Tuesday 30 April 2013

Tokyo Disneyland

Tokyo Disneyland ialah suatu tempat tarikan pelancung yang terkenal di Jepun. Sejak kami menjejakkan kaki ke Jepun, itulah tempat yang betul-betul menjadi idaman kami untuk dilawati. Walaupun tempat tersebut tiada dalam jadual kursus, kami berusaha untuk mempelajari cara-cara untuk ke tempat tersebut. Bila hujung minggu, tiada jadual khusus yang diberikan, kami pun sepakat untuk ke lokasi berkenaan.


Terdapat berbagai cara ke lokasi tersebut seperti melalui bas atau keretapi. Jika melalui keretapi pula, perlu tukar-tukar keretapi lagi. Oleh itu, dari Tokyo International Centre (TIC) ke stesen Shinjuku (salah satu stesen terbesar di Jepun) kami menaiki keretapi. Di stesen Shinjuku, kami ikut Saikyo Line, kemudian tukar keretapi lagi di Osaki guna Rinkai Line, kemudian di Shin Kiba kami tukar keretapi lain ke Maihama iaitu stesen yang terdekat sekali dengan Tokyo Disneyland. Perjalanan ke Tokyo Disneyland memang suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Di Malaysia kita hanya ada LRT, MRT tetapi di Jepun mereka ada lebih 30 jenis line yang berbeza. Pening juga jika tidak memahami, apatah lagi dengan orang-orang jepun yang tidak tahu bercakap Inggeris, lagi salah satu cabaran kami untuk sampai ke destinasi.     


Sesampai kami di depan pintu masuk Tokyo Disneyland, kami sungguh teruja. Tidak sangka kami akan menjejaki kaki ke tempat tersebut. Lebih kurang macam rusa masuk kampung lah juga excited kami tu. Tiket masuk adalah lebih kurang 4,500 yen lebih kurang RM140. Memang habis duit elaun kami gunakan.  


Salah satu tempat yang kami pergi di Tokyo Disneyland ialah Pooh's Hunny Hunt. Tetapi memandangkan terlalu ramai orang yang berbaris untuk masuk ke tempat itu, kami hanya sempat bergambar sahaja. Tengoklah di gambar tu, berderet-deret orang yang beratur untuk membeli tiket. 


Kami sempat masuk ke Snow White's Adventure. Itu pun sebab tidak ramai orang. Dapat lah juga berpeluang melihat keadaan di dalam. Ndak kisah lah, untuk budak-budak kah atau tidak. Yang penting, dapat berpeluang tengok sendiri keadaan di dalam tu, dengan menaiki kereta yang agak kiut juga. 

ni lah kereta tu


snow white

Kemudian kami masuk ke Mickey PhilHar Magic. Kami tengok cerita 3D dari karakter kartun Disney, Mickey Mouse, Donald Duck. Movie tu lebih kurang dalam 10 - 15 minit. 

 
Rumah-rumah kartun pun ada. Ada rumah Mickey Mouse, Goofy's Paint and Play House (seperti di atas). Kami sempat tengok dan ambil di luar sahaja.  

Yang di atas tu ialah Alice's tea party. Ni pun, kami tak kesampaian mahu naik. Ambil gambar ja lah.

Yang ni kami sanggup beratur panjang. Ramai sangat orang naik Gadgets Go Coaster ni. Tapi, berbaloi lah menunggu lama. Puas hati dapat naik coaster ni. Bila lagi kan.


Semasa kami di sana, ngam-ngam ada perarakan kereta-kereta berhias sempena sambutan 30 tahun ulangtahun kewujudan Tokyo Disneyland. Sungguh seronok pulak dapat tengok live. Karakter-karakter disney yang tidak pernah kami tengok juga, dapat kami lihat di sana.




Cuma satu sahaja karakter katun yang bukan karakter disney, tetapi kami tidak jumpa di mana-mana tempat di Jepun. Iaitu karakter doremon. Sedangkan di negara kita karakter tu sangat famos dan yang kita pasti ianya dari negara Jepun. Tetapi, rata-rata kedai mainan di Jepun, tiada di jual patung-patung doreamon tersebut. Kami juga terasa hairan. 



Apa pun, matlamat kami untuk sampai di Tokyo Disneyland telah tercapai. Pengajaran dari hasil pengalaman kami ke tempat tersebut ialah, jika kita bersungguh-sungguh, kita pasti dapat mencapai apa jua keinginan kita. Duit bukan penghalang, jika kita bersatu hati, insya Allah pasti berjaya.

Monday 29 April 2013

Ikan salmon

Ikan salmon adalah sejenis ikan laut dari family Salmonidae. Ikan ini terdapat banyak di kawasan Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik. Oleh itu, semasa saya melawat negara Jepun, saya berkesempatan untuk melihat sendiri kehidupan ikan-ikan salmon ini.


