Tuesday 29 April 2014

Memperkasakan ilmu

In India, ethnic unrest of indigenous Bodo tribes and Muslim settlers fought each other because of long - running land disputes. (Daily Express: Friday, July 27, 2012).

Petikan di atas, dan di bawah ini adalah catatan yang saya perolehi dari bapa saya. Saya cuma ingin berkongsi pengalaman beliau dalam bidang pendidikan yang saya aplikasikan dengan pengalaman saya menyekolahkan anak-anak.

Apabila saya kata hendak memperkasakan ilmu bermaksud: 
1. Pelajar sekarang agak kurang mengambil perhatian terhadap ilmu. Mereka lebih gemar menghayati bidang lain seperti hiburan, sukan dan melepak.

Ini memang tepat. Anak-anak saya sendiri, pada suatu ketika terlalu taksub dengan budaya Korea. Minat dengan lagu-lagu korea, penyanyi korea, cara berpakaian dan sebagainya. Sepertinya, semua yang terbaik adalah dari Korea. Anak lelaki pula setiap hari bermain bola sepak. Walaupun bersukan itu adalah perkara yang digalakkan di sekolah-sekolah, tetapi bagi pelajar pula, mereka hanya tertarik kepada sukan sahaja dan tidak tertarik langsung dengan sesi pembelajaran di sekolah. Acara melepak adalah salah satu penyelesai masalah untuk tidak menghadiri sesi pembelajaran.

2. Pelajar sekarang kurang minat membaca, baik buku mahupun dalam media elektronik (seperti internet, facebook etc. )

Internet dan facebook digunakan semata-mata untuk mencari kawan-kawan baru dan berchat dengan rakan-rakan sahaja. Ianya tidak digunakan sepenuhnya untuk mencari bahan-bahan bacaan atau pun sebagai pusat rujukan dan sumber. Jika dahulu semasa saya belajar, kemudahan ini ada, sudah tentu ianya sangat berguna. Untuk menambah bahan bacaan mereka, saya usahakan juga agar anak-anak meminjam buku-buku di perpustakaan yang berdekatan. Namun, saya pulak yang sentiasa beria-ia. Mereka seperti acuh tak acuh. Buku yang di pinjam juga kadang kala tidak di baca sehabisnya.  

3. Pelajar sekarang sekadar untuk memenuhi waktu dan berkawan di sekolah. Mereka kurang menghayati guru yang mengajar di depan mereka.

 Mereka merasakan sesi pembelajaran di sekolah amat membosankan. Ada yang tidak hadir ke sekolah kerana tidak dapat menghayati pembelajaran tersebut. Sebagai ibu bapa, kami juga amat tertekan bila ada anak yang tidak menunjukkan minat untuk belajar. Walau berbuih mulut menasihatkan anak-anak akan kepentingan ilmu tersebut kepada mereka, tetapi mereka seperti tidak memahami kepentingan tersebut. Saya juga beranggapan bahawa, menuntut ilmu tidak boleh di paksa. Ianya mesti lahir dari keinginan pelajar itu sendiri untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mereka perlukan. Tetapi ibu bapa mestilah memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak menimba ilmu. Membantu dalam mencari arah tujuan hidup mereka. Malangnya, apabila peluang dan ruang telah diberikan, pelajar tidak pula menggunakan sepenuhnya peluang tersebut. Ianya seperti sia-sia sahaja.   

4. Pelajar kurang membuat ulangkaji di rumah. Mereka hanya menyiapkan kerja rumah sahaja. Itu sahaja!

Ini juga suatu kenyataan. Anak-anak selalunya akan membuka buku mereka untuk menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh guru-guru. Saya juga rasakan bahawa guru-guru juga mengetahui akan perkara ini. Itu lah sebabnya guru-guru memberikan kerja rumah kepada pelajar. Saya lihat sendiri bahawa anak-anak saya juga tidak akan membuka buku-buku mereka semata-mata untuk mendapatkan ilmu. 

5. Pelajar sekarang kurang bertanya dan menyoal guru atau penceramah. Mereka kurang faham apa yang dibincangkan di hadapan mereka.

Jangankan bertanya soalan, jika di soal sekali pun, kadang kala anak-anak hanya menjawab sepatah sahaja soalan tersebut. Mereka kurang di beri latihan critical thinking. Atau mungkin mengeluarkan pendapat mereka mengenai sesuatu isu. Pelajar-pelajar kita hanya di asak dengan maklumat atau pengetahuan tanpa kita tahu bagaimana penerimaan mereka terhadap apa yang telah di ajar oleh guru-guru. Guru-guru pulak, mempunyai matlamat untuk  menghabiskan silibus dalam jangkamasa tertentu. Yang menerima padahnya adalah pelajar. 

