Wednesday, 21 August 2013

Hari pertama Syawal

Bulan Ramadhan dah berlalu. Sedih rasanya. Harap-harap tahun hadapan dapat lagi bertemu di bulan yang penuh istimewa ni. Tahun ni, semua kami adik beradik seramai 6 orang bersama keluarga masing-masing balik ke kampung atau balik ke rumah mak bapa di Kampung Contoh pada hari raya pertama. Semua akan mula berkumpul sejak malam takbir. Selalunya ini hanya akan berlaku 2 tahun sekali sahaja. ye lah kan, semua kami adik beradik dah berkeluarga. Pada tahun berikutnya, kami akan beraya di rumah keluarga mentua pulak.

Pada malam terakhir berbuka puasa, selalunya semua ahli keluarga sudah ada di rumah mak. Tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pada malam terakhir berbuka puasa tu, saya tidak dapat bersama-sama berbuka puasa dengan mak dan bapa. Selepas berbuka puasa, barulah saya ke sana, membuat persiapan untuk menyambut hari raya. Malam tu, selalunya kami akan memasak ketupat, kuah sambal kacang / sambal sate, ayam. Menu ayam kali ini ialah ayam kari dan paceri nenas. 2 hari sebelum, mak sudah masak acar buah dan rendang daging manis. Jadi, ndak lah banyak sangat mahu di masak lagi. Cuma perlu mengemas rumah, kemas pinggan mangkuk, cari alas meja, siapkan kuih-kuih untuk dimasukkan dalam balang, potong kek, cari sudu garfu senduk dan sebagainya. Tidak lupa anak-anak buah pulak ada yang sibuk bermain bunga api semasa malam takbir tu. Ada yang menangis ketakutan mendengar bunyi mercun yang dimainkan oleh jiran tetangga.

Ni kali, kami ada chef baru. Ipar ku, Baharia, yang sudah diperturunkan ilmu memasak kuah sambal kacang. Dia akan masak kuah sambal kacang. Mak masak kari ayam dan paceri nenas. Aku pulak, masak ketupat ja... hehe ambil yang paling senang lah kan. Dan, sediakan semua keperluan untuk memasak ayam dan paceri. Tahun-tahun sebelum ini, aku selalu akan memotong kek tetapi kali ini, ramai sudah anak-anak buah ku yang bujang-bujang. Maria, Dedeq, Sabrina, fafa, Nisa, Sara.... diaoranglah semua yang menyusun kuih-kuih dan memotong kek. Lebih kurang dalam jam 1 pagi, semua dah siap dan semua bersemangat tidur di rumah mak dan bapa di kampung contoh, untuk menyambut raya keesokkannya. Malam tu, aku pun tidur di sana juga. Suamiku bertugas semasa malam takbir tu, esoknya baru lah dia akan sama-sama beraya di rumah mak.

Di pagi raya, orang yang paling awal bangun ialah mak. Jam 4 pagi, mak dah bangun untuk masak nasi dan menyediakan apa yang perlu. Aku yang tidur di bilik yang paling hampir dengan dapur, hanya mampu mendengar bunyi kelintangan senduk dengan periuk. Mata tak mampu untuk dibuka kerana terasa macam baru sahaja terlelap. Setelah masuk waktu Subuh, barulah seorang demi seorang bangun. Sebelum mandi, tolong mak dulu, potong ketupat dan hidangkan makanan untuk bersarapan. Yang lain bersiap sedia untuk ke masjid menunaikan sembahyang hari raya.


 Tahun ini, temanya warna merah. Jadi, semualah memakai baju warna merah untuk tahun ini. Dari kakek, nenek, abang kakak adik dan anak-anak semuanya memakai baju tema berwarna merah. Alhamdulillah, semua di beri kesihatan yang baik untuk sama-sama merayakan hari raya aidil fitri untuk tahun ini. Cucu mak bapa pada tahun ini semuanya 17 orang. Haaa kena siapkan duit raya lah untuk anak-anak buah ni. Selalunya selepas sembahyang raya, kami akan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama kami kesemuanya. Masa ni, ada juga yang terus bagi duit raya untuk anak-anak buah.

Selepas bermaaf-maafan ada yang sambung bersarapan. Sementara itu, jemaah-jemaah masjid akan datang ke rumah untuk berhari raya. Doa kesyukuran di baca, teruslah mereka menjamu selera. Kadang-kadang, jemaah masjid ni, ada lah lebih kurang dalam 30 - 50 orang juga. Untuk shif awal pagi ni, biasanya kami semua sibuk. Ada yang tengok lauk cukup ke tidak, air minum kena buat, piring dan gelas cukup ka dsb. Habislah basah baju raya di awal pagi tu, jika kena shif membasuh gelas dan piring. Selepas balik jemaah masjid, dapat lah berehat sekejap, selepas itu jiran-jiran perempuan pulak yang akan datang. Selepas itu, baru mak cik, pak cik, saudara mak dan bapa yang akan datang berkunjung. Sebelah tengahari pulak, saudara Cina, uncle Alfred dan rakan-rakan Cina yang lain akan berkunjung. Petang sikit, saudara terdekat juga akan berkunjung.  Tugas membasuh pinggan dan gelas akan dilakukan silih berganti sesama kami (tak kira lelaki atau perempuan), sehingga lewat petang.

Begitulah, hari pertama Syawal di rumah mak. Hari pertama biasanya kami hanya akan berada di rumah menunggu tetamu datang ke rumah. Setelah tetamu berkurangan, sebelah lewat petang, barulah aku akan balik ke rumahku untuk berehat dan meluruskan pinggang.  

2 comments: