Tuesday 23 April 2013

Pengalaman di Jepun

Seperti yang kita ketahui negara Jepun ialah sebuah negara maju yang mempunyai kuasa ekonomi yang ketiga terbesar didunia dari segi KDNK nominal selepas Amerika dan China. Penduduk Jepun menikmati taraf hidup ekonomi yang tinggi (iaitu yang ke -8 dalam indeks Pembangunan Manusia) dan mempunyai jangka hayat yang tertinggi di dunia menurut PBB. Oleh yang demikian, apabila dapat peluang menjejaki dan mempelajari sesuatu dari negara tersebut, saya rasa amat bertuah. Pada tahun 2003, saya dapat mengikuti kursus selama 3 minggu di negara matahari terbit itu. Walaupun sudah 10 tahun berlalu, saya rasakan, ianya seperti satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.  Terlalu banyak yang boleh kita contohi, pelajari serta boleh diaplikasikan di negara kita. Amat bertepatan bila dahulu Tun Mahathir melancarkan Dasar Pandang Ke Timur di mana dasar ini menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika kerja.

Sesampai di Jepun, satu perbandingan yang amat ketara yang dapat di lihat dengan mata kasar mengenai bandar Jepun dengan bandar tempat kita ialah kebersihannya. Puntung rokok pun susah mau nampak di sepanjang jalanraya. Apalagi sampah. Ada suatu tempat (seperti gambar di bawah) yang kami pergi, kami telah dimaklumkan terlebih dahulu bahawa tempat tersebut tidak akan disediakan tong sampah. Kami di minta jangan membuang sampah dan menyimpan sampah kami untuk di bawa balik. Sesampai kami di tempat seperti di bawah, kami dapati kawasan tersebut bersih, tiada satu pun sampah walaupun tiada tong sampah disediakan. Tiada juga notis-notis akan dikenakan denda jika membuang sampah di kawasan tersebut. Saya bayangkan jika kawasan ini berada di kawasan kita, adakah kita akan menyalahkan majlis perbandaran atau pemilik kawasan tersebut kerana tidak menyediakan tong sampah, berapa banyak notis-notis jangan membuang sampah didirikan di kawasan-kawasan larangan membuang sampah tetapi masih banyak sampah dibuang di kawasan-kawasan tersebut. 
`

 Di kawasan perumahan serta pejabat pulak, masyarakat Jepun telah lama mengamalkan kitar semula. Sebelum pihak majlis perbandaran mengambil sampah-sampah dari lokasi-lokasi perumahan atau pejabat, sampah-sampah tersebut telah diasingkan terlebih dahulu oleh pengguna, seperti kertas, plastik, kaca, dan makanan basah. Sampah-sampah ini kemudiannya diletakkan di suatu tempat sebelum di angkat oleh syarikat-syarikat kitar semula. Saya bandingkan lagi perkara ini di rumah saya sendiri sahaja, walaupun saya cuba untuk mendidik anak-anak untuk mengasingkan sampah-sampah ini, malangnya perkara yang semudah ini pun belum dapat saya capai.

Bukan mengasingkan sampah-sampah sahaja yang saya kagum dengan budaya Jepun ini, tetapi, jika kita ke tempat-tempat makan awam, rata-rata semua masyarakat Jepun akan mengangkat sendiri pinggan atau semua peralatan untuk makan dari meja mereka selepas habis makan. Dengan ini akan memudahkan orang lain untuk menggunakan meja tersebut. Kalau kita di sini, kita tahu ada orang yang akan membersihkan meja tersebut selepas kita beredar. Jadi kenapa perlu kita mengangkat pinggan dan gelas yang kita gunakan. Betul kah? Tapi nilai yang bagaimanakah yang dapat kita terapkan dengan membersihkan meja yang kita gunakan? Apa yang dapat saya katakan ialah nilai-nilai bertanggungjawab serta rendah diri kita untuk sama-sama menjaga persekitaran kita. Sebab tu di rumah, saya pastikan anak-anak tidak terus meninggalkan meja makan dan mengharapkan orang lain untuk mengemas meja makan. Semua mesti ada rasa tanggungjawab untuk mengemas, tidak kira lelaki atau perempuan.


Masa adalah faktor yang paling utama kepada masyarakat Jepun. Jika di stesen keretapi rata-rata masyarakat Jepun akan berlari-lari untuk mengejar keretapi yang berada di stesen tersebut sebelum masa untuk beredar walaupun mereka tahu keretapi yang lain akan sampai dalam masa 7 minit sahaja ke destinasi yang sama yang mereka akan tuju. Mungkin sebab tu lah Jepun telah membina bullet train. Untuk memastikan masyarakatnya sampai ke destinasi yang dituju dengan cepat. Semasa kami kursus, ada seorang kawan saya, selalu turun lambat untuk memulakan perjalanan ke lokasi tertentu. Sebab tu, fasilitator kami sering marah-marah jika kami lambat. Oleh itu, kami sering ingatkan sesama kami, budaya Melayu jangan lah di bawa ke Jepun. 


Satu lagi perkara yang saya kagum dengan pekerja-pekerja Jepun ni adalah mengenai pengangkutan awam yang sangat efisien. Saya rasa ramai juga yang pasti tahu bahawa Jepun adalah salah satu negara pengeluar kereta yang utama di dunia. Tetapi kenapa rakyatnya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja? Tidak kurang ramai juga yang menaiki basikal sahaja ke tempat kerja. Adakah kereta-kereta mereka hanya di eksport ke negara luar? Selama 3 minggu saya di Jepun, saya tidak pernah melihat kesesakan jalan raya. Jadi bagaimana kita hendak mencapai negara maju, adakah kita akan mengikut seperti Jepun? Perlukah kita memiliki kereta dan menukarnya setiap 5 tahun untuk menunjukkan yang kita telah maju dan berjaya?  


No comments:

Post a Comment