Sunday 31 August 2014

Peringatan untuk diri yang mudah lupa

Sebagai insan biasa, kadang-kadang kita lupa bahawa setiap apa yang berlaku ke atas diri kita pada hari ini  atau di masa hadapan adalah kerana perbuatan kita sendiri di masa lalu atau pada ketika dan saat ini. Kita mudah lupa atas apa yang telah kita katakan, atau lakukan terhadap orang lain. Setiap apa yang kita tuturkan biarlah yang baik-baik sahaja. Sesungguhnya apabila menuturkan atau mendoakan yang baik-baik kepada orang lain, doa tersebut akan juga dimakbulkan untuk diri kita sendiri. MasyaAllah, kenapa masih ada yang tidak sedar akan perkara ini?

Kenapa masih ada kutuk mengutuk di antara satu sama lain, hina menghina antara satu sama lain, benci membenci antara satu sama lain. Padahal saudara mereka sendiri. Kita hanya sementara di dunia ini, kenapa mesti bersangka buruk kepada orang lain. Terima lah dengan hati yang terbuka jika kita di tegur, tidak kira dari orang yang kita tidak kenali atau saudara / kawan rapat kita sendiri. Sesungguhnya, teguran itu adalah dari Allah yang menggunakan kita manusia sebagai perantara. Allah mahu kita memperbaiki diri kita, memperelokkan diri kita sebelum kita di jemput menemuiNya. Bersyukurlah kita jika masih ada orang yang memarahi kita jika kita melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan di muka bumi ini. Itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Janganlah kita terlalu sombong dan bongkak dan melenting apabila ditegur atau dimarahi. 

Ingatlah setiap apa yang keluar dari mulut kita, akan juga kita rasakan suatu hari nanti. Cuma, kita akan rasakannya samada cepat atau lambat sahaja.  Jaga tinglah laku, jaga adab sopan kita, jaga maruah diri kita sebelum kita melontarkan kata-kata samada di alam nyata atau alam maya seperti facebook.

Hanya peringatan untuk diri sendiri.

Saturday 24 May 2014

Cerita tentang sebiji kurma

Cerita ni, telah diceritakan oleh seorang sahabat agar kita semua mengambil pengajaran dan iktibar daripadanya. Kalau ada kekurangan, tolong tambah-tambah ya. Cerita ini ditujukan terutama kepada anak-anak di luar sana yang suka mengambil hak orang lain tanpa memberitahu tuannya terlebih dahulu.

Tersebut kisah, ada seorang alim ulama yang sangat warak. Disebabkan kewarakannya tu, setiap apa yang didoanya pasti akan termakbul. Pada suatu hari dia telah pergi membeli kurma dari seorang tua. Semasa orang tua tu menimbang kurma yang di beli oleh alim ulama ni, terdapat sebiji kurma yang hampir jatuh. Lalu diambil oleh alim ulama tu lalu dimakannya terus tanpa memberitahu kepada penjual kurma. Sebiji kurma tersebut tidak termasuk dalam timbangan kurma yang ditimbang oleh orang tua penjual kurma itu. Alim ulama tu pun membayar kurma yang dibelinya lalu pergi.

Selang beberapa lama selepas itu, alim ulama tu berasa hairan, kenapa doanya tidak lagi makbul sebelum ini. Orang lain juga sering mengatakannya tidak lagi seperti dulu, doanya sering sahaja makbul. Alim ulama tu pun teringat mengenai sebiji buah kurma yang telah dimakannya yang dia tidak memberi tahu kepada penjual kurma tersebut.

Dia pun berusaha mencari balik penjual kurma tersebut. Alangkah sedihnya dia apabila ke tempat penjual kurma tu, bukan lagi orang yang dahulu. Penjual kurma tersebut seorang yang muda. Dia pun meneka mungkin pemuda ini adalah anak penjual kurma sebelum ini. Dia pun bertanya kepada penjual kurma tersebut, "Nak, di mana penjual kurma sebelum ini? Sebenarnya saya ada membeli kurma dari beliau, tetapi ada sebiji kurma yang saya makan tanpa membayar kurma tersebut dan tanpa saya memberitahunya." ucap alim ulama tersebut.