6. Kurang membaca buku-buku yang ditetapkan sekolah. Sedangkan satu tajuk itu banyak bahan-bahan yang perlu di baca.

Pada masa sekarang, buku-buku sekolah bukan hanya terhad kepada buku-buku teks sahaja. Buku-buku kerja juga perlu ada bagi seseorang pelajar. Kebanyakan buku-buku kerja ini, jika dibelikan untuk anak-anak mencuba pelbagai soalan ramalan tahun-tahun lepas, mereka tidak menghabiskannya atau mencubanya walaupun terdapat jawapan bagi soalan-soalan tersebut. Di akhir tahun buku-buku tersebut, seperti tidak disentuh. Dengan kemudahan internet pulak, pelajar tidak tahu menggunakan kemudahan tersebut untuk menimba seberapa banyak bahan-bahan rujukan tambahan. Pelajar kita terlalu pasif, menerima apa yang diberi oleh guru sahaja. 

7. Simple research untuk menambah bahan ilmu yang dipelajari.

Saya perhatikan, methodologi yang digunakan untuk mengajar sekarang adalah amat berbeza semasa saya bersekolah dahulu. Di sekolah rendah umpamanya telah diperkenalkan cara untuk membuat simple research seperti di universiti. Ini satu perkembangan yang baik. Pelajar di latih untuk menyiapkan folio dan sebagainya. Namun, kadang kala tugasan tersebut disiapkan oleh kakak atau ibu bapa dan bukannya pelajar.

8. Too exam oriented. Bukan Ilmu oriented.

Ini bukan hanya tertumpu kepada pelajar, tetapi ibu bapa juga mempunyai pengharapan yang terlalu tinggi dari segi pencapaian pelajar di dalam peperiksaan yang diadakan. Pada mulanya saya juga begitu. Tetapi, setelah melihat kawan-kawan saya yang memberi pembelajaran secara homeschool kepada anak-anak mereka, sedikit demi sedikit saya dapat menerima bahawa, jika anak-anak kita gagal dalam sesuatu subjek, tidak semestinya mereka tidak boleh berjaya di dalam kehidupan mereka. Galakan yang sewajarnya haruslah diberikan kepada anak-anak untuk mencapai cita-cita atau keinginan mereka. Kadang-kadang, pelajar atau anak-anak amat tertekan dengan ujian dan peperiksaan yang dihadapi menyebabkan mereka tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik.   

9. Kurang minat mempelajari Bahasa bangsa lain seperti France, German, Arab, Chinese etc.

Mempelajari bahasa lain amat berguna apabila pelajar tersebut mula bekerja. Dapat mempelajari bahasa lain semasa di dalam persekolahan adalah amat bermanfaat. Jangankan bahasa lain, bahasa Inggeris juga anak-anak semacam susah untuk menghayati dan mempelajarinya. Namun demikian, dengan adanya internet, pembelajaran bahasa lain sepatutnya semakin mudah. Pelajar hanya mahu mempelajari bahasa lain seperti Korea apabila mereka meminati sesuatu atau seseorang dari negara berkenaan. 

10. Kurang minat terhadap buku dan bahan bacaan. Mereka lebih minat menonton TV, benda-benda yang ajaib seperti handphone, ipad etc...

Generasi Y memang terlalu expose dengan penggunaan peralatan canggih seperti handphone, ipad etc. Ianya seperti satu tarikan yang amat susah untuk dilepaskan. Mungkin, guru-guru atau tenaga pengajar perlu mengubah cara pembelajaran atau pengajaran mereka dengan menggunakan alat-alat canggih ini untuk menarik pelajar-pelajar dari generasi Y ini.  

Tuesday 22 April 2014

Manfaat memberi

Ramai kita beranggapan bahawa kita perlu kaya raya sebelum kita dapat memberi sesuatu atau bersedekah. Kita lupa bahawa pemberian tersebut boleh dilakukan dalam pelbagai cara dan situasi. Tidak semestinya orang yang kaya sahaja yang patut bersedekah.

