Showing posts with label Tugas dan kerja. Show all posts
Showing posts with label Tugas dan kerja. Show all posts

Friday, 19 August 2016

Kenaikan Pangkat

Alhamdulillah, hari ini 19 Ogos 2016 saya terima surat kenaikan pangkat. Walau pun sudah seminggu dengar khabar berita ni, tetapi bila nampak surat tu... perasaan jadi bercampur-campur. Rasa takut ada sebab akan ada lebih tanggungjawab, dan peranan yang harus dilakukan. Lebih beban tugas yang harus dipikul. Gembira sudah pastinya dengan ganjaran yang insyaAllah akan diterima. Surat ini yang ditunggu-tunggu dalam sepuluh tahun ini hahaha Tiada apa yang lebih menggembirakan bila semua mengucapkan tahniah. Tetapi kengkadang, terfikir juga, adakah aku layak untuk mendapat kenaikan pangkat ini? Ada kah yang tidak setuju? Harap-harap tidak lah kannnn hihi

Banyak yang hendak dilakukan selepas ini. Salah satunya ialah mengenai pembayaran zakat pendapatan. Walaupun sebelum ini sudah mohon untuk pemotongan zakat, tetapi dengan kenaikan gaji ini, tentunya ada kenaikan potongan zakat lagi kan. Lagi pun potongan zakat ku macam ada yang tidak kena, seperti disekalikan dengan potongan cukai pulak. hmmm ini penting ni. Perlu dilaksanakan secepat mungkin. Mudah-mudahan selepas ini rezeki yang diterima ini yang betul-betul kita sepatutnya terima dan juga akan dimurahkan lagi rezeki kita kan.

11 tahun lagi aku akan bekerja dalam perkhidmatan awam ni. Setinggi mana yang hendak kita capai, semuanya bergantung kepada impian kita. Kalau kita sudah puas hati dengan apa yang kita ada sekarang, tidak perlu terkejar-kejar dengan pangkat dan dunia. Yang penting sekarang ialah bagaimana kita hendak mengejar akhirat. Umur semakin meningkat. Berapa lama lagi kita ada di dunia ini? Di mana kita di akhirat nanti. Adakah Allah terima semua taubat kita? Tapi ada satu yang ku pinta agar suatu hari nanti Allah akan perkenankan doaku untuk mengunjungi Mekah lagi bersama suami. InsyaAllah.

Thursday, 11 August 2016

Sarapan minda

Sembang pagi semasa breakfast dengan suami pagi ini ialah mengenai sistem kenaikan pangkat di perkhidmatan awam negeri. Tujuan saya ini bukan untuk memburuk-buruk kan perkhidmatan awam negeri sedia ada. Bukan juga untuk memburuk-buruk kan orang-orang di perkhidmatan awam. Saya juga sebagai salah seorang pegawai di perkhidmatan awam, perlu peka akan persepsi orang luar mengenai perkhidmatan awam negeri. Mungkin ini boleh membantu kita untuk memperbaiki sistem atau proses yang sedia ada agar persepsi negatif orang luar tersebut dapat disangkal.

Perbualan bermula apabila Encik Suami menyatakan bahawa kita akan mengundi pada tahun 2018. Saya pun menyampuk, ya, sehingga tahun 2018, terdapat ramai pegawai-pegawai atasan perkhidmatan awam yang disambung perkhidmatan mereka oleh orang-orang atasan lagi. Ini sedikit sebanyak akan menyekat peluang orang lain untuk kenaikan pangkat. Itu yang kita nampak dari mata kasar. Dan komen yang keluar dari mulut yang telah lama tersekat di jawatan yang sama lebih 10 tahun. hahaha 

