Showing posts with label Lawatan. Show all posts
Showing posts with label Lawatan. Show all posts

Friday, 18 April 2014

Taman binatang - Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Haha, teringat salah satu lagu dari album Tegar iaitu "Ke Taman binatang" iaitu ke zoo. Zoo mana lagi, ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi lah.... Pada penghujung tahun lepas, kami berhasrat untuk membawa cucu kami (Hirzi) yang berumur 3 tahun lebih ke zoo melihat haiwan-haiwan di sana. Kami sendiri sudah 4 atau 5 kali ke zoo berkenaan. Ada masa-masa tertentu, hati kita akan rasa tenang hanya dengan melihat telatah haiwan-haiwan ini. Ianya memberi pengalaman yang berbeza setiap kali kami ke sini.

Tiket masuk ke zoo ni ialah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak (di bawah 17 tahun). Kanak-kanak di bawah 3 tahun free dan kepada OKU juga free.Sepatutnya kami bayar RM55 tapi kena bagi diskaun pula RM5. Maknanya, free lah si Hirzi ni masuk.

Kami pun masuklah ke zoo berkenaan dan mulakan perjalanan dengan melihat burung-burung. Namun, tidak banyak pulak burung berbanding dengan lawatan kami ke sana sebelum ini. Apa pun, kami teruskan juga. 

Ni lah perjalanan kami melihat burung-burung yang terdapat di situ.  Yang merah tu sebenarnya burung kakak tua. Tapi semasa kami limpas masuk ke kawasan tersebut, dia hanya diam sahaja.
Selepas kawasan burung, kami melimpasi burung hornbill dan kura-kura. Burung Enggang (atau hornbill) ini pernah digunakan sebagai jata negeri Sabah yang pertama semasa pembentukan Malaysia. Mungkin ada juga anak-anak muda di luar sana yang tidak tahu.  

Baru sampai ke kawasan gajah ni, Hirzi sudah kepenatan dan kepanasan katanya. Budak zaman sekarang, jalan sikit pun sudah penat... haha. Tetapi melihat telatah dan reaksinya terhadap haiwan-haiwan di sana, memang dia gembira melihat haiwan-haiwan tersebut. Ada ketika, dia cuba menakut-nakutkan atuknya apabila melintasi kawasan gajah dan harimau, padahal dia lah yang paling kecil yang mungkin boleh di makan oleh haiwan-haiwan tersebut... haha

Selepas melintasi kawasan gajah ni, kami teruskan perjalanan ke kawasan beruang madu atau beruang matahari (sun bear) dan harimau. Kami lihat, beruang madu yang terdapat di kawasan ini telah semakin membesar. Pertama kali kami ke sini 2 atau 3 tahun lepas, beruang tersebut sangat kecil. Kami gembira apabila mendapati beruang berkenaan sihat membesar. Harimau pulak sering menunjukkan kemalasannya apabila kami ke kawasannya. Namun, kali ini, harimau berkenaan, sempat berjalan-jalan sambil mengaum dan masuk ke dalam air. Mungkin harimau berkenaan kepanasan. 

Setelah itu, beberapa haiwan lagi yang sempat kami lawati adalah seperti kongkang dan monyet belanda atau monyet bangkatan. Monyet belanda ini juga sangat unik dan popular di Sabah. Disebabkan bentuk fizikal dan ketangkasannya, haiwan ini pernah digunakan sebagai mascot untuk acara Sukan Malaysia (Sukma) Sabah 2002.

Kemudian kami ke kawasan orang utan. Orang utan juga adalah salah satu iconic untuk negeri Sabah. Haiwan ini seperti tahu ianya di tontoni oleh pengunjung, dan ia kemudian membuat beberapa aksi-aksi yang menarik. Saya perhatikan, pengunjung begitu terhibur dengan aksi-aksi spontan orang utan ini. Kebanyakan orang utan ini boleh didapati di daerah Sandakan. Ini lah satu-satunya tempat di mana kita boleh melihatnya secara dekat di sebelah pantai barat Sabah.

    Memandangkan hari semakin senja, lawatan kami ke zoo berkenaan terpaksa dipercepatkan. Kamilah antara pengunjung yang akhir pada hari tersebut. Hujan pun renyai-renyai turun membasahi kawasan berkenaan. Kami yang tidak membawa payung terpaksa mempercepatkan langkah. Pada kunjungan kali ini, kami tidak berkesempatan melihat ular. Namun, banyak juga haiwan lain yang dapat kami lihat seperti di bawah ini. Pony, tembadau, ostrich .....