Secara umumnya ikan salmon ini sering berhijrah untuk berkembang biak. Ia tergolong dalam spesis anadromous. Ikan salmon lahir di perairan air tawar yang kemudiannya berhijrah ke lautan. Ikan salmon ini akan kembali semula ke air tawar untuk menetaskan telurnya. Terdapat kajian atau penelitian yang dijalankan mengatakan bahawa, ikan salmon akan kembali semula ke tempat di mana ia dilahirkan. Sangat menakjubkan bukan. Ia akan kembali ke perairan air tawar yang deras, semata-mata untuk menetaskan telurnya. Mereka akan mengharungi sungai sejauh 1,400 km dan mendaki setinggi 2,100 m dari lautan menuju ke tempat di mana mereka di lahirkan.



Ikan salmon ni memang sedap. Dengan isinya yang berwarna oren, lembut. Ikan salmon kaya dengan Omega 3, sejenis lemak yang tidak tepu yang begitu baik untuk tubuh terutama jantung. Selain itu ikan salmon juga baik untuk kulit.



Apakah pengajaran dari perjalanan hidup ikan salmon ini yang dapat kita perolehi? Ingatlah asal usul kita. Walau sejauh mana pun perjalanan hidup kita, ingatlah tempat dimana kelahiran kita, ibu yang melahirkan kita, bapa yang memungkinkan kita wujud di dunia ini, serta yang paling penting Allah yang menciptakan kita. 

Sunday 28 April 2013

Pengalaman berkerja dengan Jepun

Orang-orang Jepun memiliki budaya kerja yang sangat tinggi. Mereka amat tekun dan komited dengan kerja mereka. Memang ramai yang setuju kan. Di sini saya akan menceritakan beberapa pengalaman selama lebih kurang 10 tahun bekerja dengan orang-orang Jepun. Ada pahit, manis, masin, masam dan tawar. :-)



Bermula Februari 2000, satu projek Kerajaan Negeri, UMS dan JICA telah dipersetujui untuk dijalankan bagi tempoh 5 tahun sehingga Januari 2007.  Kemudian dilanjutkan lagi selama 5 tahun sehingga 2012. Projek ini dinamakan Bornean Biodiversity and Ecosystems Conservation (BBEC) programme in Sabah dan matlamat utamanya adalah untuk melindungi biodiversiti dan ekosistem Sabah daripada sebarang ancaman. Sepanjang tempoh projek ini, seorang ketua projek telah ditempatkan di Sabah bersama 4 orang lagi pakar yang khusus dalam bidang penyelidikan, hidupan liar, pengurusan taman serta pendidikan alam sekitar yang semestinya dari negara Jepun. Tempoh masa bagi setiap pakar tersebut berkhidmat adalah selama 2 tahun sahaja. Selepas 2 tahun, pakar yang lain akan menggantikan perkhidmatan seterusnya. Oleh yang demikian, sepanjang projek berkenaan, berbagai ragam pakar-pakar Jepun yang telah kami kenali.



Ada seorang pakar tersebut telah memeluk agama Islam. Seperti yang kita tahu, ramai orang Jepun (tapi tidak semua) tidak mempercayai sebarang agama atau mengamal agama Shinto atau Buddha. Pakar yang disebutkan tadi ni, walau dia bersifat pemarah, kurang sabar, tetapi mereka berfikiran terbuka dan bersedia menerima kritikan. Mereka terbuka untuk memperbaiki diri mereka untuk menjadi yang lebih baik. Mereka sentiasa ada keinginan untuk mempelajari sesuatu yang baru. 



Sementara itu, dengan budaya kita menghormati tetamu dan menjamu tetamu apabila berkunjung ke tempat kita, tidak kira rumah atau pejabat, telah pernah menjadi suatu topik yang hangat. Terdapat satu aktiviti yang dilaksanakan di bawah projek ini di suatu kawasan. Pihak Jepun/JICA berkeras bahawa, mereka tidak akan membayar tempahan makanan semasa aktiviti tersebut. Mereka, menyatakan bahawa, mereka boleh membayar apa jua bentuk bantuan atau pembelian lain, tetapi tidak makanan. Pihak kami pada mulanya agak hairan dengan pendirian tersebut. Setelah beberapa pegawai kami yang telah ke Jepun untuk mengikuti kursus di Jepun, barulah kami memahami budaya mereka. Semasa kami di Jepun, jika kami hendak melawat ke mana-mana atau berkunjung ke tempat-tempat mereka atau pejabat-pejabat mereka, jarang sekali kami di jamu makanan. Sebaliknya, kami dinasihatkan untuk membawa minuman sendiri. Sejak kami memahami perkara tersebut, tidaklah kami mempertikaikan lagi perkara seperti itu. Tetapi kami, seperti lazimnya adat kita, tetap menempah makanan walau untuk mesyuarat dalaman, dan, memandangkan mereka juga sepejabat dengan kami, kami sering memanggil mereka untuk makan bersama walau mereka tidak ikut serta dalam mesyuarat yang diadakan. 