Tetapi yang membuat diri ini terpana ialah jawapan suami bila aku menyuarakan ketidak puasan hati. Dia katakan, jika kita tiada kenalan atau orang-orang atasan tersebut tidak kenal ibu bapa kita, maka memang susah dan agak tipis peluang untuk kenaikan pangkat. Lebih-lebih lagi kalau ahli keluarga kita di pihak pembangkang. Kita akan jadi pegawai yang biasa-biasa sahaja. Tiada imuniti dan lambat peluang untuk kenaikan pangkat. Ini bukan baru berlaku, tetapi sejak dahulu lagi... Ada kes yang mahu pencen baru disahkan dalam jawatan atau dinaikkan pangkat. Ini sangat berbeza dengan perkhidmatan awam persekutuan, selepas 3 tahun kita sudah disahkan dalam jawatan. Pemantauan kenaikan pangkat dilakukan tanpa mengira atau melihat latarbelakang keluarga kita, tetapi melihat kebolehan pegawai itu sendiri.

Selepas sarapan, saya juga berfikir, itu persepsi orang luar terhadap perkhidmatan awam negeri. Bagaimana kita yang di dalam ni, mengubah persepsi tersebut. Jika ianya dibina atas kes-kes atau kejadian yang berlaku sejak dahulu lagi, maka bagaimana kita hendak mengubah persepsi tersebut agar perkhidmatan awam negeri ini tidak dilihat sebagai pilih kasih, pilih bulu, atau untuk kroni-kroni sahaja. Saya harap kawan-kawan sesama pegawai di perkhidmatan awam negeri di luar sana, sama-sama lah kita mengubah persepsi orang mengenai perkhidmatan awam negeri. Cuba buktikan bahawa semua itu bohong belaka.

Wednesday, 22 June 2016

Bengkel Pindaan Enakmen

Ini pertama kali mengurus bengkel mengenai pindaan Enakmen. It is a worth experience. Selepas ini akan ada series of discussion lagi mengenai pindaan ini. Ianya belum selesai setakat di bengkel ini sahaja. Sebenarnya, ini adalah permulaan untuk perbincangan demi perbincangan dengan pejabat peguam. Beberapa koleksi yang dapat dirakam adalah seperti di bawah ni.

antara peserta yang bertahan sehingga akhir bengkel


Fasilitator pada bengkel tersebut, Puan Hajjah Zaleha
Aktiviti makan bersama kawan baik....

Monday, 20 June 2016

Kenapa integriti penting? (Part 2)

Kenapa kita mesti mempunyai integriti? 

Kenapa pentingnya integriti dalam kehidupan kita? Kita katakan budaya kita penuh dengan adat kesopanan yang diagung-agungkan. Kenapa dalam indeks integriti seluruh dunia, kita masih lagi dalam kategori pertengahan. Nombor 50 dari 180 negara.

Kalau di negara orang putih, di dalam sesuatu majlis, cara pengacara memanggil kita adalah dengan "ladies and gentlemen". Mereka mengutamakan wanita dari lelaki. Lelaki orang putih pun lebih berbahasa dari lelaki Melayu. Kalau masuk di sesebuah tempat yang berpintu mereka akan membukakan pintu untuk perempuan. Kalau di Malaysia pulak, di majlis akan disebut "Ybhg Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan". Kita lebih mengutamakan lelaki dari wanita. Ini disebabkan dalam institusi kekeluargaan Islam, kita lebih menghormati ketua keluarga iaitu Bapa/Lelaki.

Kepentingan integriti ini adalah disebabkan perkara-perkara berikut:
1. Memenuhi kehendak agama
Jika kita mempunyai pengetahuan agama yang luas dan sentiasa berpegang teguh akan keperluan dan kehendak agama, kita tidak mungkin akan cuba-cuba untuk melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

2. Membetulkan kepincangan
Dengan adanya integriti, tiada kepincangan yang akan berlaku. Tiada salah guna kuasa, salah guna hak orang lain dan sebagainya.

