Showing posts with label my family. Show all posts
Showing posts with label my family. Show all posts

Thursday, 13 July 2017

Suasana di wad bersalin

Pada 17 April 2017 yang lepas kami dikejutkan oleh mesej dari Dayah (anak yang kedua yang sudah mempunyai seorang anak 7 tahun). Kakak dia Piti , sudah pecah air ketuban. Mereka dalam perjalanan ke Hospital Likas, sudah. Masa tu aku baru sampai rumah dari pejabat. Lebih kurang dalam jam 6 petang. memandangkan bapa mereka kerja petang, jam 9:30 malam baru sampai rumah. Jadi kami suruh sahaja mereka yang menghantar Piti. Mungkin mahu bersalin sudah.

Dalam jam 10:30 malam, setelah kami makan malam, kami pun pergi ke hospital likas. Mahu menjenguk-jenguk Piti, mana tahu sudah bersalin, atau menunggu di dewan bedah. Sesampai kami di sana, kami tengok si Piti, dan ada seorang lagi perempuan muda yang juga sarat mahu melahirkan anak sedang duduk-duduk di kerusi. Kami tanya, ehhh napa duduk di sini. Malas di dalam kata anak ku, penuh. Sekali aku tengok di bilik tu, memang penuh ibu-ibu yang sedang menunggu melahirkan anak mereka. Ada lebih kurang 20 orang atau lebih lah ibu-ibu tersebut. Anak ku cakap, sejak dia sampai ada 2 orang ibu yang sudah melahirkan anaknya, di sebalik tabir di bilik tersebut. Lain lagi ibu-ibu yang dikejarkan ke bilik bedah.

Bagaimana keadaan mu tanya ku kepada anakku, dia menyatakan, baru 2cm sahaja bukaan. Lagi pun anak di dalam kandungannya songsang. Mungkin perlu pembedahan, tidak dapat melahirkan secara normal. Setakat ini , doktor sudah periksa dia sebanyak dua kali sejak dia sampai. Apa pun, buat masa tu, ibu-ibu tersebut hanya di suruh menunggu sahaja di luar bilik wad. Sejak dia sampai dari jam 6-7 petang, belum lagi dapat katil.

Semasa kami sampai, kami suruh suami dia makan, dan belikan juga air dan makanan untuk si Piti. Aku pun menemankan Piti sambil duduk-duduk di luar bilik operasi. Memandangkan kerusi terhad, duduk sahaja di atas lantai. memang sejuk lah.... Ndak lama, Piti di panggil untuk mengisi borang kemasukan ke wad. Lebih kurang dalam jam 12 mlm baru lagi Piti di suruh masuk wad, dan disediakan katil. Setelah dia masuk wad, kami pun beredar. Esok kami akan datang. Sementara itu, pada mlm itu juga seorang saudara abang dari Kota Marudu telah meninggal di tingkat 3. kami pun melawat sebentar keluarga arwah sebelum beredar balik ke rumah.

Keesokan harinya, kami datang melawat jam 12:30 tengahari, kami dimaklumkan yang Piti akan di bedah pada jam 2 petang. Bilik nya yang paling hujung sekali. Di sepanjang perjalanan ke bilik Piti, terdapat katil-katil ibu-ibu yang hendak bersalin. di setiap bilik, memang penuh, dalam 6 katil setiap bilik, di luar bilik pun ada ibu-ibu yang sedang menunggu masa untuk bersalin. Pemandangan yang sungguh sibuk, di mana doktor dan nurse akan mengenalpasti ibu mana yang akan bersalin selepas seorang di surung ke bilik bedah. Walaupun saya pernah di masukkan ke wad sebelum ini. tetapi, keadaan di wad bersalin sangat berbeza. Tiada beza samada ianya waktu rehat, waktu pagi atau tengah malam. Doktor dan nurse, sentiasa sibuk.

sebelum pembedahan
Pada jam 1:00 tengahari lebih, anak ku telah diberikan baju bedah. Nurse telah menyuruh untuk bersiap-siap menjalani pembedahan pada jam 2 lebih nanti. Dalam jam 2:15 petang, Piti di surung masuk ke bilik pembedahan. Sementara menunggu, kami pun balik ke rumah dahulu, mandi, makan. Sementara anak ku 2 org menunggu di luar bilik bedah.