Pemuda itu kemudian memberitahu penjual kurma sebelum ini adalah bapanya. Dan bapanya telah meninggal dunia. Dia kemudian memberitahu saya tidak apa Tuan. Saya halalkan kurma tersebut. Tetapi bapa saya mempunyai 11 orang anak kesemuanya. Saya tidak tahu samada mereka yang lain akan menghalalkan kurma tersebut atau tidak.

Alim ulama itu pun berusaha mencari semua anak penjual kurma tu, untuk menghalalkan sebiji kurma yang telah di makan beliau. Memang agak lama juga barulah dia berjumpa dengan ke semua anak-anak penjual kurma tersebut. Selepas itu, baru lah alim ulama tu berasa senang hati. Dan doanya kembali termakbul.

Begitulah cerita mengenai sebiji buah kurma. Pengajarannya: kita tidak boleh mengambil hak orang lain, tanpa memberitahu tuannya, walaupun ianya hanya sebiji buah kurma sahaja. Untuk alim ulama tu, mungkin doanya tidak termakbul. Tetapi untuk diri kita ni, mungkin banyak lagi musibah yang mungkin boleh terjadi jika kita mengambil hak orang lain, seperti, kita akan merasa tidak pernah cukup duit gaji kita, atau duit yang baru kita dapat dicuri orang atau kita perlu bayar karan yang tetiba melambung tinggi, dan bermacam-macam lagi musibah yang bakal menimpa jika kita selalu mengambil hak orang lain tanpa memberitahu tuannya. 

Saturday 10 May 2014

Cerita Mengenai Keyakinan Diri

Ada 3 buah cerita yang ingin saya kongsikan kepada pembaca-pembaca sekalian. Cerita ini saya dengar semasa mengikuti salah satu kursus INSAN baru-baru ini. Selepas baca cerita ni... kasi interpret atau terjemahkanlah k...yang mungkin ada berkaitan dengan kehidupan kita seharian.  Ambil pengajaran dan iktibar dari cerita ini...  

Cerita 1: Gajah sarkas

Terdapat seekor gajah yang dipelihara untuk tujuan sarkas. Selalunya gajah sarkas ini dipelihara sejak ia masih kecil lagi... masih baby. Oleh itu, gajah yang dipelihara ini lebih kurang berumur dalam 2 bulan. Untuk mengelakkan gajah ini lari, kebiasaannya, gajah ini dari kecil di rantai kakinya dengan rantai besi yang berat. Setiap kali ia cuba untuk lari gajah ini akan terasa kesakitan yang amat sangat di sebabkan rantai tersebut. Sehingga gajah ini dewasa lebih kurang dalam 20 tahun selepas itu, gajah sarkas ini akan sentiasa di rantai. Dan pada ketika ini, walaupun gajah ini hanya di ikat dengan rantai besi yang halus, dia tidak akan cuba untuk melarikan diri lagi. Di fikirannya sudah tertanam bahawa, jika dia cuba untuk lari, kakinya akan terasa kesakitan.

Cerita 2: Ibu ayam dan anak burung helang

Suatu hari terdapat seekor ibu burung helang yang ingin bertelur. I pun terbang dan terbang dan terjumpa dengan tempat yang sesuai untuk bertelur. Iaitu di tempat ayam bertelur. Selepas bertelur burung helang pun terbang tinggi dan meninggalkan telurnya. Datang si ibu ayam, dia pun bertelur dan mengeram di tempat helang bertelur tadi. Telur helang dan telur ayam tadi telah dieram oleh ibu ayam bersama-sama. Setelah semua telur yang dieramnya tu menetas, ibu ayam amat hairan kenapa seekor anaknya berlainan rupa. Namun, dia jaga dan pelihara kesemua anak-anaknya itu dengan penuh kasih sayang, termasuk anak burung helang tersebut, seperti anak-anaknya yang lain. Suatu hari anak burung helang tersebut terlihat seekor burung helang yang terbang tinggi. Dia pun memberitahu ibu ayam, ibu, kenapa rupa burung tu seperti saya? Mungkin saya juga boleh terbang sepertinya. Namun, ibu ayam tersebut menyangkal kata-kata anak burung helang tu, "kau tu ayam, mana boleh terbang". Sejak itu, jadilah burung helang tu seperti ayam yang lain.