3. Meningkatkan imej
Integriti berkait rapat dengan jujur, amanah, tanggungjawab. Jika kita memelihara integriti, kita pastinya meningkatkan imej diri kita di mata orang lain. Kita akan lebih dihormati dan disegani.  

4. Memastikan semua hak dijamin
Hak orang lain akan terjaga dengan baik. Tiada ragu-ragu, tiada was-was.

5. Membangun diri dan ummah dengan ikhlas
Jika kita melakukan tugas dengan ikhlas, tanpa apa-apa balasan dari orang lain, maka kita akan dapat kepuasan diri. Kepuasan dalam melaksanakan perkara yang dikehendaki.  Kepuasan dapat menjaga hak orang lain. Kepuasan dalam melakukan sesuatu yang betul.

6. Membolehkan kita bersaing
Bila kita dihormati, disegani dan orang lain tahu bahawa kita boleh dipercayai, maka, kita akan sentiasa diberikan tugas-tugas yang mencabar. Ini membolehkan kita bersaing dengan orang lain yang lebih baik dan berpengalaman. 

7. Meningkatkan kepakaran
Jika kita sering diberikan tugas-tugas yang mencabar, sudah tentunya kita akan menjadi pakar dalam sesuatu tugas yang diberikan. Lebih-lebih lagi jika tugas tersebut memerlukan kita bersikap jujur, dan amanah dalam melaksanakannya. Kita akan jadi pakar rujuk dalam bidang tersebut.

8. Memantapkan martabat bangsa
Jangan hanya kerana segelintir kita, seluruh bangsa kita dipersalahkan. Dengan mempunyai ciri-ciri integriti yang tinggi, kita dapat meningkatkan lagi martabat bangsa kita. Bangsa yang boleh dipercayai.

9. Menyelamatkan perjalanan hidup bertakwa
Dengan mengamalkan integriti juga kita akan dapat memelihara diri kita. Memelihara diri dari mendapat siksaan Allah juga pandangan dan hukuman dari orang di sekeliling kita.

10. Menguatkan semangat 
Amalan integriti akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang. Kita akan lebih yakin akan diri kita yang sebenarnya. 

Thursday, 5 May 2016

Budaya Integriti bermula di rumah

Pada 26 - 27 April 2016 saya telah mengikuti Kursus Peningkatan Integriti secara in-house. Untuk post saya kali ini saya kongsikan beberapa pengajaran yang saya perolehi semasa menghadiri kursus tersebut termasuk beberapa catatan nota saya semasa kursus berkenaan ditambah dengan contoh2 atau pengalaman sendiri serta kisah2 dari penceramah. Kemungkinan ada beberapa tajuk mengenai integriti yang saya akan cuba kongsikan bersama (part 1, 2,3 .... ) 

Apakah intgeriti yang dimaksudkan?
Integriti secara amnya tidak dapat dilaksanakan dalam sekelip mata sahaja. Ia adalah amalan yang biasa kita lakukan setiap hari. Selalunya ia sudah menjadi budaya kita atau sebati dengan kita. Sebab itulah tajuk dari penceramah mengatakan bahawa integriti ini bermula dari rumah. Sejak kecil apakah nilai-nilai murni yang diterapkan kepada si anak. Ini lah juga yang akan menjadi amalan bila anak tersebut meningkat dewasa seterusnya memasuki alam persekolahan dan pekerjaan. Oleh itu, integriti ini sebenarnya berpunca bagaimana ibu bapa kita / penjaga kita mendidik kita dari kita lahir. Jika baik, maka baiklah sikap atau attitude budak tersebut, tetapi jika sebaliknya, itu yang menjadi masalah utama negara kita pada masa ini. INTEGRITI.

