Monday, 3 June 2013

Rumah atas air

Pernah menetap/tinggal/menginap/tidur di rumah atas air? Tidur bermalam di rumah atas air sangat menenangkan dan nyaman. Kadang-kadang sampai ndak mahu bangun sebab siok, sejuk sangat di awal pagi. Dengan bunyi alunan air atau kocakan air di bawah rumah, seperti muzik dalam mimpi. haha Selalunya rumah atas air ni rumah papan. Rumah atas air ni biasanya didirikan di sepanjang pesisir daratan. Kawasan yang banyak terdapat rumah atas air ni di Sabah adalah di kawasan Kudat, Sandakan, Tawau, Semporna. Kalau dulu di kawasan Sembulan pun terdapat banyak rumah atas air ni, sebelum adanya Sutera Harbour. Tetapi sekarang sudah berkurangan. 

Walaupun pada sebelah malam, rumah atas air ni sejuk dan nyaman, tetapi jika waktu tengahari, keadaannya sangat panas.  Air laut disekelilingnya akan menyebabkan udara menjadi panas dan menyebabkan kepanasan yang dirasakan seperti melekit dan menggigit di kulit. Rasa macam mahu buka baju sahaja.... haha Kipas juga tidak dapat menyejukkan. Dengan pantulan matahari dari zink rumah lagi akan menyebabkan kita rasa tidak tertahan. Tetapi orang-orang atau penduduk rumah atas air telah biasa dengan keadaan tersebut.

Rumah makcik saya dahulu didirikan di atas air di kawasan Sembulan, dekat dengan Tugu Tun Fuad Stephens, mantan Ketua Menteri Sabah. Pada masa tu rumah tersebut adalah rumah yang paling hujung sekali. Macam dekat saja Pulau Gaya tu. Rumah mentua saya juga di atas air, di Kudat. Rumah-rumah atas air ni dihubungkan antara satu dengan lain dengan jambatan kayu. Saya suka duduk di jambatan kayu tersebut, sambil membiarkan kedua-dua kaki mencecah air laut, jika air pasang. Dengan hembusan bayu yang menyapa mukaku, sungguh menyamankan. Terdapat kenangan di atas jambatan tersebut. 

Pada suatu hari, salah sebuah rumah di atas air tersebut telah dijilat api. Asap berkepul-kepul di udara. Kami yang jarang-jarang melihat rumah terbakar pun, semua keluar dari rumah dan berkerumun di atas jambatan kayu agar membolehkan kami melihat keadaan rumah yang terbakar selang 3 atau 4 baris dari kawasan kami. Sedang kami leka melihat rumah tersebut kami terlupa yang jambatan di mana tempat kami berdiri tersebut telah rapuh kayunya. Dengan tidak semena-mena kami terdengar bunyi "prak" dan jambatan itu pun patah dan lebih kurang 5 orang kami telah jatuh di atas air. Ada yang luka-luka tetapi tidak parah. Nasib baik air laut surut, tidaklah kami hanyut di bawa arus. 

Kalau dulu keadaan air laut di kawasan perumahan ini sangat bersih dan jernih. Jarang kita dapat lihat sampah sarap. Kalau air surut boleh mencari siput atau kelah. Jika air pasang pula boleh mandi manda, terjun dari jambatan. Tetapi sekarang, rata-rata di seluruh kawasan perumahan atas air ni nampak kotor. Pelbagai jenis sampah boleh dilihat. Kalau dulu di kawasan Sembulan, di setiap masuk jambatan akan disediakan tong besar berwarna hijau. Tetapi, di Kudat, tempat perumahan mentua saya, tiada disediakan tong sampah. Oleh itu, semua penghuni rumah akan sesuka hati membuang sampah di bawah atau di luar rumah atau di atas air. Disebabkan tandas rumah di atas air ni, tandas lubang, makanya najis pun di buang di atas air juga. Oleh yang demikian, di sekitar bawah kawasan tersebut terutama rumah-rumah yang berhampiran dengan daratan akan dipenuhi dengan sampah sarap. Memang sakit mata memandang.