Cerita 3: Belalang

Ada seekor belalang yang hidup di dalam sebuah kotak. Kotak tersebut mempunyai jaring-jaring yang membolehkan belalang tersebut melihat keadaan sekelilingnya. Dengan keadaan kotak yang kecil itu, belalang tersebut, hanya boleh terbang di lingkungan dalam kotak itu sahaja. Dia tidak dapat melompat seperti belalang yang lain yang di sekelilingnya ( di luar kotak), di mana belalang lain boleh terbang lebih tinggi dan jauh. Namun demikian, dia tetap tinggal di dalam kotak tersebut walaupun dia tahu dia boleh keluar dari kotak tersebut seperti belalang-belalang yang lain.

Apakah pengajaran atau moral dari 3 buah cerita di atas?

1. Kadang-kadang bila kita sudah selesa dengan keadaan kita, kita tidak mahu memperbaiki diri kita untuk menjadi atau mendapatkan yang lebih baik lagi. Kita perlu keluar dari comfort zone kita.  Walaupun sebelum ini (di dalam post saya yang sebelumnya) saya ada menyatakan bahawa, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita ada, tetapi, ada masanya kita perlu perbaiki diri kita, misalnya untuk mendapatkan rezeki yang lebih, atau untuk menjadikan kita orang yang beriman dan beramal solleh atau untuk memperbaiki taraf hidup kita dan keluarga kita  dan sebagainya.

2. Kita percaya 100% apa yang orang katakan kepada kita, terutama bila kata-kata itu adalah dari ibu bapa atau orang yang lebih tua daripada kita. Misalnya jika kita dari kecil ( terutama anak-anak yang berumur di bawah 5 tahun) ibu bapa kita katakan kita ni anak sial, anak kurang ajar, bodoh dan sebagainya, sehingga ia dewasa ia akan masih ada di fikirannya atau dia akan mengiakan setiap kata-kata ibunya itu. Oleh itu, dari kecil kita tidak seharusnya memarahi atau mengatakan perkara-perkara yang negatif kepada anak-anak. Ransangan positif haruslah diberikan kepada anak-anak sejak ia lahir lagi.

3. Jika kita mempunyai keyakinan, dan niat yang betul, kita pasti boleh mendapatkan apa sahaja hajat yang kita inginkan. Keyakinan dan usaha pasti akan memberi kejayaan.

Mungkin pembaca di luar sana boleh memberi interpretasi lain mengenai cerita ini. Sila berikan, jangan malu-malu..... Di atas tu hanya interpretasi saya sendiri sahaja....

Terima kasih.

Thursday 1 May 2014

Qanaah

Tahu apa itu Qanaah? First time dengar perkataan ini. Petikan di bawah ini juga saya dapati dari catatan bapa saya... hehe mungkin ada baiknya saya kongsikan di sini kan...

Qanaah ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu:
1. Kemuliaan pada ketaatan
2. Kehinaan pada maksiat
3. Kehebatan pada ibadat malam
4. Himat kebijaksanaan pada perut kosong
5. Kekayaan pada sifat Qanaah

Dr. Hamka ada menyebut bahawa Qanaah ialah menerima dengan cukup.

Qanaah itu mengundang lima perkara:
1. Menerima dengan rela akan apa yang ada
2. Memohonkan kepada Allah tambahan yang pantas dan berusaha
3. Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan
4. Bertawakal kepada Tuhan
5. Tidak tertarik oleh tipu daya dunia

Sifat Qanaah didik jiwa sentiasa bersyukur : Dr. Abdul Rashid Ahmad.
Qanaah : rela dan menerima pemberian Allah subhanahu wata'ala apa adanya. Orang yang mempunyai sifat Qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain. -- Dr. Hamka

Bersyukurlah dengan segala nikmat yang kita perolehi hari ini. Tetapi ini tidak bermaksud bahawa kita tidak perlu berusaha mendapatkan yang lebih baik. Insya Allah, saya akan tetap bersyukur dengan ketetapan Mu.

Tuesday 29 April 2014

Memperkasakan ilmu

In India, ethnic unrest of indigenous Bodo tribes and Muslim settlers fought each other because of long - running land disputes. (Daily Express: Friday, July 27, 2012).

Petikan di atas, dan di bawah ini adalah catatan yang saya perolehi dari bapa saya. Saya cuma ingin berkongsi pengalaman beliau dalam bidang pendidikan yang saya aplikasikan dengan pengalaman saya menyekolahkan anak-anak.