Di bawah ini saya kongsikan beberapa amalan integriti yang seharusnya diterapkan dan ada pada diri kita yang disenaraikan oleh penceramah. Mungkin ada banyak lagi selain yang ada ni: 

1. Kejujuran
    Kejujuran tidak nampak tapi kita dapat rasa. Jika kita tahu benda tu bukan hak kita, janganlah di ambil. Kita hendaklah bersikap jujur kepada diri kita sendiri. Orang yang bersikap jujur ini bila apa yang diucapnya seiring dengan segala perbuatannya. Keindahan sifat jujur itu apabila dia bersikap jujur kepada dirinya, kepada orang yang berurusan dengannya (berjual beli atau yang berkaitan dengan pekerjaannya), jujur dalam memimpin samada di dalam institusi kekeluargaan atau pekerjaan. Jujur merupakan salah satu sifat yang mulia dan orang yang mempunyai sifat jujur biasanya mendapat kepercayaan dari orang lain.
Contoh sikap jujur yang dilakukan di rumah : Ibu bapa hendaklah sentiasa mengajar anak untuk berani bercakap benar. Walaupun anak tersebut melakukan kesalahan. Jangan mengajar anak untuk berbohong.

Teringat orang dulu-dulu cakap kan...."mula-mula berbohong, lama-lama mencuri". 

2. Ketelusan
    Ketelusan juga tidak nampak tetapi boleh di rasa. Ia adalah mengenai transparency. Ketelusan ini adalah sikap berterus terang, jujur dan ikhlas. Ada orang yang tidak telus, yang mempunyai sikap yang berbeza. Seperti talam dua muka. Di hadapan ketua dia menjadi pekerja yang amat baik, sebaliknya jika di belakang ketua, dia mempunyai sikap yang berbeza.
Begitu juga contoh di rumah: ada anak-anak yang bersikap baik di hadapan ibu bapa mereka, tetapi apabila bersama kawan-kawannya, dia mudah terpengaruh dengan perangai kawan-kawan. Oleh itu, ibu bapa perlu mengetahui sikap anak-anaknya agar mempunyai ketelusan hati. 

3. Komited
Komited adalah dari perkataan Inggeris comitted.  Orang yang komited dalam tugas akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tugas yang diberi. Kesungguhan untuk menyelesaikan tugas dan kesanggupan untuk berkorban masa.

" I don't stop when I'm tired, I stop when I'm done".

Didik anak untuk komited dengan kerja-kerja sekolah. Libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sekolah seperti persatuan, larian, kerja-kerja amal dan sebagainya. Pastikan mereka siap homework mereka. 

4. Amanah
Amanah adalah suatu yang sangat berat untuk dilakukan. Seorang yang mempunyai sifat amanah adalah seorang yang berperibadi baik dan tinggi akhlaknya. Teringat semasa menghadiri kursus bina negara lebih kurang 26 tahun dulu sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara. Kami diberikan sesampul surat yang diamanahkan untuk diberikan kepada orang apabila sampai ke garisan penamat. Namun, kami telah berikan surat berkenaan kepada orang lain yang meminta surat berkenaan. Ini lah pengajaran mengenai amanah yang saya ingat sehingga hari ini. Jangan mudah untuk memberikan kepada orang lain apa yang telah diamanahkan kepada diri mu. Amanah harus dijaga dan dipelihara sehingga sampai kepada yang berhak memilikinya.

Ia sama seperti janji kita. Apa yang kita janjikan mesti dikota. Terutama janji kita kepada anak-anak.



5. Tidak salah guna kuasa
Maksud salah guna kuasa ini adalah menggunakan jawatan yang dipegang dalam sesuatu organisasi untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan kaum kerabat.
  • kita hendaklah jaga nilai harta tu seperti harta kita sendiri. Maksudnya jika kita diamanahkan menjaga harta maka kita hendaklah menjaganya dengan baik. Tetapi kita tidak boleh buat sesuka hati kita seperti harta kita sendiri...
  • Dalam institusi kekeluargaan selalunya abang atau kakak yang tua yang lebih berkuasa. Mereka akan mudah menyuruh adik-adik untuk melakukan tugas untuk mereka. Jika ini berlaku, cuba nasihatkan anak-anak untuk tidak berlebih-lebih dengan kuasa mereka sebagai kakak atau abang yang lebih tua. Jika dari kecil, ini diterapkan, kemngkinan bila sudah bekerja, tingkah laku yang serupa akan dilakukan kepada rakan setugas.     