Saya teringat buku yang baru sahaja saya baca mengenai manfaat memberi, yang bertajuk "Aku terima nikahnya". Penulisnya, Ustaz Hasrizal ada menyatakan di dalam bukunya itu bahawa perkahwinan adalah medan untuk memberi. Di dalam perkahwinan, kita hendaklah banyak memberi untuk mendapatkan kebahagiaan yang kita inginkan. Misalnya memberi masa untuk anak-anak atau suami/isteri dan kasih sayang kita. Pemberian kasih dan sayang ibu bapa kepada anak-anaknya adalah suatu pemberian tanpa syarat. Ibu bapa sahaja yang dapat memberi kasih sayang tanpa syarat kepada anak-anak berbanding dengan kasih anak-anak kepada ibu bapanya. Mereka akan sanggup bergadai nyawa dan harta hanya untuk kebahagiaan anak-anak. Itulah kelebihan kasih sayang daripada ibu dan bapa kita. Oleh itu kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, kasih dan sayanglah mereka selagi mereka masih ada di dunia ini. Hanya mereka yang dapat memberi anak-anak seribu kenikmatan.


Saya juga teringat satu artikel yang mempersoalkan bilakah masa yang paling sesuai untuk kita memberi atau bersedekah? Artikel tersebut ada menyatakan bahawa masa yang paling tepat untuk bersedekah ialah pada masa kita rasa kesempitan duit atau rezeki, bila kita rasa gaji kita tidak perna cukup, banyak yang perlu di bayar dan macam-macam lagi masalah yang bertimpa-timpa. Masa kita kesempitan ini lah masa yang paling tepat untuk bersedekah. Insya Allah Tuhan akan menggantikan nya dengan yang lebih baik lagi. Tetapi bila kita sudah keluar dari kesempitan tersebut, teruskan lah sedekahmu itu. Nescaya Allah akan memperluaskan lagi pintu rezeki kita.

Ada ketikanya bila kita dapat memberi sesuatu kepada binatang juga akan membuat hati kita tenang. Misalnya di rumah saya ada menanam cili padi. Suamiku pernah berkata, janganlah dipetik lada tu, biarlah bagi burung makan lada tu. Saya pernah mempersoalkan perkara tu, kenapa pulak di biarkan lada-lada tersebut untuk di makan burung? Bukan kah sayang tu, habis lada tu di makan oleh burung. Tetapi, setelah saya terbaca sebuah artikal di majalah Mastika bahawa terdapat seorang petani yang meninggal dunia yang di iringi oleh pelbagai jenis burung semasa beliau hendak dikebumikan. Semasa hayatnya beliau sering memberi burung-burung tersebut makanan.  Di situlah baru saya tersedar bahawa, bersedekah untuk binatang juga memberi manfaat untuk diri kita, samada di dunia atau pun di akhirat.

Alhamdulillah dengan kesedaran ini, aku sedekahkan segala bentuk pembayaran atau pembiayaan persekolahan sehingga kini kepada semua anak-anak tiriku. Tiada balasan apa-apa yang ku pinta sebagai balasan, hanya aku berdoa agar mereka menjadi orang yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Aku juga berharap Tuhan akan mengampunkan semua dosa-dosa ku juga dosa-dosa kepada semua anak-anak tiriku kerana kurang memberi kasih sayang kepada mereka sebagai seorang ibu. Seperti kata Ustaz Hasrizal lagi, ibu bapa juga mempunyai dosa kepada anak-anak. Iaitu dosa ibu yang sibuk bekerja untuk membiayai kecukupan mereka untuk belajar dan menjadi orang yang berguna.    

Friday 18 April 2014

Taman binatang - Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Haha, teringat salah satu lagu dari album Tegar iaitu "Ke Taman binatang" iaitu ke zoo. Zoo mana lagi, ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi lah.... Pada penghujung tahun lepas, kami berhasrat untuk membawa cucu kami (Hirzi) yang berumur 3 tahun lebih ke zoo melihat haiwan-haiwan di sana. Kami sendiri sudah 4 atau 5 kali ke zoo berkenaan. Ada masa-masa tertentu, hati kita akan rasa tenang hanya dengan melihat telatah haiwan-haiwan ini. Ianya memberi pengalaman yang berbeza setiap kali kami ke sini.

Tiket masuk ke zoo ni ialah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak (di bawah 17 tahun). Kanak-kanak di bawah 3 tahun free dan kepada OKU juga free.Sepatutnya kami bayar RM55 tapi kena bagi diskaun pula RM5. Maknanya, free lah si Hirzi ni masuk.