Kami balik semula ke hospital pada jam 5 petang, Piti belum lagi keluar dari bilik bedah. orang yang masuk kemudian dari dia pun sudah keluar. Mungkin Piti belum sedar kali. kami masih menunggu lagi. Dekat jam 6 petang baru lah Piti keluar dari bilik bedah bersama baby. Comel nya baby, kecil sangat. Baby seberat 2.4 kg.  Syukur alhamdulillah. 



2 bulan sudah

3 bulan


Wednesday, 16 March 2016

Ku kirim doa buat mu

Pada tanggal 25 Ogos 2015, kami dikejutkan dengan pemergian seorang yang sangat dekat di hatiku, iaitu makcik ku Sulinah binti Noyo atau kami panggil Tua Inah. Beliau merupakan kakak kepada ayah ku. Seorang yang banyak mulut, maksudnya dia akan cakap apa sahaja yang terlintas di hati nya. Walaupun kadang kala atau boleh dikatakan sering kali boleh terasa hati dengan apa yang diperkatakannya. Tetapi mempunyai hati yang baik.

  

Aku akui memang aku jarang berkunjung ke rumahnya di Sembulan. Setahun sekali semasa raya ja. Kadang sampai 2 tahun baru datang. Bila lama ndak datang jumpa beliau ni, bising lah dia. Setahun sekali ja datang dia cakap. Begitulah kalau jarang-jarang orang melawat dia. Selalu memang kena bising. Bukan juga mahu mengata-ngata tapi, kadang rindu dengan kebisingan tu hihihi. Kadang lucu pun ada. Selalu suka berseloroh kalau ke rumahnya. Banyak kenangan bersama beliau tu.

Apa pun, di kesempatan ini, tetiba teringat pulak dengan beliau ni. Semoga beliau aman di sana.

(Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, kasihanilah ia, lindungilah ia dan maafkanlah ia, muliakanlah tempat kembalinya, lapangkan kuburnyak, bersihkanlah ia dengan air, salju dan air yang sejuk. Bersihkanlah ia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau telah membersihkan pakaian putih dari kotoran, dan gantilah rumahnya -di dunia- dengan rumah yang lebih baik -di akhirat- serta gantilah keluarganya -di dunia- dengan keluarga yang lebih baik, dan pasangan di dunia dengan yang lebih baik. Masukkanlah ia ke dalam syurga-Mu dan lindungilah ia dari siksa kubur atau siksa api neraka).”

Syukurlah dapat juga dia disemadikan bersebelahan dengan arwah suaminya, Tua Jiman yang telah awal pergi dahulu. Suaminya telah awal "membooking" tempat tersebut untuk dia dan isterinya.
ketika rawatan di hospital. Sempat lagi kami melawat.
Di kebumikan bersebelahan dengan arwah suaminya Tuan Jiman, di hadapan Wisma Wanita Jln Tuaran.                    

Thursday, 3 March 2016

Majlis Konvokesyen Nur Cahaya

Pada April tahun lepas (2015) saya dan suami telah bersama-sama dengan anak tiri ku ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Majlis Konvokesyen yang diadakan di Management Science University (MSU), Shah Alam. Anak saya telah tamat pengajian di PTPL Sabah dalam bidang Diploma Pengurusan. 

Ini adalah kali pertama suami ku ke Kuala Lumpur. Pada mulanya dia tidak mahu ke sana, tetapi, memandangkan ini adalah peluang yang julung kalinya, dia pun setuju ke sana. Semasa di sana kami telah menetap di Hotel Goodhope Kelana Jaya. Walaupun dari Kelana Jaya ke MSU, Shah Alam tidak jauh, tetapi kami telah tersalah memilih hotel. Salah satu masalah kami semasa di sana adalah untuk mendapatkan teksi dari hotel ke MSU, Shah Alam. Banyak teksi yang kami dekati/jumpa, tidak mahu untuk menghantar kami ke MSU, walaupun kami sanggup untuk membayar. Pihak hotel juga memaklumkan kepada kami bahawa tiada sebab pihak teksi enggan untuk menghantar kami ke mana sahaja yang kami inginkan. Tetapi itulah kenyataan nya. Satu jalan penyelesaian kami adalah dengan meminta hantar ke commuter terdekat dan kami menaiki komuter untuk ke MSU, Shah Alam dan mendapatkan teksi untuk ke lokasi yang diingini. Terpaksa naik turun komuter/lrt/teksi.
depan Hotel GoodHope

stesen commuter terdekat dengan hotel, hentian seri setia 
  

Kami sampai ke KL sehari sebelum acara rehersal diadakan. Untuk mengetahui tempat/lokasi di mana acara konvokesyen tersebut diadakan kami telah ke MSU sebaik tiba di KL. Cek in hotel, terus cari teksi ke MSU.