Mengenai pengalaman pahit pulak, kawan saya L, pernah menangis kerana dimarah oleh salah seorang pakar dari Jepun. Bukan itu sahaja, pakar tersebut telah mengadu kepada ketua jabatan kami mengenai perkara itu. Puncanya kerana lambat memberi atau menyiapkan laporan serta minit mesyuarat yang diminta. Nasib baik lah ketua jabatan kami bukanlah seorang yang akan terburu-buru mengambil tindakan dengan aduan yang diterima. Nasihat yang diberi oleh Ketua Jabatan saya telah dapat menyejukkan perasaan kawan saya. Saya juga turut membantu L, kerana saya tahu L, belum berapa mahir dengan penggunaan komputer. Dia menyatakan bahawa, minit dan laporan yang dibuatnya hilang tanpa dapat disimpan terlebih dahulu. Tetapi yang baiknya pakar tersebut tidak juga memendam perasaan dendam atau benci, tidak berapa lama selepas kejadian tersebut, mereka berbaik-baik semula. Tugas-tugas juga dapat dilaksanakan dengan baik.




Saya sendiri telah beberapa kali ditegur kerana lambat untuk mengemaskini laman web. Tetapi saya hanya "cool" atau buat-buat bodoh dan menyatakan yang saya akan siapkan atau laksanakannya jika saya memperoleh maklumat dari kawan-kawan atau pegawai-pegawai lain yang mempunyai maklumat yang berkaitan. Jika saya tidak terima maklumat tersebut bagaimana saya hendak melaksanakannya. Kadang-kadang mereka rasa tidak puas hati dengan jawapan saya. Tapi saya tidak mahu mewujudkan satu ketegangan semasa menjalankan tugas yang diberi. Sebaik mungkin saya cuba selesaikan secepat mungkin.  




Seperti yang saya sebutkan dalam artikel saya sebelum ini mengenai kepentingan masa oleh masyarakat Jepun, ianya kadangkala menjadi isu semasa menjalankan tugas bersama. Beberapa pakar Jepun serta pekerja tempatan yang bekerja dengan mereka telah ditempatkan di ruang pejabat kami. Kami sering berborak dengan staf-staf mereka. Tetapi, mereka melarang staf mereka untuk bersembang-sembang dengan kami lebih dari 15 minit. Ya, hanya 15 minit sahaja masa maksimum untuk staf mereka turun minum (jika perlu) atau bersembang. Terpaksalah kami hormati larangan tersebut. 

Pernah beberapa kali, oleh kerana isu yang dibincangkan belum mencapai kata putus, mesyuarat tetap diteruskan. Kadangkala bagi kita, jika tidak terlalu penting, kita tangguhkan dahulu mesyuarat tersebut ke masa yang lain. Tetapi, bagi mereka, selagi belum siap, jangan harap boleh balik. Pernah pada awal projek, beberapa kali mesyuarat habis sehingga jam 6 lebih. Sehingga masuk waktu maghrib. Begitulah bersemangatnya mereka dalam melaksanakan tugas yang diberi. Memang tiada tandingan dengan pegawai-pegawai kita dalam ketekunan mereka menjalankan tugas mereka. Jika hari biasa pun, di pejabat, merekalah pekerja yang paling akhir sekali balik. Jika kami tanya jam berapa mereka selalu balik, mereka akan katakan dalam jam 8 atau 9. Kalau kita rakyat Malaysia, masa tersebut, kita telah bersama keluarga kita masing-masing. 

Satu lagi amalam pekerja-pekerja Jepun yang boleh kita pelajari adalah mengenai perancangan, penulisan laporan dan pelaksanaan pemantauan.Perancangan yang dilakukan sentiasa teliti. Setiap perancangan akan diolah dalam satu kertas cadangan yang mempunyai matlamat, tujuan, output, input, verifiable indicators, bagaimana untuk mendapatkan indicator tersebut, dan setiap aktiviti yang akan dilaksanakan yang dipanggil Project Design Matrix. Semua ini didalam satu muka surat sahaja agar senang untuk melihat dan memantau. Untuk setiap aktiviti itu pula, satu perancangan menyeluruh untuk jangkamasa projek (untuk mengenalpasti bila aktiviti itu akan dilaksanakan bagi setiap tahun) hendaklah diperincikan. Ini dipanggil Plans of operation (PO). Apabila ini dibuat, kita sudah dapat menjangka, bila sesuatu aktiviti itu akan dilaksanakan, siapa yang akan melaksanakannya, kos yang terlibat serta peralatan-peralatan yang diperlukan untuk melaksanakannya. Oleh itu, dengan terhasilnya PO ini, setiap tahun, agensi pelaksana boleh merujuknya untuk melaksanakan program serta aktiviti. Pemantauan juga dilaksanakan berdasarkan senarai aktiviti yang dirancang di dalam PO. Berapa aktiviti yang telah dilaksanakan, serta apakah program serta aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada senarai aktiviti yang dirancang. Begitu teliti bukan. Penyediaan laporan, pada mulanya, dilaksanakan setiap bulan! Oleh kerana terlalu banyak masa yang digunakan untuk menulis laporan, pihak Jepun dan Sabah bersepakat untuk menyediakan laporan 3 bulan sekali. Kemudian, di kurangkan lagi kepada 6 bulan sekali. 

