di atas meja makan. Malangnya, bila mak dan bapaku jumpa makanan tersebut, dibuangnya untuk dimakan oleh kucing oleh kerana makku ingat ianya telah berbau dan tidak boleh dimakan lagi. Sebenarnya, memang begitulah tu baunya.

2. Hati ikan yu 

Hati ikan yu ni, memang saya tidak pandai makan. Isi ikan yu ok lagi, tapi hati dia lagi hanyir sikit lah. Kalau nak juga makan, kena campur dengan nasi. Khasiat hati yu ni memang banyak, begitulah mentuaku selalu cakap. Kemungkinan kapsul minyak ikan yang dihasilkan  ada yang dari ikan yu tak? Selalunya hati ikan yu ni akan di masak dari wap nasi atau wap semasa masak sagol di atas. Letakkan di mangkuk dan masukkan di atas sagol atau nasi, dan masak.

hati ikan yu yang distim


3. Kima 

Kima adalah sejenis hidupan laut. Kalau bernasib baik, memang ada mutiara di dalam cengkerang kima ni. Tetapi saya tidak pernah pulak jumpa mutiara di dalam kima ni. Adik ipar ku yang sebelum ni berniaga kima memang selalu jumpa mutiara.


Cara untuk masak kima ni, selalunya saya akan masak kicap sahaja. Tetapi ada juga yang cakap, kalau masak kari sedap juga. Saya tidak pernah pulak cuba. Yang pastinya kima ni pun hanyir juga. Kalau ndak tahan baunya, memang tidak berselera untuk makan.  Isi kima yang berwarna putih juga sedap. Kadang kala ianya dijual berasingan.


4. Rumpai  laut

Ni makanan yang saya sangat suka. Saya panggil rumpai laut anggur. Macam buah anggur kan. Suami panggil, lato. Senang ja cara makan benda ni. Petik ja dari tangkai besar (serumpun), lepas tu cuci bersih-bersih, kena 2 atau 3 kali cuci sebab berpasir. Sudah cuci, perah limau, letak garam dan serbuk perasa secukup rasa, makan lah. Boleh letak mangga mentah. Jangan lupa letakkan lada padi. Sedap nya. hehe


OK, setakat ni, itu sahaja dulu yang dapat saya ceritakan mengenai makanan yang menjadi kegemaran keluarga sebelah mentua saya. Lama-lama saya pun jadi suka juga makanan tersebut. Pada mulanya memanglah pelik. Tetapi makanan tersebut walaupun pelik bagi saya tapi sedap juga.