6. Bijak membuat keputusan
  • Jangan membuat keputusan jika kita sedang marah 
  • Jangan membuat keputusan semasa kita sedang bersukaria/ atau mabuk / aramaiti
  • Jika keputusan telah di buat dan tidak menghasilkan perkara yang baik, maka jangan salahkan diri sendiri. Sebaliknya mohon ampun dan bertaubatlah.
  • Didiklah anak untuk membuat keputusan. Misalnya, kenapa dia perlu beli kasut sekolah, buku sekolah atau baju dan sebagainya. Latih mereka untuk berkomunikasi.   
Sifat-sifat lain yang mesti ada ..... keperihatinan, keikhlasan, bekerjasama, bersangka baik.
Apa-apa pun, yang penting hati kita mesti baik.

Jika kita seorang yang malas di rumah , maka di tempat kerja pun kita akan menjadi pekerja yang malas. Pemantauan ke atas anak-anak perlu dilakukan selalu atau setiap masa. Begitu juga di tempat kerja, walaupun tugas tersebut kita telah berikan kepada orang yang bertanggungjawab melaksanakannya, pemantauan terhadap tugas tersebut mesti dilakukan.  Kurang pemantauan yang sering mengakibatkan berlakunya perkara-perkara negatif dalam institusi kekeluargaan dan pekerjaan.

"Kalau di marah bukan semestinya kita salah, dan kalau dipuji bukan semestinya kita betul". Ini kata-kata penceramah. Oleh itu, teguran demi teguran perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem yang sedia ada. Jangan mudah melata jika di marah dan jangan terlalu inginkan pujian dalam melakukan tugas yang diberi.

Thursday, 9 May 2013

Membudayakan Sains dalam kehidupan

Heavynya tajuk di atas kan. Haha, teringat semasa di UST. Ini lah inspirasi kami semasa di situ. Apa maksudnya tu? Kalau mengikut fahaman saya sendiri, (bukan dari wikipedia ya), maksud tajuk di atas tu adalah untuk mengaplikasikan atau menggunakan sains dalam kehidupan. Unsur-unsur yang ada kaitan dengan sains ini termasuklah ilmu, kemahiran serta nilai-nilai sains yang akan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Memangpun kehidupan kita atau sekeliling kita ni dipenuhi dengan sains.  Cuma, samada kita sedar dan tahu atau tidak saja. Misalnya, kita masak, membasuh, berjalan, tidur, menaiki kereta, menonton tv dan sebagainya, semua melibatkan unsur-unsur sains dalam kehidupan kita.

Semasa di UST dulu banyak juga aktiviti-aktiviti sains yang kami lakukan terutama di luar-luar bandar. Kami sedar masyarakat luar bandar merasakan sains ini adalah suatu topik atau ilmu yang begitu asing sekali. Bila di tanya pelajar-pelajar luar bandar, rata-rata mengatakan mata pelajaran sains dan matematik adalah matapelajaran yang susah. Ia sebenarnya tidak susah dan bukan asing jika kita memahami topik tersebut secara logik, rasional dan santai dan mengaplikasikannya dengan kegiatan harian kita. Itulah yang cuba kami sematkan di jiwa pelajar-pelajar luar bandar di negeri Sabah ini.

Selalunya, untuk mengadakan sesuatu aktiviti di luar bandar, kami membawa bersama kami peralatan-peralatan, bahan pameran interaktif serta poster-poster dan risalah-risalah yang berkaitan untuk memudahkan pelajar-pelajar memahami lebih mendalam. Jangan terkejut jika lori yang membawa peralatan-peralatan tersebut di sangka kapal angkasa yang membawa angkasawan kita ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Walaupun begitu, terdapat juga pelajar-pelajar kita yang begitu minat dalam bidang sains ini. Selain guru-guru, perlu ada organisasi atau badan-badan yang terlibat secara langsung dalam sains dan teknologi, samada di negeri Sabah atau di Malaysia amnya yang menggilap minat mereka ini. Contoh yang paling dekat ialah anak saudara saya yang berminat sangat-sangat dalam bidang aero-angkasa. Bagaimanakah sebagai ibu bapa, guru-guru serta organisasi di luar sana untuk membantu pelajar-pelajar ini untuk mencapai cita-cita atau impian mereka. Mereka bukan dari kalangan penduduk bandar yang mempunyai banyak peluang dan ruang. Mereka adalah dari pelajar luar bandar yang kurang dari segi kemudahan dan keupayaan kewangan.

Selain itu, di luar bandar juga banyak terdapat inovasi-inovasi yang digunakan yang tanpa mereka sedari adalah satu inovasi yang boleh dikomersilkan dan digunakan secara meluas di tempat lain. Mereka ini, telah mengaplikasikan sains dalam kehidupan mereka, tanpa mereka sedari. Uniknya pereka inovasi tersebut tidak mempunyai pengalaman atau akademik yang tinggi. Hanya pengalaman hidup, idea kreatif dan logik sahaja, mereka dapat mencipta suatu peralatan dalam usaha untuk menambah baik kualiti hidup mereka. Misalnya, cara mengawet makanan agar tahan lebih lama, mesin pelerai padi, mesin pengupas halia, mesin pengupas nenas, pelbagai produk berasaskan halia, kincir air, menghasilkan tenaga dari bahan buangan binatang dan sebagainya.

Oleh yang demikian, sejauh manakah pembudayaan sains dalam kehidupan kita seharian? Boleh kah kita simpulkan bahawa, dengan memahami konsep-konsep sains secara mendalam, akan dapat menambah baik kualiti kehidupan kita seharian. Siapakah yang akan dapat membantu pelajar-pelajar serta masyarakat Sabah dalam membudayakan sains dalam kehidupan mereka?


  

Sunday, 28 April 2013

Pengalaman berkerja dengan Jepun

Orang-orang Jepun memiliki budaya kerja yang sangat tinggi. Mereka amat tekun dan komited dengan kerja mereka. Memang ramai yang setuju kan. Di sini saya akan menceritakan beberapa pengalaman selama lebih kurang 10 tahun bekerja dengan orang-orang Jepun. Ada pahit, manis, masin, masam dan tawar. :-)



Bermula Februari 2000, satu projek Kerajaan Negeri, UMS dan JICA telah dipersetujui untuk dijalankan bagi tempoh 5 tahun sehingga Januari 2007.  Kemudian dilanjutkan lagi selama 5 tahun sehingga 2012. Projek ini dinamakan Bornean Biodiversity and Ecosystems Conservation (BBEC) programme in Sabah dan matlamat utamanya adalah untuk melindungi biodiversiti dan ekosistem Sabah daripada sebarang ancaman. Sepanjang tempoh projek ini, seorang ketua projek telah ditempatkan di Sabah bersama 4 orang lagi pakar yang khusus dalam bidang penyelidikan, hidupan liar, pengurusan taman serta pendidikan alam sekitar yang semestinya dari negara Jepun. Tempoh masa bagi setiap pakar tersebut berkhidmat adalah selama 2 tahun sahaja. Selepas 2 tahun, pakar yang lain akan menggantikan perkhidmatan seterusnya. Oleh yang demikian, sepanjang projek berkenaan, berbagai ragam pakar-pakar Jepun yang telah kami kenali.