Jangan tak percaya, ada kawan-kawan saya yang serik mau bekerja dengan Jepun ni.... hehe Tetapi sebenarnya banyak juga pelajaran, pengajaran dan pengalaman yang saya perolehi dari mereka. Pengalaman itu lah yang mendewasakan kita. Insya Allah, seboleh-bolehnya dan sebaik-baiknya kita ambil yang baik-baik sahaja dari mereka ini. Sentiasalah berfikiran positif untuk menghasilkan satu pengalaman yang marvelous.  

  

 

Tuesday 23 April 2013

Pengalaman di Jepun

Seperti yang kita ketahui negara Jepun ialah sebuah negara maju yang mempunyai kuasa ekonomi yang ketiga terbesar didunia dari segi KDNK nominal selepas Amerika dan China. Penduduk Jepun menikmati taraf hidup ekonomi yang tinggi (iaitu yang ke -8 dalam indeks Pembangunan Manusia) dan mempunyai jangka hayat yang tertinggi di dunia menurut PBB. Oleh yang demikian, apabila dapat peluang menjejaki dan mempelajari sesuatu dari negara tersebut, saya rasa amat bertuah. Pada tahun 2003, saya dapat mengikuti kursus selama 3 minggu di negara matahari terbit itu. Walaupun sudah 10 tahun berlalu, saya rasakan, ianya seperti satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.  Terlalu banyak yang boleh kita contohi, pelajari serta boleh diaplikasikan di negara kita. Amat bertepatan bila dahulu Tun Mahathir melancarkan Dasar Pandang Ke Timur di mana dasar ini menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika kerja.

Sesampai di Jepun, satu perbandingan yang amat ketara yang dapat di lihat dengan mata kasar mengenai bandar Jepun dengan bandar tempat kita ialah kebersihannya. Puntung rokok pun susah mau nampak di sepanjang jalanraya. Apalagi sampah. Ada suatu tempat (seperti gambar di bawah) yang kami pergi, kami telah dimaklumkan terlebih dahulu bahawa tempat tersebut tidak akan disediakan tong sampah. Kami di minta jangan membuang sampah dan menyimpan sampah kami untuk di bawa balik. Sesampai kami di tempat seperti di bawah, kami dapati kawasan tersebut bersih, tiada satu pun sampah walaupun tiada tong sampah disediakan. Tiada juga notis-notis akan dikenakan denda jika membuang sampah di kawasan tersebut. Saya bayangkan jika kawasan ini berada di kawasan kita, adakah kita akan menyalahkan majlis perbandaran atau pemilik kawasan tersebut kerana tidak menyediakan tong sampah, berapa banyak notis-notis jangan membuang sampah didirikan di kawasan-kawasan larangan membuang sampah tetapi masih banyak sampah dibuang di kawasan-kawasan tersebut. 
`

 Di kawasan perumahan serta pejabat pulak, masyarakat Jepun telah lama mengamalkan kitar semula. Sebelum pihak majlis perbandaran mengambil sampah-sampah dari lokasi-lokasi perumahan atau pejabat, sampah-sampah tersebut telah diasingkan terlebih dahulu oleh pengguna, seperti kertas, plastik, kaca, dan makanan basah. Sampah-sampah ini kemudiannya diletakkan di suatu tempat sebelum di angkat oleh syarikat-syarikat kitar semula. Saya bandingkan lagi perkara ini di rumah saya sendiri sahaja, walaupun saya cuba untuk mendidik anak-anak untuk mengasingkan sampah-sampah ini, malangnya perkara yang semudah ini pun belum dapat saya capai.