Apabila saya kata hendak memperkasakan ilmu bermaksud: 
1. Pelajar sekarang agak kurang mengambil perhatian terhadap ilmu. Mereka lebih gemar menghayati bidang lain seperti hiburan, sukan dan melepak.

Ini memang tepat. Anak-anak saya sendiri, pada suatu ketika terlalu taksub dengan budaya Korea. Minat dengan lagu-lagu korea, penyanyi korea, cara berpakaian dan sebagainya. Sepertinya, semua yang terbaik adalah dari Korea. Anak lelaki pula setiap hari bermain bola sepak. Walaupun bersukan itu adalah perkara yang digalakkan di sekolah-sekolah, tetapi bagi pelajar pula, mereka hanya tertarik kepada sukan sahaja dan tidak tertarik langsung dengan sesi pembelajaran di sekolah. Acara melepak adalah salah satu penyelesai masalah untuk tidak menghadiri sesi pembelajaran.

2. Pelajar sekarang kurang minat membaca, baik buku mahupun dalam media elektronik (seperti internet, facebook etc. )

Internet dan facebook digunakan semata-mata untuk mencari kawan-kawan baru dan berchat dengan rakan-rakan sahaja. Ianya tidak digunakan sepenuhnya untuk mencari bahan-bahan bacaan atau pun sebagai pusat rujukan dan sumber. Jika dahulu semasa saya belajar, kemudahan ini ada, sudah tentu ianya sangat berguna. Untuk menambah bahan bacaan mereka, saya usahakan juga agar anak-anak meminjam buku-buku di perpustakaan yang berdekatan. Namun, saya pulak yang sentiasa beria-ia. Mereka seperti acuh tak acuh. Buku yang di pinjam juga kadang kala tidak di baca sehabisnya.  

3. Pelajar sekarang sekadar untuk memenuhi waktu dan berkawan di sekolah. Mereka kurang menghayati guru yang mengajar di depan mereka.

 Mereka merasakan sesi pembelajaran di sekolah amat membosankan. Ada yang tidak hadir ke sekolah kerana tidak dapat menghayati pembelajaran tersebut. Sebagai ibu bapa, kami juga amat tertekan bila ada anak yang tidak menunjukkan minat untuk belajar. Walau berbuih mulut menasihatkan anak-anak akan kepentingan ilmu tersebut kepada mereka, tetapi mereka seperti tidak memahami kepentingan tersebut. Saya juga beranggapan bahawa, menuntut ilmu tidak boleh di paksa. Ianya mesti lahir dari keinginan pelajar itu sendiri untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mereka perlukan. Tetapi ibu bapa mestilah memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak menimba ilmu. Membantu dalam mencari arah tujuan hidup mereka. Malangnya, apabila peluang dan ruang telah diberikan, pelajar tidak pula menggunakan sepenuhnya peluang tersebut. Ianya seperti sia-sia sahaja.   

4. Pelajar kurang membuat ulangkaji di rumah. Mereka hanya menyiapkan kerja rumah sahaja. Itu sahaja!

Ini juga suatu kenyataan. Anak-anak selalunya akan membuka buku mereka untuk menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh guru-guru. Saya juga rasakan bahawa guru-guru juga mengetahui akan perkara ini. Itu lah sebabnya guru-guru memberikan kerja rumah kepada pelajar. Saya lihat sendiri bahawa anak-anak saya juga tidak akan membuka buku-buku mereka semata-mata untuk mendapatkan ilmu. 

5. Pelajar sekarang kurang bertanya dan menyoal guru atau penceramah. Mereka kurang faham apa yang dibincangkan di hadapan mereka.

Jangankan bertanya soalan, jika di soal sekali pun, kadang kala anak-anak hanya menjawab sepatah sahaja soalan tersebut. Mereka kurang di beri latihan critical thinking. Atau mungkin mengeluarkan pendapat mereka mengenai sesuatu isu. Pelajar-pelajar kita hanya di asak dengan maklumat atau pengetahuan tanpa kita tahu bagaimana penerimaan mereka terhadap apa yang telah di ajar oleh guru-guru. Guru-guru pulak, mempunyai matlamat untuk  menghabiskan silibus dalam jangkamasa tertentu. Yang menerima padahnya adalah pelajar. 