 

Setelah tahu di mana lokasi acara konvokesyen tersebut, kami pun ke KL jenjalan. Esoknya, kami menghantar anak ke situ lagi untuk acara rehersal. Selepas menghantar tu kami pun jalan semula ke KL. Pada hari sebenar, kami mengambil teksi seawal jam 6 pagi untuk ke MSU. Jika awal pagi, teksi tiada masalah. Teksi tersebut mahu menghantar sehingga ke MSU dari hotel kami.
   
Tahniah Jila kerana berjaya melepasi salah satu rintangan dalam perjalanan kehidupan kamu. Semoga kamu akan berjaya dalam menghadapi segala cabaran kehidupan yang lebih mencabar selepas ini. Semoga mendapat pekerjaan yang dapat menjamin masa depan kamu. 

Wednesday, 6 November 2013

Pingat

Hari ni 4 November 2013, suami mendapat pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dari Jabatan Penjara Malaysia Sabah. Beliau mula bertugas di Jabatan Penjara Sabah pada 14 Januari 1991. Sudah lebih kurang 22 tahun bertugas di organisasi berkenaan. 



Kebiasaannya, penerima pingat PPS adalah penjawat awam yang bertaraf tetap yang telah bertugas lebih 20 tahun setelah dinilai berdasarkan mutu perkhidmatan yang cemerlang serta memuaskan dan mendapat sokongan Ketua Jabatan. Penerima juga mestilah tiada rekod tindakan tatatertib dan bebas daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Alhamdulillah, setelah lebih 20 tahun berkhidmat, dapat juga pengiktirafan dan nampak juga hasil penat lelah bertugas. Faham-faham ja lah, tugas di jabatan berkenaan bukannya tugas di dalam bilik penghawa dingin (seperti saya sekarang ni...hehe). Tugasnya agak berat, sebab menjaga orang-orang yang bermasaalah. Beliau pernah menyatakan bahawa senang lagi menjaga binatang ternakan di kandang jika dibandingkan dengan tugas menjaga orang-orang salah ni. Apapun  ianya tetap satu amanah yang perlu dilaksanakan. 

Setelah lebih 20 tahun bertugas sebagai seorang penjawat awam beruniform, sebagai seorang isteri (dalam 9 tahun pemerhatian saya), saya dapat lihat kepuasan hati setelah diberikan pengiktirafan ini. Lumrah kita manusia, mungkin bukan pujian yang kita pinta, tetapi hanya pengiktirafan bahawa penat lelah kita selama ini masih lagi diberi perhatian dan dilihat oleh majikan kita. Bagi saya, itu lah sebenarnya kenapa pingat perkhidmatan setia ini diberikan kepada penerimanya. 

Saya, lama lagi mahu mencapai 20 tahun perkhidmatan ni. Mungkin kalau panjang umur, dalam 5 tahun lagi. Apa pun, tahniah kepada semua yang menerima pingat sempena sambutan hari Penjara Sabah yang lepas ok. Kerja rajin-rajin ya, jangan ponteng-ponteng pulak selepas dapat pingat. 

Mungkin belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Maal Hijrah, maaf zahir dan batin kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara yang membaca blog ini. Apa azam baru anda semua?     

Thursday, 22 August 2013

2 Syawal 1434

Sambungan dari post sebelum ini: 

Setelah seharian beraya di rumah, hari kedua Syawal, kami semua bersiap sedia untuk beraya di rumah sanak saudara pulak. Mak bapa, adik beradik dengan anak-anak masing-masing, kesemuanya 33 orang yang menaiki 6 buah kereta telah menyerbu ke rumah Pakcik Jamir, seawal jam 9:45 pagi. Kereta kami yang sampai dulu. Pintu pagar pun belum buka lagi. Hujan renyai-renyai pulak tu sejak awal pagi.

Mungkin awal sangat kami sampai, muka pakcik dan makcik macam muka penat. Makanan memanglah belum siap lagi. Rupa-rupanya, semasa mereka masak sejak semalam, gas pulak habis. Memandangkan banyak kedai yang masih tutup kerana cuti hari raya, susah lah untuk mencari gas, sehingga awal pagi. Itu yang nampak macam kelam kabut ja diaorang. Kesian pulak dan rasa bersalah pulak. Apa pun, semangat raya berkobar-kobar. Makan ja apa yang ada kan. Kuih pun banyak. Yang penting bukan makanan, tetapi suasana raya tu.