Bukan mengasingkan sampah-sampah sahaja yang saya kagum dengan budaya Jepun ini, tetapi, jika kita ke tempat-tempat makan awam, rata-rata semua masyarakat Jepun akan mengangkat sendiri pinggan atau semua peralatan untuk makan dari meja mereka selepas habis makan. Dengan ini akan memudahkan orang lain untuk menggunakan meja tersebut. Kalau kita di sini, kita tahu ada orang yang akan membersihkan meja tersebut selepas kita beredar. Jadi kenapa perlu kita mengangkat pinggan dan gelas yang kita gunakan. Betul kah? Tapi nilai yang bagaimanakah yang dapat kita terapkan dengan membersihkan meja yang kita gunakan? Apa yang dapat saya katakan ialah nilai-nilai bertanggungjawab serta rendah diri kita untuk sama-sama menjaga persekitaran kita. Sebab tu di rumah, saya pastikan anak-anak tidak terus meninggalkan meja makan dan mengharapkan orang lain untuk mengemas meja makan. Semua mesti ada rasa tanggungjawab untuk mengemas, tidak kira lelaki atau perempuan.


Masa adalah faktor yang paling utama kepada masyarakat Jepun. Jika di stesen keretapi rata-rata masyarakat Jepun akan berlari-lari untuk mengejar keretapi yang berada di stesen tersebut sebelum masa untuk beredar walaupun mereka tahu keretapi yang lain akan sampai dalam masa 7 minit sahaja ke destinasi yang sama yang mereka akan tuju. Mungkin sebab tu lah Jepun telah membina bullet train. Untuk memastikan masyarakatnya sampai ke destinasi yang dituju dengan cepat. Semasa kami kursus, ada seorang kawan saya, selalu turun lambat untuk memulakan perjalanan ke lokasi tertentu. Sebab tu, fasilitator kami sering marah-marah jika kami lambat. Oleh itu, kami sering ingatkan sesama kami, budaya Melayu jangan lah di bawa ke Jepun. 


Satu lagi perkara yang saya kagum dengan pekerja-pekerja Jepun ni adalah mengenai pengangkutan awam yang sangat efisien. Saya rasa ramai juga yang pasti tahu bahawa Jepun adalah salah satu negara pengeluar kereta yang utama di dunia. Tetapi kenapa rakyatnya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja? Tidak kurang ramai juga yang menaiki basikal sahaja ke tempat kerja. Adakah kereta-kereta mereka hanya di eksport ke negara luar? Selama 3 minggu saya di Jepun, saya tidak pernah melihat kesesakan jalan raya. Jadi bagaimana kita hendak mencapai negara maju, adakah kita akan mengikut seperti Jepun? Perlukah kita memiliki kereta dan menukarnya setiap 5 tahun untuk menunjukkan yang kita telah maju dan berjaya?  


Monday 22 April 2013

Kenangan indah bersamamu

Kucing adalah salah satu binatang peliharaan yang paling di minati ramai. Kucing pertama kami sejak kami pindah di rumah kami ini, bernama Onceng. Bulu Onceng, sangat cantik, seperti kucing siam, warna putih kelabu kuning. Kucing ni, abang dan Toto (anak tiri lelaki saya) yang jumpa, semasa membersihkan parit di belakang rumah. Pada ketika itu, suara onceng ketakutan, kerana semalaman dibiarkan di parit tersebut. Ia mengiau-ngiau memanggil untuk ditolong. Onceng masih kecil, mungkin baru dalam beberapa minggu dan sangat kurus. Tanpa berlengah, abang terus memungut kucing berkenaan, mandikan dan beri makan.  

Inilah Onceng

Pada mulanya aku menentang sekeras-kerasnya untuk memelihara kucing di rumah. Bukannya tidak sukakan binatang, cuma terlalu banyak yang perlu dilakukan jika memelihara kucing. Makannya, tempat tidurnya, dan yang paling penting tempat membuang najisnya. Ini yang merisaukan aku. Abang seperti memahami, dia kemudian menyuruh ku menelefon adiknya, tanya samada mereka nakkan anak kucing atau tidak. Apabila aku telefon, ternyata mereka juga tidak mahu menjaga anak kucing berkenaan. Susah katanya. Dengan rasa berat hati aku pun bersetuju untuk memelihara Onceng dengan syarat, semua ahli keluarga hendaklah menolong menjaganya.  Gembira sungguh anak-anak tiri ku.

Selang beberapa bulan, Onceng membesar dan menjadi kucing yang nakal dan menghiburkan. Onceng pandai bermain, dan seperti tahu sahaja bila aku balik dari kerja, pasti hendak makan. Makanan Onceng ialah ikan + nasi. Selalunya kami akan belikan khas ikan basung untuk Onceng. Kadang-kadang kalau kami kehabisan lauk, terpaksa ambil ikan basung Onceng.