6. Kurang membaca buku-buku yang ditetapkan sekolah. Sedangkan satu tajuk itu banyak bahan-bahan yang perlu di baca.

Pada masa sekarang, buku-buku sekolah bukan hanya terhad kepada buku-buku teks sahaja. Buku-buku kerja juga perlu ada bagi seseorang pelajar. Kebanyakan buku-buku kerja ini, jika dibelikan untuk anak-anak mencuba pelbagai soalan ramalan tahun-tahun lepas, mereka tidak menghabiskannya atau mencubanya walaupun terdapat jawapan bagi soalan-soalan tersebut. Di akhir tahun buku-buku tersebut, seperti tidak disentuh. Dengan kemudahan internet pulak, pelajar tidak tahu menggunakan kemudahan tersebut untuk menimba seberapa banyak bahan-bahan rujukan tambahan. Pelajar kita terlalu pasif, menerima apa yang diberi oleh guru sahaja. 

7. Simple research untuk menambah bahan ilmu yang dipelajari.

Saya perhatikan, methodologi yang digunakan untuk mengajar sekarang adalah amat berbeza semasa saya bersekolah dahulu. Di sekolah rendah umpamanya telah diperkenalkan cara untuk membuat simple research seperti di universiti. Ini satu perkembangan yang baik. Pelajar di latih untuk menyiapkan folio dan sebagainya. Namun, kadang kala tugasan tersebut disiapkan oleh kakak atau ibu bapa dan bukannya pelajar.

8. Too exam oriented. Bukan Ilmu oriented.

Ini bukan hanya tertumpu kepada pelajar, tetapi ibu bapa juga mempunyai pengharapan yang terlalu tinggi dari segi pencapaian pelajar di dalam peperiksaan yang diadakan. Pada mulanya saya juga begitu. Tetapi, setelah melihat kawan-kawan saya yang memberi pembelajaran secara homeschool kepada anak-anak mereka, sedikit demi sedikit saya dapat menerima bahawa, jika anak-anak kita gagal dalam sesuatu subjek, tidak semestinya mereka tidak boleh berjaya di dalam kehidupan mereka. Galakan yang sewajarnya haruslah diberikan kepada anak-anak untuk mencapai cita-cita atau keinginan mereka. Kadang-kadang, pelajar atau anak-anak amat tertekan dengan ujian dan peperiksaan yang dihadapi menyebabkan mereka tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik.   

9. Kurang minat mempelajari Bahasa bangsa lain seperti France, German, Arab, Chinese etc.

Mempelajari bahasa lain amat berguna apabila pelajar tersebut mula bekerja. Dapat mempelajari bahasa lain semasa di dalam persekolahan adalah amat bermanfaat. Jangankan bahasa lain, bahasa Inggeris juga anak-anak semacam susah untuk menghayati dan mempelajarinya. Namun demikian, dengan adanya internet, pembelajaran bahasa lain sepatutnya semakin mudah. Pelajar hanya mahu mempelajari bahasa lain seperti Korea apabila mereka meminati sesuatu atau seseorang dari negara berkenaan. 

10. Kurang minat terhadap buku dan bahan bacaan. Mereka lebih minat menonton TV, benda-benda yang ajaib seperti handphone, ipad etc...

Generasi Y memang terlalu expose dengan penggunaan peralatan canggih seperti handphone, ipad etc. Ianya seperti satu tarikan yang amat susah untuk dilepaskan. Mungkin, guru-guru atau tenaga pengajar perlu mengubah cara pembelajaran atau pengajaran mereka dengan menggunakan alat-alat canggih ini untuk menarik pelajar-pelajar dari generasi Y ini.  

Tuesday 22 April 2014

Manfaat memberi

Ramai kita beranggapan bahawa kita perlu kaya raya sebelum kita dapat memberi sesuatu atau bersedekah. Kita lupa bahawa pemberian tersebut boleh dilakukan dalam pelbagai cara dan situasi. Tidak semestinya orang yang kaya sahaja yang patut bersedekah.

