Monday 22 April 2013

Kenangan indah bersamamu

Kucing adalah salah satu binatang peliharaan yang paling di minati ramai. Kucing pertama kami sejak kami pindah di rumah kami ini, bernama Onceng. Bulu Onceng, sangat cantik, seperti kucing siam, warna putih kelabu kuning. Kucing ni, abang dan Toto (anak tiri lelaki saya) yang jumpa, semasa membersihkan parit di belakang rumah. Pada ketika itu, suara onceng ketakutan, kerana semalaman dibiarkan di parit tersebut. Ia mengiau-ngiau memanggil untuk ditolong. Onceng masih kecil, mungkin baru dalam beberapa minggu dan sangat kurus. Tanpa berlengah, abang terus memungut kucing berkenaan, mandikan dan beri makan.  

Inilah Onceng

Pada mulanya aku menentang sekeras-kerasnya untuk memelihara kucing di rumah. Bukannya tidak sukakan binatang, cuma terlalu banyak yang perlu dilakukan jika memelihara kucing. Makannya, tempat tidurnya, dan yang paling penting tempat membuang najisnya. Ini yang merisaukan aku. Abang seperti memahami, dia kemudian menyuruh ku menelefon adiknya, tanya samada mereka nakkan anak kucing atau tidak. Apabila aku telefon, ternyata mereka juga tidak mahu menjaga anak kucing berkenaan. Susah katanya. Dengan rasa berat hati aku pun bersetuju untuk memelihara Onceng dengan syarat, semua ahli keluarga hendaklah menolong menjaganya.  Gembira sungguh anak-anak tiri ku.

Selang beberapa bulan, Onceng membesar dan menjadi kucing yang nakal dan menghiburkan. Onceng pandai bermain, dan seperti tahu sahaja bila aku balik dari kerja, pasti hendak makan. Makanan Onceng ialah ikan + nasi. Selalunya kami akan belikan khas ikan basung untuk Onceng. Kadang-kadang kalau kami kehabisan lauk, terpaksa ambil ikan basung Onceng.

Onceng ni seekor kucing betina. Oleh itu terdapat 2 atau 3 ekor jantan yang selalu datang ke rumah. Nak mengorat Onceng lah tu. 2 ekor kucing jantan yang selalu datang ke rumah warna bulunya kelabu belang-belang dan kuning belang-belang. Setelah beberapa bulan, Onceng pun bunting dan beranak. Pertama kali Onceng beranak, anaknya 3 ekor. 2 ekor kuning belang dan seekor kelabu belang. Namun, anak Onceng tak panjang umur. Ketiga-tiga anaknya mati. 

anak Onceng

Ni anak dia yang pertama


Ni lah anak-anak Onceng (ni anak-anaknya yang kedua kali beranak)
Selepas itu, Onceng beranak lagi, kali ni anaknya 3 ekor juga dan warna bulunya juga sama, 2 ekor kuning belang dan seekor kelabu belang. Namun, seekor anaknya yang kuning belang mati terlanggar kereta. Anak-anak Onceng ni sangat manja. Kalau orang nak jalan kerja, anak-anak dia pun sibuk juga ke bawah kereta dan selalu bermain di bawah kereta. Jadi sehingga kini, hanya 2 ekor sahaja anaknya yang masih hidup. Nama anak-anak si Onceng ni ialah Onteng dan Belang. 

Selepas anak-anaknya dah besar sikit, Onceng bunting lagi. Kali ni, Onceng dapat 3 ekor juga anak.  Tetapi, semua bulu anak-anak Onceng seperti dia. Dan ada yang satu tu, putih sangat. Cantik. Anak-anak Onceng semua comel-comel. Namun kesian, semua ketiga-tiga ekor anaknya kali ni, pun tak panjang hayatnya. Mulanya, seekor anak Onceng, terlanggar kereta, tetapi dia tak mati. Kejadian tu berlaku betul-betul di hadapan mataku. Semasa kejadian, aku yang menjerit. Anak kucing tu, lari masuk bawah almari. Setelah ditengok, sebelah kakinya patah, dan dia terpaksa mengheret kakinya yang patah itu. Rasa nak menitis air mata melihat keadaan dia. Makan tak berselera, minum pun tak lalu. Ada dalam beberapa minggu juga dia berkeadaan begitu. Oleh yang demikian, terpaksalah menolong anak kucing tu membersihkan bulunya selepas dia membuang najis. Sebab kakinya yang sebelah sahaja tu, tak kuat untuk berdiri. memang sedih betul menguruskan anak kucing tu, tetapi aku tengok semakin hari dia semakin tabah. Walau dengan kakinya yang patah, masih juga dia berlari-lari mengejar dan bermain dengan adik-adiknya. Keadaan anak kucing yang lincah tu, semakin surut apabila adiknya pula sakit. Kurang pasti apakah yang menyebabkan adiknya sakit dan kemudiannya mati. Selepas adiknya mati, dia pun semakin sakit juga dan tak lama kemudian dia pun mati juga pada hari yang sama. Aku juga yang menemani anak kucing tu pada saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tinggallah seekor sahaja anak kucing yang sama bulunya dengan Onceng. Namun, anak kucing tu pun tidak panjang hayatnya. Mungkin, dia rasa kehilangan kedua-dua saudaranya, dia pun jatuh sakit dan kemudiannya mati juga selang beberapa hari. Kehilangan ketiga-tiga anak kucing tu, sungguh terasa di hati ini.    