Saya pernah membuat kajian mengenai rumah atas air di kawasan Sandakan dan Tawau. Dari segi keselamatan, rumah-rumah tersebut memang boleh mengundang pelbagai masalah sosial seperti pengedaran dadah, senjata api, mencuri bekalan elektrik dan air. Keadaan rumah-rumah di sana juga sangat rapat / berdekatan antara satu dengan lain. Jika berlaku kebakaran, memang amat senang ia akan merebak ke rumah lain yang berhampiran. Dengan peristiwa yang berlaku di Semporna mengenai pembunuhan anggota polis di kawasan rumah atas air ni membuktikan lagi keselamatan di kawasan perumahan tersebut tidak dapat ditangani dengan mudah.

Rata-rata penduduk di rumah atas air ini adalah nelayan. Sumber pendapatan mereka adalah ikan dan sumber-sumber lain dari laut. Adakah isu-isu ini akan berterusan lagi dalam tempoh 10 - 20 tahun akan datang? Boleh kah ia menjejaskan sumber makanan kita dari laut dalam jangkamasa tersebut? Apakah peranan majlis daerah dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan rumah atas air ini? Fikir-fikir kan.....

rumah keluarga di tambisan

5 comments:

  1. Rumah kampung air ni..jarang ada yg bersih..mungkin sbbnya belum ada mekanisma pengurusan sampah yg sistematik diwujudkan khusus untuk penduduk yg tinggal atas air ni...sekiranya PBT wujudkan kaedah pembuangan sampah..perlu mengambil masa untuk mendidik masyarakat kita untuk menerima pakai sistem tersebut..taulah..sudah biasa buang sampah ikut tingkap..hehehe..lagi satu...sistem tersebut mestilah mempunyai kesinambungan yg baik contohnya bila..dimana..siapa...ke mana..apa..yg terjadi kepada sampah kita tu..bukan setakat kutip pastu buang tempat lain pulak..langsung tidak menyelesaikan masalah seperti yg terjadi sekarang ni..hehehe...minta maaf ye..kalo melawat ke kg air aku sudah ada sentiment khusus di minda aku..mesti kotor..direct discharge..ada jackpot terapung..dan mcm2 lagi..bukan sombong..ok..aku pun budak kampung jugak...aku ada banyak memori di kg air camni...sbb kg sebelah mak aku sebahagian besar tinggal di atas air..jd kalo memancing melalui lobang rumah orang tu..sangatlah seronok..kejar fiddler crab..main2 perahu..ikut belajar memukat...pasang bintur..semuanya masih segar dlm fikiran aku..hehehe...pulang kena rotan sbb cabut lari ikut budak2 kampung sampai lupa pulang rumah...muka jadi hitam legam sbb seharian berpanas..hehe..jd kesimpulannya..aku sebenarnya sedih tgk kampung2 mcm ni...aku harap generasi akan dtg dpt jugak menikmati keseronokan yg tersembunyi disebalik timbunan sampah sarap tu...aku teda penyelesaian mengenai perkara ini...yg ada cuma harapan..supaya semuanya akan pulih seperti sedia kala suatu hari nnt...k.tu jak..bye.

    ReplyDelete
  2. Ya setiap kali aku balik kg. mentua, aku macam mau buat sesuatu dengan sampah sarap di bawah rumah tu. Tapi masalahnya aku pun ndak tahu mau buat apa. Bagaimana dan macamana penyelesaian yang paling baik. Last-last tengok ja lah budak-budak tu bermain badminton di sampah sarap tu. Mungkin mahu tunggu sesuatu berlaku di kawasan rumah kampung air ni... baru lah kan organisasi yang terlibat kelam kabut cari jalan penyelesaian. Ya lah kan, aku pun mahu berharap lah juga, harap agar agensi-agensi yang berkaitan mengambil berat mengenai hal ini. Tapi, bukan kah isu ini ada kaitan dengan kita dan agensi kita juga huhuhu lalala

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ntah anak siapalah yg patut buat sesuatu tu..la la la la..

      Delete
    2. Rumah atas air ni ada kaitan dengan CEPA dan wetland bah kan.... haaa tahu suda anak siapa hahaha

      Delete
  3. saya nk buat kajian pasal rumah atas air .boleh ka saya nk mintk rujukan kajian encik untuk projek akhir saya ?

    ReplyDelete