Onceng ni seekor kucing betina. Oleh itu terdapat 2 atau 3 ekor jantan yang selalu datang ke rumah. Nak mengorat Onceng lah tu. 2 ekor kucing jantan yang selalu datang ke rumah warna bulunya kelabu belang-belang dan kuning belang-belang. Setelah beberapa bulan, Onceng pun bunting dan beranak. Pertama kali Onceng beranak, anaknya 3 ekor. 2 ekor kuning belang dan seekor kelabu belang. Namun, anak Onceng tak panjang umur. Ketiga-tiga anaknya mati. 

anak Onceng

Ni anak dia yang pertama


Ni lah anak-anak Onceng (ni anak-anaknya yang kedua kali beranak)
Selepas itu, Onceng beranak lagi, kali ni anaknya 3 ekor juga dan warna bulunya juga sama, 2 ekor kuning belang dan seekor kelabu belang. Namun, seekor anaknya yang kuning belang mati terlanggar kereta. Anak-anak Onceng ni sangat manja. Kalau orang nak jalan kerja, anak-anak dia pun sibuk juga ke bawah kereta dan selalu bermain di bawah kereta. Jadi sehingga kini, hanya 2 ekor sahaja anaknya yang masih hidup. Nama anak-anak si Onceng ni ialah Onteng dan Belang. 

Selepas anak-anaknya dah besar sikit, Onceng bunting lagi. Kali ni, Onceng dapat 3 ekor juga anak.  Tetapi, semua bulu anak-anak Onceng seperti dia. Dan ada yang satu tu, putih sangat. Cantik. Anak-anak Onceng semua comel-comel. Namun kesian, semua ketiga-tiga ekor anaknya kali ni, pun tak panjang hayatnya. Mulanya, seekor anak Onceng, terlanggar kereta, tetapi dia tak mati. Kejadian tu berlaku betul-betul di hadapan mataku. Semasa kejadian, aku yang menjerit. Anak kucing tu, lari masuk bawah almari. Setelah ditengok, sebelah kakinya patah, dan dia terpaksa mengheret kakinya yang patah itu. Rasa nak menitis air mata melihat keadaan dia. Makan tak berselera, minum pun tak lalu. Ada dalam beberapa minggu juga dia berkeadaan begitu. Oleh yang demikian, terpaksalah menolong anak kucing tu membersihkan bulunya selepas dia membuang najis. Sebab kakinya yang sebelah sahaja tu, tak kuat untuk berdiri. memang sedih betul menguruskan anak kucing tu, tetapi aku tengok semakin hari dia semakin tabah. Walau dengan kakinya yang patah, masih juga dia berlari-lari mengejar dan bermain dengan adik-adiknya. Keadaan anak kucing yang lincah tu, semakin surut apabila adiknya pula sakit. Kurang pasti apakah yang menyebabkan adiknya sakit dan kemudiannya mati. Selepas adiknya mati, dia pun semakin sakit juga dan tak lama kemudian dia pun mati juga pada hari yang sama. Aku juga yang menemani anak kucing tu pada saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tinggallah seekor sahaja anak kucing yang sama bulunya dengan Onceng. Namun, anak kucing tu pun tidak panjang hayatnya. Mungkin, dia rasa kehilangan kedua-dua saudaranya, dia pun jatuh sakit dan kemudiannya mati juga selang beberapa hari. Kehilangan ketiga-tiga anak kucing tu, sungguh terasa di hati ini.    

Sementara tu, tinggallah 2 ekor sahaja anak si Onceng, iaitu si Onteng dan si Belang. Abang memang suka binatang lebih-lebih lagi anak-anak Onceng. Selalunya kalau abang tidur sebelah siang, kedua-dua anak kucing tu akan dibawanya tidur bersama. Di bilik berhawa dingin lagi tu. Kedua-dua anak kucing tu akan tidur di kakinya.

Oh ya, Onteng ni ada nama yang didaftarkan di Klinik Jabatan Haiwan di Kepayan. Namanya dalam pendaftaran tu ialah Cholo, sempena nama pelakon utama dalam cerita Stairway to Heaven (versi Filipina). Adik iparku yang berikan nama tu. Masa tu Onteng ketulangan, nasib tidak dibedah. Cuma diberi suntikan 2 kali sahaja. Alhamdulillah, selepas disuntik, Onteng sihat semula, malahan semakin gemuk. Salah satu sebab kenapa Onteng ni ketulangan ialah kerana dia ni kalau pasal makan, nombor satu. Macam ndak kena kasi makan 10 hari tu. Berebut-rebut dengan si Belang. Memang dari kecil lagi begitulah caranya makan.  