Saya teringat buku yang baru sahaja saya baca mengenai manfaat memberi, yang bertajuk "Aku terima nikahnya". Penulisnya, Ustaz Hasrizal ada menyatakan di dalam bukunya itu bahawa perkahwinan adalah medan untuk memberi. Di dalam perkahwinan, kita hendaklah banyak memberi untuk mendapatkan kebahagiaan yang kita inginkan. Misalnya memberi masa untuk anak-anak atau suami/isteri dan kasih sayang kita. Pemberian kasih dan sayang ibu bapa kepada anak-anaknya adalah suatu pemberian tanpa syarat. Ibu bapa sahaja yang dapat memberi kasih sayang tanpa syarat kepada anak-anak berbanding dengan kasih anak-anak kepada ibu bapanya. Mereka akan sanggup bergadai nyawa dan harta hanya untuk kebahagiaan anak-anak. Itulah kelebihan kasih sayang daripada ibu dan bapa kita. Oleh itu kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, kasih dan sayanglah mereka selagi mereka masih ada di dunia ini. Hanya mereka yang dapat memberi anak-anak seribu kenikmatan.


Saya juga teringat satu artikel yang mempersoalkan bilakah masa yang paling sesuai untuk kita memberi atau bersedekah? Artikel tersebut ada menyatakan bahawa masa yang paling tepat untuk bersedekah ialah pada masa kita rasa kesempitan duit atau rezeki, bila kita rasa gaji kita tidak perna cukup, banyak yang perlu di bayar dan macam-macam lagi masalah yang bertimpa-timpa. Masa kita kesempitan ini lah masa yang paling tepat untuk bersedekah. Insya Allah Tuhan akan menggantikan nya dengan yang lebih baik lagi. Tetapi bila kita sudah keluar dari kesempitan tersebut, teruskan lah sedekahmu itu. Nescaya Allah akan memperluaskan lagi pintu rezeki kita.

Ada ketikanya bila kita dapat memberi sesuatu kepada binatang juga akan membuat hati kita tenang. Misalnya di rumah saya ada menanam cili padi. Suamiku pernah berkata, janganlah dipetik lada tu, biarlah bagi burung makan lada tu. Saya pernah mempersoalkan perkara tu, kenapa pulak di biarkan lada-lada tersebut untuk di makan burung? Bukan kah sayang tu, habis lada tu di makan oleh burung. Tetapi, setelah saya terbaca sebuah artikal di majalah Mastika bahawa terdapat seorang petani yang meninggal dunia yang di iringi oleh pelbagai jenis burung semasa beliau hendak dikebumikan. Semasa hayatnya beliau sering memberi burung-burung tersebut makanan.  Di situlah baru saya tersedar bahawa, bersedekah untuk binatang juga memberi manfaat untuk diri kita, samada di dunia atau pun di akhirat.

Alhamdulillah dengan kesedaran ini, aku sedekahkan segala bentuk pembayaran atau pembiayaan persekolahan sehingga kini kepada semua anak-anak tiriku. Tiada balasan apa-apa yang ku pinta sebagai balasan, hanya aku berdoa agar mereka menjadi orang yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Aku juga berharap Tuhan akan mengampunkan semua dosa-dosa ku juga dosa-dosa kepada semua anak-anak tiriku kerana kurang memberi kasih sayang kepada mereka sebagai seorang ibu. Seperti kata Ustaz Hasrizal lagi, ibu bapa juga mempunyai dosa kepada anak-anak. Iaitu dosa ibu yang sibuk bekerja untuk membiayai kecukupan mereka untuk belajar dan menjadi orang yang berguna.    

Friday 18 April 2014

Taman binatang - Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Haha, teringat salah satu lagu dari album Tegar iaitu "Ke Taman binatang" iaitu ke zoo. Zoo mana lagi, ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi lah.... Pada penghujung tahun lepas, kami berhasrat untuk membawa cucu kami (Hirzi) yang berumur 3 tahun lebih ke zoo melihat haiwan-haiwan di sana. Kami sendiri sudah 4 atau 5 kali ke zoo berkenaan. Ada masa-masa tertentu, hati kita akan rasa tenang hanya dengan melihat telatah haiwan-haiwan ini. Ianya memberi pengalaman yang berbeza setiap kali kami ke sini.

Tiket masuk ke zoo ni ialah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak (di bawah 17 tahun). Kanak-kanak di bawah 3 tahun free dan kepada OKU juga free.Sepatutnya kami bayar RM55 tapi kena bagi diskaun pula RM5. Maknanya, free lah si Hirzi ni masuk.