Semasa melintasi kawasan sang kancil, Hirzi kemudian menyatakan. Kenapa macam kucing? Apa yang macam kucing? Kancil kah yang dikatakan seperti kucing. Hirzi memang suka kan kucing. Mungkin apa bila melihat kancil ni, dia rasakan ianya comel seperti kucingnya di rumah. Ha ha 
Tetapi yang lucunya, apabila melewati kawasan yang berbau, ini lah pula aksinya: 
Ha Ha Ha Hirzi memang alah dengan bau-bauan. Apa sahaja bau yang tidak menyenangkan memang dia akan terus lari.
Akhir sekali kami kembali semula ke kawasan burung sebelum kami keluar dari kawasan tersebut. Burung kakak tua yang sebelum ini diam sahaja, begitu ceria melayan dan mengajuk apa yang diperkatakan oleh budak-budak. Bye-bye burung... burung berkenaan juga mengucapkan bye bye kepada kami.


Thursday, 12 September 2013

Hutan Simpan Paya Gambut Klias

Pernah ke Hutan Simpan Paya Gambut yang terletak di Klias, Beaufort? Kalau belum pernah ke sana, sudi-sudi kan lah datang. Ndak jauh pun dari Kota Kinabalu. Hanya mengambil masa kira-kira dalam 2 jam lah, kalau bawa kereta dalam 60 km sejam.


Kami telah ke sana beberapa minggu yang lepas (lupa pulak tarikhnya...haha). Tujuan utamanya membawa pelajar praktikal kami agar dia mempelajari serba sedikit mengenai tanah lembap atau kawasan paya gambut. Kami pun ambil peluang ni untuk jalan-jalan lah. Lebih-lebih lagi kawan saya seorang yang pakai baju pink di atas tu memang kaki jalan. hehehe, jangan marah ya. Sesampai kami di sana, kami telah disajikan dengan video mengenai kawasan tersebut.

Kami dimaklumkan bahawa, kawasan sekitar tempat tersebut sering mengalami masalah kebakaran terutama pada musim kemarau. Memandangkan api di kawasan tanah gambut ni, biasanya di dalam tanah, maka agak susah untuk memadamkan api tersebut. Gambar di atas tu, adalah tempat di mana saluran air dari bawah tanah digunakan untuk memadamkan api. 

Sebelum masuk, isi dulu buku pelawat. Sementara tu, tengok kipas dan lampu di atas tu, cantik bukan.
Selepas mengisi buku pelawat, kami pun berjalan di titian kayu (boardwalk)sepanjang 2.7km. Tengok tu, kawan kita yang seorang tu, bersemangat betul...Terdapat 7 buah hentian (seperti gambar di bawah) di sepanjang laluan tersebut dan di salah satu hentian terdapat menara yang boleh di naiki untuk melihat pemandangan sekitar kawasan tersebut. 

 Contoh hentian yang terdapat di sepanjang boardwalk tersebut. 

Saya tidak habis kan perjalanan boardwalk tersebut. Kawan-kawan yang lain, siap naik menara lagi. Diaorang boleh lah, muda lagi. Aku ni sudah tukar enjin, jadi, ndak boleh terlampau berabis. Kena slow and steady. Jika kita lihat di bawah tu, jalan kayu tu, di sesetangah tempat, penuh juga dengan tumbuhan. Kawan cerita, ada kayu-kayu tu yang patah, tidak boleh lalu. Terpaksa lalu dari tanah. Mungkin, tidak diselenggara dengan baik. Atau belum dapat peruntukan untuk membaik pulih lagi.
Di sepanjang perjalanan tersebut, terdapat beberapa tumbuhan yang saya kenali seperti pokok Menggaris (gambar bawah), pokok lemiding (atau pokok paku), emmm itu ja yang saya tahu. oh ya, diaorang yang pusing habis tu boardwalk, ada jumpa dan ambil gambar pokok nephentes. 

oh ya, ada satu perkara lagi yang menarik hati saya semasa saya balik ke tempat permulaan sebelum kami berjalan di boardwalk tersebut. Ukiran kayu di tempat tersebut menarik hati saya. Untuk melambangkan tempat tersebut terdapat beberapa haiwan ianya ditunjukkan di ukiran kayu seperti gambar di bawah. Cantik bukan..... hehehe kalau tak cantik pun, bagi saya ianya kreatif.


Ok lah itu sahaja untuk kali ini. Kalau sesiapa yang belum ke sana tu.... haaa datang lah. Sesuai juga untuk mengadakan hari keluarga, kerana tempat ini lengkap dengan rumah rehat, dorm dan bilik untuk disewa. Jungle trekking pun ada. Bak kata orang, macam-macam ada....hehe Saya tak dapat apa pun mempromosi tempat ni. Cuma, pada pemerhatian saya bila pertama kali datang sini adalah, tempat ini sunyi dan seperti terbiar tiada orang. Mungkin juga tiada atau jarang aktiviti yang dilaksanakan di sini, kecuali, pada musim-musim tertentu seperti cuti sekolah sahaja. Oleh itu, apa lagi, buat lah aktiviti yang sesuai diadakan di sini, ok .... chiaooo