Selesai makan soto dan nasi kuning dengan ayam serta dapat duit raya, kami pun bertolak ke Sembulan. Hujan renyai-renyai masih lagi turun. Sesampai di Sembulan di rumah Tua Inah (kakak bapa), kereta kami juga yang sampai dulu. Selepas kami sampai, adikku Wati dan Abg. Lan pun sampai. Bila bersalam dengan Tua Inah, faham-faham lah... Tua Inah cakap, "haaa ni yang setahun sekali ja ni datang. Kalau ndak raya, ndak pandai datang rumah". Aku hanya tersenyum. Ndak mahu menambah apa-apa yang dicakap. Nanti bertambah bising lagi dia. Bila wati sampai, dia belikan tudung dan baju untuk Tua Inah. Tua Inah pun cakap, "ni baru lah anak buah aku yang paling bagus, aku sakit pun di kasi beli semangka... " hehe aku hanya tersenyum. Dalam hatiku, lupa pulak kan mahu bawa buah tangan untuk Tua Inah.... sudahlah setahun sekali ja datang jenguk dia. Apa boleh buat, kasi duit raya ja lah. 

Memandangkan hari tersebut hari Jumaat, yang lelaki semua ke masjid untuk sembahyang Jumaat. Tinggal lah kami yang perempuan di Sembulan berlepak-lepak sambil menunggu mereka. Kami di jamu makanan lagi. Selesai semua sembahyang jumaat dan zohor, kami terus menyerbu rumah Makcik Milah pulak (sepupu bapa) di Taman Rainfield. Dengarnya diaorang ni baru balik dari Gadong, Beaufort. Memandangkan mereka baru sampai ke rumah juga, kami hanya dijamu kuih raya dan minuman. Alhamdulillah. Yang penting, anak buah sempat baring-baring.


 
 Selesai di Rainfield, selepas mendapat duit raya, kami ke Taman Seri Gaya, ke rumah adik mama. Di sini kami dihidang nasi katok. Tokeh nasi katok lah katakan. Masa ni, ramai yang mula rasa kepenatan.



 
sempat buat gwiyomi lagi
Yang uniknya, masa di sini, anak-anak buah ndak di kasi duit raya, tetapi di kasi bunga api. haaa seronok semua anak-anak buah bila dapat bunga api. Mak-mak buah pun tumpang seronok juga. Terima kasih uncle Ijal & auntie Lin.


Selepas itu, kami ke Tanjung Aru, ke rumah arwah Wak Norati. Dengar khabar dari kak Fauziah yang kami jumpa di Taman Seri Gaya, bapanya sakit. Jadi, kami pun serbu lah rumahnya. Target sebelum habis asar, kena balik rumah lah.

Sebelah malam pulak, kami ke rumah Kaslan (sepupu ku). Ni rumah yang terakhir lah ni untuk hari ni. Seharian, makan di luar ja, dan sehari juga tidak masak di rumah.


Alhamdulillah, tahun ni, dapat beraya sambil mengunjung ke rumah sanak saudara bersama semua keluarga. Selalunya suami kerja, jadi, mahu join beraya pun rasa tidak seronok. Tahun ni, beraya sakan lah namanya kan.

Mohon ampun dan maaf jika tiada kesempatan untuk berkunjung ke rumah. Jangan lah marah ya kalau tidak dapat datang ke rumah semasa raya hari tu. Ada lah sebabnya tu tak dapat datang. Akhir kata, Selamat Hari Raya, maaf zahir batin dari kami sekeluarga.

Wednesday, 21 August 2013

Hari pertama Syawal

Bulan Ramadhan dah berlalu. Sedih rasanya. Harap-harap tahun hadapan dapat lagi bertemu di bulan yang penuh istimewa ni. Tahun ni, semua kami adik beradik seramai 6 orang bersama keluarga masing-masing balik ke kampung atau balik ke rumah mak bapa di Kampung Contoh pada hari raya pertama. Semua akan mula berkumpul sejak malam takbir. Selalunya ini hanya akan berlaku 2 tahun sekali sahaja. ye lah kan, semua kami adik beradik dah berkeluarga. Pada tahun berikutnya, kami akan beraya di rumah keluarga mentua pulak.