Onteng dan Belang ni kucing yang manja. Kalau lambat sikit beri makan, menggesel-gesel di kaki. Kadang-kadang aku masak dulu, baru lah sama-sama makan. Tapi bukanlah sama-sama makan di atas meja. Tetapi sama-sama masa makan, kalau tak, mengacau dan meminta-minta ikan lah kucing-kucing tu. Satu perangai si Onteng yang buatkan kami hairan, kagum dan marah ialah dia suka membuka tudung dulang. Kadang tu, kalau ada ikan atau ayam di bawah tudung dulang, dia akan membuka tudung dulang tu, dan menutupnya semula seperti sedia kala. Mulanya kami pun hairan kenapa ikan di bawah tudung dulang, pandai berkurangan. Lama kelamaan, kami tahu siapa dalangnya. Kadang-kadang anak-anak letakkan pemberat di atas tudung dulang. Tak lah si Onteng dapat membuka tudung dulang tu. Dengan perangai Onteng yang pandai membuka tudung dulang dan mencuri lauk tu, banyaklah piring dan gelas yang pecah. Kalau pasal gelas dan piring, masih lagi boleh tahan.

Seperti yang ku katakan di atas, aku begitu titik beratkan tempat membuang najis kucing-kucing ni. Dari awal lagi, Abang telah sediakan tempatnya. Tanah di depan rumah digemburkan agar kucing-kucing tu dapat melepaskan hajat mereka dengan senang. Jika tidak di depan rumah, kucing-kucing tu akan melepaskan hajat di tandas. Senanglah sikit menyucinya. Namun, sejak kebelakangan atau masa-masa tertentu seperti bila anak-anak balik ke Kepayan, kucing tu pandai pulak melepaskan hajat di dalam bilik atau lebih khusus lagi di atas tilam budak-budak tu. Itu yang buatkan Abang rasa macam marah dan geram juga. Aku pun, apalagi, bisinglah kenapa kucing-kucing ni membuang di atas tilam pulak tu. Kalau setakat di penjuru bilik ka, ok lagi.

Oleh yang demikian, atas sebab-sebab di atas, Abang pun berhasrat untuk membuang kucing-kucing tu katanya. Pada mulanya ingatkan Abang hanya main-main. Aku hanya diamkan sahaja. Tetapi, tidak lama selepas tu, Abang menyuruhku menangkap kucing-kucing tu dan masukkan ke dalam kereta. Bila di tanya mau buang di mana, abang hanya cakap, buang di kawasan car wash menantunya, katanya. Dalam hatiku kesiannya kucing-kucing tu, dapatkah makan kalau di kawasan car wash, bagaimana kalau di langgar kereta sebab car wash tu bersebelahan dengan jalan besar sahaja. Namun, tidak berani ku luahkannya. Hanya mengikut apa yang di suruh. Onteng dan Belang pun seperti tahu sesuatu akan bakal berlaku terhadap mereka. Bila dimasukkan ke dalam kereta, Onteng seperti ketakutan. Semasa dalam perjalanan, di dalam kereta, Onteng memanjat-manjat di belakang kereta. Sekejap turun di kaki. Kemudian, Onteng kencing di tempat duduk belakang. Belang pula hanya mendiamkan dirinya. Sesampai kami di kawasan car wash, tiada satu pun kereta di situ. Pekerja car wash juga tiada. Abang teruskan perjalanan ke barek Kepayan. Sesampai di sana, Abang suruh turunkan Onteng dan Belang. Onteng dan Belang terus lari ke bawah kereta. Bila kami mula beredar, hati ku sungguh sedih.

Selamat Tinggal Onteng! Selamat Tinggal Belang! semoga kamu dipelihara dengan baik oleh penduduk sekitar kawasan tersebut. Sesekali bila kami ke sana, kami ternampak Onteng dan Belang. Alhamdulillah, mereka baik-baik sahaja.

Oh ya! Onceng pulak, sejak kematian anak-anaknya yang 3 ekor tu, sudah jarang balik ke rumah. Mungkin sudah ada penjaga baru. Terima kasih semua kerana sudi membaca cerita kucing-kucing ku.        

  


Saturday 20 April 2013

My goal in life

I think 2013 is a goal achievement year. This year alone, there were 3 courses / seminars / talks related to setting up goals that I have attended. In one of the courses I attended, it was mentioned that successful people create and pursue goals that are Specific, Measurable, Attainable, Realistic and Time-bound.  They know what they want to achieve in life and why they want to achieve it.  Identifying SMART goals which are relevant to you motivates you to figure out the various ways in which you can attain them.

The first seminar that I attended was facilitated by the famous Dr. Azizan Osman. I attended the seminar with my office room mate and my sister in law. In his talk, he asked us to write down our goals in a postcard and informed our partner sitting next to us about that goals. He then asked us to post that goals to ourselves. But still, I didn't post the postcard, because I still think that there is still a gap on how to achieve that goal. Maybe because I am still looking for a mentor. He did mention that to be successful, we need to have a mentor. Or maybe that is just an excused. :-)     

Then recently, I was lucky to be chosen as one of the participants in a course entitled Developing a High Performance Mindset. It was a 2 days course and the facilitator was Mr. Jeevan N. Sahadevan who had won a few awards on coaching. After attended this course, I felt that I really need to set my goal in life. It was a turning point for me. I don't know how many more years I have in this life to be able to achieve what I wanted. He said during the course that, what is important is our future, our remaining years in this world. We cannot change our history but we can change our future. For all these years, I never set up and write down any specific goals that I wanted to achieve. I only dream, that some day I would be able to so and so. By end of the year, I almost forgotten what I wanted in the early year. There were no tools to measure my achievement.