Ada seorang pakar tersebut telah memeluk agama Islam. Seperti yang kita tahu, ramai orang Jepun (tapi tidak semua) tidak mempercayai sebarang agama atau mengamal agama Shinto atau Buddha. Pakar yang disebutkan tadi ni, walau dia bersifat pemarah, kurang sabar, tetapi mereka berfikiran terbuka dan bersedia menerima kritikan. Mereka terbuka untuk memperbaiki diri mereka untuk menjadi yang lebih baik. Mereka sentiasa ada keinginan untuk mempelajari sesuatu yang baru. 



Sementara itu, dengan budaya kita menghormati tetamu dan menjamu tetamu apabila berkunjung ke tempat kita, tidak kira rumah atau pejabat, telah pernah menjadi suatu topik yang hangat. Terdapat satu aktiviti yang dilaksanakan di bawah projek ini di suatu kawasan. Pihak Jepun/JICA berkeras bahawa, mereka tidak akan membayar tempahan makanan semasa aktiviti tersebut. Mereka, menyatakan bahawa, mereka boleh membayar apa jua bentuk bantuan atau pembelian lain, tetapi tidak makanan. Pihak kami pada mulanya agak hairan dengan pendirian tersebut. Setelah beberapa pegawai kami yang telah ke Jepun untuk mengikuti kursus di Jepun, barulah kami memahami budaya mereka. Semasa kami di Jepun, jika kami hendak melawat ke mana-mana atau berkunjung ke tempat-tempat mereka atau pejabat-pejabat mereka, jarang sekali kami di jamu makanan. Sebaliknya, kami dinasihatkan untuk membawa minuman sendiri. Sejak kami memahami perkara tersebut, tidaklah kami mempertikaikan lagi perkara seperti itu. Tetapi kami, seperti lazimnya adat kita, tetap menempah makanan walau untuk mesyuarat dalaman, dan, memandangkan mereka juga sepejabat dengan kami, kami sering memanggil mereka untuk makan bersama walau mereka tidak ikut serta dalam mesyuarat yang diadakan. 



Mengenai pengalaman pahit pulak, kawan saya L, pernah menangis kerana dimarah oleh salah seorang pakar dari Jepun. Bukan itu sahaja, pakar tersebut telah mengadu kepada ketua jabatan kami mengenai perkara itu. Puncanya kerana lambat memberi atau menyiapkan laporan serta minit mesyuarat yang diminta. Nasib baik lah ketua jabatan kami bukanlah seorang yang akan terburu-buru mengambil tindakan dengan aduan yang diterima. Nasihat yang diberi oleh Ketua Jabatan saya telah dapat menyejukkan perasaan kawan saya. Saya juga turut membantu L, kerana saya tahu L, belum berapa mahir dengan penggunaan komputer. Dia menyatakan bahawa, minit dan laporan yang dibuatnya hilang tanpa dapat disimpan terlebih dahulu. Tetapi yang baiknya pakar tersebut tidak juga memendam perasaan dendam atau benci, tidak berapa lama selepas kejadian tersebut, mereka berbaik-baik semula. Tugas-tugas juga dapat dilaksanakan dengan baik.




Saya sendiri telah beberapa kali ditegur kerana lambat untuk mengemaskini laman web. Tetapi saya hanya "cool" atau buat-buat bodoh dan menyatakan yang saya akan siapkan atau laksanakannya jika saya memperoleh maklumat dari kawan-kawan atau pegawai-pegawai lain yang mempunyai maklumat yang berkaitan. Jika saya tidak terima maklumat tersebut bagaimana saya hendak melaksanakannya. Kadang-kadang mereka rasa tidak puas hati dengan jawapan saya. Tapi saya tidak mahu mewujudkan satu ketegangan semasa menjalankan tugas yang diberi. Sebaik mungkin saya cuba selesaikan secepat mungkin.  