Sementara tu, tinggallah 2 ekor sahaja anak si Onceng, iaitu si Onteng dan si Belang. Abang memang suka binatang lebih-lebih lagi anak-anak Onceng. Selalunya kalau abang tidur sebelah siang, kedua-dua anak kucing tu akan dibawanya tidur bersama. Di bilik berhawa dingin lagi tu. Kedua-dua anak kucing tu akan tidur di kakinya.

Oh ya, Onteng ni ada nama yang didaftarkan di Klinik Jabatan Haiwan di Kepayan. Namanya dalam pendaftaran tu ialah Cholo, sempena nama pelakon utama dalam cerita Stairway to Heaven (versi Filipina). Adik iparku yang berikan nama tu. Masa tu Onteng ketulangan, nasib tidak dibedah. Cuma diberi suntikan 2 kali sahaja. Alhamdulillah, selepas disuntik, Onteng sihat semula, malahan semakin gemuk. Salah satu sebab kenapa Onteng ni ketulangan ialah kerana dia ni kalau pasal makan, nombor satu. Macam ndak kena kasi makan 10 hari tu. Berebut-rebut dengan si Belang. Memang dari kecil lagi begitulah caranya makan.  

Onteng dan Belang ni kucing yang manja. Kalau lambat sikit beri makan, menggesel-gesel di kaki. Kadang-kadang aku masak dulu, baru lah sama-sama makan. Tapi bukanlah sama-sama makan di atas meja. Tetapi sama-sama masa makan, kalau tak, mengacau dan meminta-minta ikan lah kucing-kucing tu. Satu perangai si Onteng yang buatkan kami hairan, kagum dan marah ialah dia suka membuka tudung dulang. Kadang tu, kalau ada ikan atau ayam di bawah tudung dulang, dia akan membuka tudung dulang tu, dan menutupnya semula seperti sedia kala. Mulanya kami pun hairan kenapa ikan di bawah tudung dulang, pandai berkurangan. Lama kelamaan, kami tahu siapa dalangnya. Kadang-kadang anak-anak letakkan pemberat di atas tudung dulang. Tak lah si Onteng dapat membuka tudung dulang tu. Dengan perangai Onteng yang pandai membuka tudung dulang dan mencuri lauk tu, banyaklah piring dan gelas yang pecah. Kalau pasal gelas dan piring, masih lagi boleh tahan.

Seperti yang ku katakan di atas, aku begitu titik beratkan tempat membuang najis kucing-kucing ni. Dari awal lagi, Abang telah sediakan tempatnya. Tanah di depan rumah digemburkan agar kucing-kucing tu dapat melepaskan hajat mereka dengan senang. Jika tidak di depan rumah, kucing-kucing tu akan melepaskan hajat di tandas. Senanglah sikit menyucinya. Namun, sejak kebelakangan atau masa-masa tertentu seperti bila anak-anak balik ke Kepayan, kucing tu pandai pulak melepaskan hajat di dalam bilik atau lebih khusus lagi di atas tilam budak-budak tu. Itu yang buatkan Abang rasa macam marah dan geram juga. Aku pun, apalagi, bisinglah kenapa kucing-kucing ni membuang di atas tilam pulak tu. Kalau setakat di penjuru bilik ka, ok lagi.

Oleh yang demikian, atas sebab-sebab di atas, Abang pun berhasrat untuk membuang kucing-kucing tu katanya. Pada mulanya ingatkan Abang hanya main-main. Aku hanya diamkan sahaja. Tetapi, tidak lama selepas tu, Abang menyuruhku menangkap kucing-kucing tu dan masukkan ke dalam kereta. Bila di tanya mau buang di mana, abang hanya cakap, buang di kawasan car wash menantunya, katanya. Dalam hatiku kesiannya kucing-kucing tu, dapatkah makan kalau di kawasan car wash, bagaimana kalau di langgar kereta sebab car wash tu bersebelahan dengan jalan besar sahaja. Namun, tidak berani ku luahkannya. Hanya mengikut apa yang di suruh. Onteng dan Belang pun seperti tahu sesuatu akan bakal berlaku terhadap mereka. Bila dimasukkan ke dalam kereta, Onteng seperti ketakutan. Semasa dalam perjalanan, di dalam kereta, Onteng memanjat-manjat di belakang kereta. Sekejap turun di kaki. Kemudian, Onteng kencing di tempat duduk belakang. Belang pula hanya mendiamkan dirinya. Sesampai kami di kawasan car wash, tiada satu pun kereta di situ. Pekerja car wash juga tiada. Abang teruskan perjalanan ke barek Kepayan. Sesampai di sana, Abang suruh turunkan Onteng dan Belang. Onteng dan Belang terus lari ke bawah kereta. Bila kami mula beredar, hati ku sungguh sedih.

Selamat Tinggal Onteng! Selamat Tinggal Belang! semoga kamu dipelihara dengan baik oleh penduduk sekitar kawasan tersebut. Sesekali bila kami ke sana, kami ternampak Onteng dan Belang. Alhamdulillah, mereka baik-baik sahaja.

Oh ya! Onceng pulak, sejak kematian anak-anaknya yang 3 ekor tu, sudah jarang balik ke rumah. Mungkin sudah ada penjaga baru. Terima kasih semua kerana sudi membaca cerita kucing-kucing ku.        

  


No comments:

Post a Comment