Kami pun masuklah ke zoo berkenaan dan mulakan perjalanan dengan melihat burung-burung. Namun, tidak banyak pulak burung berbanding dengan lawatan kami ke sana sebelum ini. Apa pun, kami teruskan juga. 

Ni lah perjalanan kami melihat burung-burung yang terdapat di situ.  Yang merah tu sebenarnya burung kakak tua. Tapi semasa kami limpas masuk ke kawasan tersebut, dia hanya diam sahaja.
Selepas kawasan burung, kami melimpasi burung hornbill dan kura-kura. Burung Enggang (atau hornbill) ini pernah digunakan sebagai jata negeri Sabah yang pertama semasa pembentukan Malaysia. Mungkin ada juga anak-anak muda di luar sana yang tidak tahu.  

Baru sampai ke kawasan gajah ni, Hirzi sudah kepenatan dan kepanasan katanya. Budak zaman sekarang, jalan sikit pun sudah penat... haha. Tetapi melihat telatah dan reaksinya terhadap haiwan-haiwan di sana, memang dia gembira melihat haiwan-haiwan tersebut. Ada ketika, dia cuba menakut-nakutkan atuknya apabila melintasi kawasan gajah dan harimau, padahal dia lah yang paling kecil yang mungkin boleh di makan oleh haiwan-haiwan tersebut... haha

Selepas melintasi kawasan gajah ni, kami teruskan perjalanan ke kawasan beruang madu atau beruang matahari (sun bear) dan harimau. Kami lihat, beruang madu yang terdapat di kawasan ini telah semakin membesar. Pertama kali kami ke sini 2 atau 3 tahun lepas, beruang tersebut sangat kecil. Kami gembira apabila mendapati beruang berkenaan sihat membesar. Harimau pulak sering menunjukkan kemalasannya apabila kami ke kawasannya. Namun, kali ini, harimau berkenaan, sempat berjalan-jalan sambil mengaum dan masuk ke dalam air. Mungkin harimau berkenaan kepanasan. 

Setelah itu, beberapa haiwan lagi yang sempat kami lawati adalah seperti kongkang dan monyet belanda atau monyet bangkatan. Monyet belanda ini juga sangat unik dan popular di Sabah. Disebabkan bentuk fizikal dan ketangkasannya, haiwan ini pernah digunakan sebagai mascot untuk acara Sukan Malaysia (Sukma) Sabah 2002.

Kemudian kami ke kawasan orang utan. Orang utan juga adalah salah satu iconic untuk negeri Sabah. Haiwan ini seperti tahu ianya di tontoni oleh pengunjung, dan ia kemudian membuat beberapa aksi-aksi yang menarik. Saya perhatikan, pengunjung begitu terhibur dengan aksi-aksi spontan orang utan ini. Kebanyakan orang utan ini boleh didapati di daerah Sandakan. Ini lah satu-satunya tempat di mana kita boleh melihatnya secara dekat di sebelah pantai barat Sabah.

    Memandangkan hari semakin senja, lawatan kami ke zoo berkenaan terpaksa dipercepatkan. Kamilah antara pengunjung yang akhir pada hari tersebut. Hujan pun renyai-renyai turun membasahi kawasan berkenaan. Kami yang tidak membawa payung terpaksa mempercepatkan langkah. Pada kunjungan kali ini, kami tidak berkesempatan melihat ular. Namun, banyak juga haiwan lain yang dapat kami lihat seperti di bawah ini. Pony, tembadau, ostrich .....

Semasa melintasi kawasan sang kancil, Hirzi kemudian menyatakan. Kenapa macam kucing? Apa yang macam kucing? Kancil kah yang dikatakan seperti kucing. Hirzi memang suka kan kucing. Mungkin apa bila melihat kancil ni, dia rasakan ianya comel seperti kucingnya di rumah. Ha ha 
Tetapi yang lucunya, apabila melewati kawasan yang berbau, ini lah pula aksinya: 
Ha Ha Ha Hirzi memang alah dengan bau-bauan. Apa sahaja bau yang tidak menyenangkan memang dia akan terus lari.
Akhir sekali kami kembali semula ke kawasan burung sebelum kami keluar dari kawasan tersebut. Burung kakak tua yang sebelum ini diam sahaja, begitu ceria melayan dan mengajuk apa yang diperkatakan oleh budak-budak. Bye-bye burung... burung berkenaan juga mengucapkan bye bye kepada kami.