Kami pun masuklah ke zoo berkenaan dan mulakan perjalanan dengan melihat burung-burung. Namun, tidak banyak pulak burung berbanding dengan lawatan kami ke sana sebelum ini. Apa pun, kami teruskan juga. 

Ni lah perjalanan kami melihat burung-burung yang terdapat di situ.  Yang merah tu sebenarnya burung kakak tua. Tapi semasa kami limpas masuk ke kawasan tersebut, dia hanya diam sahaja.
Selepas kawasan burung, kami melimpasi burung hornbill dan kura-kura. Burung Enggang (atau hornbill) ini pernah digunakan sebagai jata negeri Sabah yang pertama semasa pembentukan Malaysia. Mungkin ada juga anak-anak muda di luar sana yang tidak tahu.  

Baru sampai ke kawasan gajah ni, Hirzi sudah kepenatan dan kepanasan katanya. Budak zaman sekarang, jalan sikit pun sudah penat... haha. Tetapi melihat telatah dan reaksinya terhadap haiwan-haiwan di sana, memang dia gembira melihat haiwan-haiwan tersebut. Ada ketika, dia cuba menakut-nakutkan atuknya apabila melintasi kawasan gajah dan harimau, padahal dia lah yang paling kecil yang mungkin boleh di makan oleh haiwan-haiwan tersebut... haha

Selepas melintasi kawasan gajah ni, kami teruskan perjalanan ke kawasan beruang madu atau beruang matahari (sun bear) dan harimau. Kami lihat, beruang madu yang terdapat di kawasan ini telah semakin membesar. Pertama kali kami ke sini 2 atau 3 tahun lepas, beruang tersebut sangat kecil. Kami gembira apabila mendapati beruang berkenaan sihat membesar. Harimau pulak sering menunjukkan kemalasannya apabila kami ke kawasannya. Namun, kali ini, harimau berkenaan, sempat berjalan-jalan sambil mengaum dan masuk ke dalam air. Mungkin harimau berkenaan kepanasan. 

Setelah itu, beberapa haiwan lagi yang sempat kami lawati adalah seperti kongkang dan monyet belanda atau monyet bangkatan. Monyet belanda ini juga sangat unik dan popular di Sabah. Disebabkan bentuk fizikal dan ketangkasannya, haiwan ini pernah digunakan sebagai mascot untuk acara Sukan Malaysia (Sukma) Sabah 2002.

Kemudian kami ke kawasan orang utan. Orang utan juga adalah salah satu iconic untuk negeri Sabah. Haiwan ini seperti tahu ianya di tontoni oleh pengunjung, dan ia kemudian membuat beberapa aksi-aksi yang menarik. Saya perhatikan, pengunjung begitu terhibur dengan aksi-aksi spontan orang utan ini. Kebanyakan orang utan ini boleh didapati di daerah Sandakan. Ini lah satu-satunya tempat di mana kita boleh melihatnya secara dekat di sebelah pantai barat Sabah.

    Memandangkan hari semakin senja, lawatan kami ke zoo berkenaan terpaksa dipercepatkan. Kamilah antara pengunjung yang akhir pada hari tersebut. Hujan pun renyai-renyai turun membasahi kawasan berkenaan. Kami yang tidak membawa payung terpaksa mempercepatkan langkah. Pada kunjungan kali ini, kami tidak berkesempatan melihat ular. Namun, banyak juga haiwan lain yang dapat kami lihat seperti di bawah ini. Pony, tembadau, ostrich .....

Semasa melintasi kawasan sang kancil, Hirzi kemudian menyatakan. Kenapa macam kucing? Apa yang macam kucing? Kancil kah yang dikatakan seperti kucing. Hirzi memang suka kan kucing. Mungkin apa bila melihat kancil ni, dia rasakan ianya comel seperti kucingnya di rumah. Ha ha 
Tetapi yang lucunya, apabila melewati kawasan yang berbau, ini lah pula aksinya: 
Ha Ha Ha Hirzi memang alah dengan bau-bauan. Apa sahaja bau yang tidak menyenangkan memang dia akan terus lari.
Akhir sekali kami kembali semula ke kawasan burung sebelum kami keluar dari kawasan tersebut. Burung kakak tua yang sebelum ini diam sahaja, begitu ceria melayan dan mengajuk apa yang diperkatakan oleh budak-budak. Bye-bye burung... burung berkenaan juga mengucapkan bye bye kepada kami.