So, with the knowledge from the above course, in early April 2013, I started to brainstorm my specific goals for 2013, based on the following criteria:
  • Business / Job 
  • Financial 
  • Physical 
  • Mental 
  • Family 
  • Relationship 
  • Spiritual 
  • Lifestyle
Hopefully by end of April, I will be able to measure my performance to achieve the goals that I had drawn. How many percentage I have achieved within this 1 month, and so forth for the coming month until end of the year. Wish me luck!


   

Wednesday 17 April 2013

Seteguh Fikrah Saleha

Buku yang ku baca yang memberi banyak pengajaran kepada ku. Buku ini di tulis oleh Aminah Mokhtar. Walaupun ianya sebuah buku novel, namun terdapat beberapa perkara mengenai kejayaan yang dapat memberi pengajaran. Antara pengajaran yang aku perolehi dengan membaca buku ini adalah seperti berikut:

1. 6 langkah untuk mencapai kejayaan adalah:
  • Minat yang mendalam  : Apa pun yang kita hendak capai, kita mestilah mempunyai minat yang mendalam terhadap perkara atau aktiviti tersebut. Tanpa minat, kita hanya seperti hangat-hangat tahi ayam. 
  • Kepercayaan : Kepercayaan kepada Allah yang memberi rezeki serta keyakinan kepada diri kita untuk melaksanakan sesuatu itu adalah sangat penting. 
  • Strategi  : Setiap pelaksanaan kita perlu ada strategi yang baik.
  • Nilai-nilai dalaman yang bermakna : Sucikan hati, jangan berdendam, hasad dengki, pilih kasih, tamak haloba. Niat kita mesti baik. Jangan bersangka buruk dengan orang.
  • Tenaga dan keupayaan : Kita perlu ada tenaga dan keupayaan untuk melaksanakan apa yang kita inginkan. Jika kita tidak mampu untuk melakukan sendiri, bagaimanakah cara kita untuk memohon pertolongan orang lain, seperti saudara mara kita untuk sama-sama mencapai cita-cita yang kita impikan bersama. Semangat bekerjasama, tolak ansur perlu ada.
  • Kebijaksanaan komunikasi : Komunikasi amat penting dalam menyampaikan keinginan serta hasrat kita. Komunikasi berkesan hendaklah dilaksanakan kepada pelanggan serta stakeholders kita.
2. Cara yang terbaik untuk meningkatkan keyakinan diri adalah
  • Yakin 500% Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Pemberi 
  • Kepercayaan itu pasti jadi kuasa yang amat kuat untuk buat perubahan positif dalam kehidupan 
3. Pemimpin adalah pengikut. Pemimpin dan pengikut adalah orang yang sama yang memainkan peranan berbeza pada masa yang berbeza. Setiap pengikut itu pemimpin kerana setiap penjual adalah juga pembeli. Setiap ibu juga seorang anak, seorang guru juga adalah seorang murid. Pemimpin yang berjaya bukan kerana kehebatan mereka menjadi pemimpin tetapi kerana adanya pengikut yang sanggup mengikut.

4.  Hubungan kekeluargaan adalah amat penting dalam mencapai sesuatu impian. Walau seburuk mana pun keluarga kita, jangan pernah cuba untuk memutuskan hubungan silaturrahim. Walau sindiran dan kejahatan yang kita terima, balaslah setiap perbuatan itu dengan kebaikan.

5. Untuk berjaya kita mestilah berusaha, dan berusaha dan terus berusaha. Fikiran yang positif mestilah dipupuk di dalam diri. 

6. Kunci kelapangan hidup adalah kesabaran. Kunci kejayaan, kecemerlangan, dan keterbilangan adalah ketinggian ilmu dan selalu beristiqamah. Kunci kebahagiaan adalah selalu bermuhasabah diri dan kunci keindahan dan kemantapan kasih sayang adalah saling percaya dan menerima kelemahan dan kelebihan diri sendiri dan orang lain seadanya.

Sesiapa yang berminat untuk membaca buku ini, bolehlah pinjam di perpustakaan atau beli di kedai-kedai buku. Selamat membaca! Dengan itu, marilah kita berdoa agar kita mencapai kejayaan kita serta dimurahkan rezeki. Amin.