Seperti yang saya sebutkan dalam artikel saya sebelum ini mengenai kepentingan masa oleh masyarakat Jepun, ianya kadangkala menjadi isu semasa menjalankan tugas bersama. Beberapa pakar Jepun serta pekerja tempatan yang bekerja dengan mereka telah ditempatkan di ruang pejabat kami. Kami sering berborak dengan staf-staf mereka. Tetapi, mereka melarang staf mereka untuk bersembang-sembang dengan kami lebih dari 15 minit. Ya, hanya 15 minit sahaja masa maksimum untuk staf mereka turun minum (jika perlu) atau bersembang. Terpaksalah kami hormati larangan tersebut. 

Pernah beberapa kali, oleh kerana isu yang dibincangkan belum mencapai kata putus, mesyuarat tetap diteruskan. Kadangkala bagi kita, jika tidak terlalu penting, kita tangguhkan dahulu mesyuarat tersebut ke masa yang lain. Tetapi, bagi mereka, selagi belum siap, jangan harap boleh balik. Pernah pada awal projek, beberapa kali mesyuarat habis sehingga jam 6 lebih. Sehingga masuk waktu maghrib. Begitulah bersemangatnya mereka dalam melaksanakan tugas yang diberi. Memang tiada tandingan dengan pegawai-pegawai kita dalam ketekunan mereka menjalankan tugas mereka. Jika hari biasa pun, di pejabat, merekalah pekerja yang paling akhir sekali balik. Jika kami tanya jam berapa mereka selalu balik, mereka akan katakan dalam jam 8 atau 9. Kalau kita rakyat Malaysia, masa tersebut, kita telah bersama keluarga kita masing-masing. 

Satu lagi amalam pekerja-pekerja Jepun yang boleh kita pelajari adalah mengenai perancangan, penulisan laporan dan pelaksanaan pemantauan.Perancangan yang dilakukan sentiasa teliti. Setiap perancangan akan diolah dalam satu kertas cadangan yang mempunyai matlamat, tujuan, output, input, verifiable indicators, bagaimana untuk mendapatkan indicator tersebut, dan setiap aktiviti yang akan dilaksanakan yang dipanggil Project Design Matrix. Semua ini didalam satu muka surat sahaja agar senang untuk melihat dan memantau. Untuk setiap aktiviti itu pula, satu perancangan menyeluruh untuk jangkamasa projek (untuk mengenalpasti bila aktiviti itu akan dilaksanakan bagi setiap tahun) hendaklah diperincikan. Ini dipanggil Plans of operation (PO). Apabila ini dibuat, kita sudah dapat menjangka, bila sesuatu aktiviti itu akan dilaksanakan, siapa yang akan melaksanakannya, kos yang terlibat serta peralatan-peralatan yang diperlukan untuk melaksanakannya. Oleh itu, dengan terhasilnya PO ini, setiap tahun, agensi pelaksana boleh merujuknya untuk melaksanakan program serta aktiviti. Pemantauan juga dilaksanakan berdasarkan senarai aktiviti yang dirancang di dalam PO. Berapa aktiviti yang telah dilaksanakan, serta apakah program serta aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada senarai aktiviti yang dirancang. Begitu teliti bukan. Penyediaan laporan, pada mulanya, dilaksanakan setiap bulan! Oleh kerana terlalu banyak masa yang digunakan untuk menulis laporan, pihak Jepun dan Sabah bersepakat untuk menyediakan laporan 3 bulan sekali. Kemudian, di kurangkan lagi kepada 6 bulan sekali. 

Jangan tak percaya, ada kawan-kawan saya yang serik mau bekerja dengan Jepun ni.... hehe Tetapi sebenarnya banyak juga pelajaran, pengajaran dan pengalaman yang saya perolehi dari mereka. Pengalaman itu lah yang mendewasakan kita. Insya Allah, seboleh-bolehnya dan sebaik-baiknya kita ambil yang baik-baik sahaja dari mereka ini. Sentiasalah berfikiran positif untuk menghasilkan satu pengalaman yang marvelous.