Pada malam terakhir berbuka puasa, selalunya semua ahli keluarga sudah ada di rumah mak. Tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pada malam terakhir berbuka puasa tu, saya tidak dapat bersama-sama berbuka puasa dengan mak dan bapa. Selepas berbuka puasa, barulah saya ke sana, membuat persiapan untuk menyambut hari raya. Malam tu, selalunya kami akan memasak ketupat, kuah sambal kacang / sambal sate, ayam. Menu ayam kali ini ialah ayam kari dan paceri nenas. 2 hari sebelum, mak sudah masak acar buah dan rendang daging manis. Jadi, ndak lah banyak sangat mahu di masak lagi. Cuma perlu mengemas rumah, kemas pinggan mangkuk, cari alas meja, siapkan kuih-kuih untuk dimasukkan dalam balang, potong kek, cari sudu garfu senduk dan sebagainya. Tidak lupa anak-anak buah pulak ada yang sibuk bermain bunga api semasa malam takbir tu. Ada yang menangis ketakutan mendengar bunyi mercun yang dimainkan oleh jiran tetangga.

Ni kali, kami ada chef baru. Ipar ku, Baharia, yang sudah diperturunkan ilmu memasak kuah sambal kacang. Dia akan masak kuah sambal kacang. Mak masak kari ayam dan paceri nenas. Aku pulak, masak ketupat ja... hehe ambil yang paling senang lah kan. Dan, sediakan semua keperluan untuk memasak ayam dan paceri. Tahun-tahun sebelum ini, aku selalu akan memotong kek tetapi kali ini, ramai sudah anak-anak buah ku yang bujang-bujang. Maria, Dedeq, Sabrina, fafa, Nisa, Sara.... diaoranglah semua yang menyusun kuih-kuih dan memotong kek. Lebih kurang dalam jam 1 pagi, semua dah siap dan semua bersemangat tidur di rumah mak dan bapa di kampung contoh, untuk menyambut raya keesokkannya. Malam tu, aku pun tidur di sana juga. Suamiku bertugas semasa malam takbir tu, esoknya baru lah dia akan sama-sama beraya di rumah mak.

Di pagi raya, orang yang paling awal bangun ialah mak. Jam 4 pagi, mak dah bangun untuk masak nasi dan menyediakan apa yang perlu. Aku yang tidur di bilik yang paling hampir dengan dapur, hanya mampu mendengar bunyi kelintangan senduk dengan periuk. Mata tak mampu untuk dibuka kerana terasa macam baru sahaja terlelap. Setelah masuk waktu Subuh, barulah seorang demi seorang bangun. Sebelum mandi, tolong mak dulu, potong ketupat dan hidangkan makanan untuk bersarapan. Yang lain bersiap sedia untuk ke masjid menunaikan sembahyang hari raya.


 Tahun ini, temanya warna merah. Jadi, semualah memakai baju warna merah untuk tahun ini. Dari kakek, nenek, abang kakak adik dan anak-anak semuanya memakai baju tema berwarna merah. Alhamdulillah, semua di beri kesihatan yang baik untuk sama-sama merayakan hari raya aidil fitri untuk tahun ini. Cucu mak bapa pada tahun ini semuanya 17 orang. Haaa kena siapkan duit raya lah untuk anak-anak buah ni. Selalunya selepas sembahyang raya, kami akan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama kami kesemuanya. Masa ni, ada juga yang terus bagi duit raya untuk anak-anak buah.

Selepas bermaaf-maafan ada yang sambung bersarapan. Sementara itu, jemaah-jemaah masjid akan datang ke rumah untuk berhari raya. Doa kesyukuran di baca, teruslah mereka menjamu selera. Kadang-kadang, jemaah masjid ni, ada lah lebih kurang dalam 30 - 50 orang juga. Untuk shif awal pagi ni, biasanya kami semua sibuk. Ada yang tengok lauk cukup ke tidak, air minum kena buat, piring dan gelas cukup ka dsb. Habislah basah baju raya di awal pagi tu, jika kena shif membasuh gelas dan piring. Selepas balik jemaah masjid, dapat lah berehat sekejap, selepas itu jiran-jiran perempuan pulak yang akan datang. Selepas itu, baru mak cik, pak cik, saudara mak dan bapa yang akan datang berkunjung. Sebelah tengahari pulak, saudara Cina, uncle Alfred dan rakan-rakan Cina yang lain akan berkunjung. Petang sikit, saudara terdekat juga akan berkunjung.  Tugas membasuh pinggan dan gelas akan dilakukan silih berganti sesama kami (tak kira lelaki atau perempuan), sehingga lewat petang.

Begitulah, hari pertama Syawal di rumah mak. Hari pertama biasanya kami hanya akan berada di rumah menunggu tetamu datang ke rumah. Setelah tetamu berkurangan, sebelah lewat petang, barulah aku akan balik ke rumahku untuk berehat dan meluruskan pinggang.  

Tuesday, 25 June 2013

Hari Konvokesyen Nur Intan Sarafinah

 

Selama 16 tahun saya bersekolah dan melanjutkan pelajaran, tidak pernah saya berpeluang menghadiri hari konvokesyen. Segulung Ijazah saya hanya dikirim melalui pos. Namun saya bersyukur telah lulus dengan jayanya. 

Alhamdulillah, sudah selamat menghadiri konvokesyen yang kedua untuk Intan. Pelajar-pelajar sekarang beruntung. Sekarang ni di setiap tahap persekolahan diperkenalkan Majlis Konvokesyen. ala ala konvo kerana mendapat ijazah. Mula-mula dulu konvo sebab telah menghadiri tadika. 

Dalam 7 orang adik beradik, Intan beruntung sebab dia 2 tahun menghadiri tadika sebelum masuk ke tahun 1 pada umur 7 tahun. Walaupun begitu setelah 2 tahun menghadiri tadika, perasaan takut dan tiada keyakinan diri masih lagi menghantuinya. Semasa di tadika, ada ketikanya, dia tidak hadir ke sekolah, walaupun sekolah hanya di bawah rumah sahaja. Kalaupun dia ke sekolah terpaksa di tunggu sehingga dia habis sekolah. Sehinggalah dia memasuki Tahun 1 di SK Putatan, dia belum pandai menulis namanya sendiri dan belum pandai untuk membaca.

Pada minggu awal persekolahan di tahun 1, dia sering menangis apabila ditinggalkan di sekolah. Guru kelasnya ingatkan dia sakit, dan menyuruhku membawanya pulang. Aku kemudian memberitahu guru tersebut, dia tidak sakit tetapi mahu ikut pulang. Guru-guru pun macam malas pulak mahu mengurus dan membantu pelajar-pelajar Tahun 1 untuk menyesuaikan diri di sekolah. Ada ketika, aku mencubit atau membiarkan saja dia menangis. Tetapi dia mengejar pulak ke luar kelas. Ada sekali tu, guru besar yang menangkap dan menahannya dari mengikutiku balik. Guru besar tersebut mengatakan bahawa mereka akan mengurusnya dengan baik dan menyuruhku balik ke rumah. Begitulah kisahnya, setiap hari ada saja drama yang dilakukannya sehingga lebih kurang 2 bulan persekolahan.

Saya pun berusaha juga untuk memberi keyakinan kepadanya agar dia minat dan suka untuk ke sekolah. Sehinggalah aku terbaca artikel mengenai cara-cara untuk menasihatinya, iaitu semasa dia tidur. Di umbun-umbunnya aku berdoa dan bercakap secara berulang-ulang agar dia rajin ke sekolah, tidak menangis lagi dan menjadi pelajar yang berjaya. Jangan lupa juga baca selawat atas Nabi dan baca Al-Fatihah. Alhamdulillah, selepas beberapa hari, dia tidak menangis lagi jika ditinggalkan di sekolah. Di akhir tahun dia telah dianugerahkan pulak pelajar terbaik di kelasnya dan mendapat nombor 1.

Masuk tahun 2 dan tahun-tahun seterusnya, aku lihat kelemahannya adalah Matematik dan Sains. Pernah aku cuba mengajarnya di rumah, tetapi, tidak boleh. Akibatnya, dia selalu aku marah kerana tidak dapat menjawab dengan betul. Untuk tidak memberi tekanan kepadanya, aku biarkan dia belajar sendiri. Mungkin bukan bidang aku untuk mengajar. Aku tiada kesabaran untuk mengajar walau aku mahu melihat dia lulus dengan jayanya dalam mata pelajaran Matematik. Untuk membantunya aku hanya belikan buku-buku ulangkaji agar mereka dapat belajar sendiri.


Syukurlah, sekarang dia sudah berjaya mengharungi tahap ke dua untuk menghadapi masa hadapannya yang masih lagi terlalu panjang untuk dilalui. Semoga berjaya. Insya Allah.