Friday 28 June 2013

Kek batik

Membuat kek adalah salah satu terapi otak yang baik. Ia dapat menenangkan kita di kala kita stress atau tekanan. Ni ada satu lagi resepi yang selalu saya buat terutama semasa raya atau stress. 



Bahan-bahan: 

170 gm butter
1 tin besar susu pekat manis
1 gelas gula
11/2 gelas milo
1 gelas air
3/4 gelas nestum
3/4 gelas koko
1 sudu kecil esen vanilla
4 biji telur
1 packet biskut marie (di belah 4) 

Cara membuatnya: 

Masukkan semua bahan (kecuali biskut marie) dalam periuk yang agak besar dan panaskan di atas api. Api jangan kuat atau besar sangat, sebab, kalau mendidih, meletup-letup atau memercik ke tangan. Semasa panaskan di atas api, jangan lupa untuk mengacaunya supaya tidak melekat atau tidak berkerak di periuk tu.... Kacaulah ia sehingga pekat. Kalau mahu tahu pekat atau tidak adunan kita tu, kita angkat sikit guna senduk. Kalau cepat ja jatuh tu, masih belum pekat lagi. Tetapi kalau adunan tu lambat jatuh, ha, ok lah tu, dah pekat. Selepas tutup api, biarkan sejuk. 

Kalau adunan tadi dah sejuk, baru masukkan biskut marie yang telah di belah 4. Kemudian, masukkan dalam pembakar tin yang telah digris dan diletakkan kertas minyak. Ratakan. Lepas tu bakar lah di oven lebih kurang 30 - 40 minit. Jangan lama sangat, nanti hangus pulak. 

Selalunya saya buat kek ni dalam 3 adunan. Jarang lah buat satu adunan ja. Kadang tu saya ambil tempahan juga. Kalau ada sesiapa yang nak order pun boleh juga. Setakat ni, satu adunan RM60 ja. Ada sesiapa nak order?  


Ok selamat mencuba membuat kek batik. Kalau sesiapa yang suka coklat, kek ni memang sedap. Tapi memandangkan sekarang ni, kita kena juga jaga kesihatan kita, kalau nak kurangkan manis, kurangkan lah gula atau susu pkat. Tetapi selalunya saya kurangkan gula lah....



Wednesday 26 June 2013

Chocolate Chip Banana Muffin

Ada sesiapa nak try buat chocolate chip banana muffin / cupcake ? Cuba resepi ini. Saya dah buat beberapa kali, memang sedap sebab dia moist.

Bahan-bahan : 

1 3/4 cawan tepung serbaguna gandum
3/4 cawan gula (kalau tak mau manis, kasi kurang 1/2 cawan sahaja)
1 camca teh baking powder
1 camca teh baking soda
1/2 camca teh garam
1 biji telur
1/2 cawan minyak (boleh kurangkan 1 sudu) atau boleh guna butter juga yang telah dicairkan
1/2 cawan plain yogurt
1 camca teh esen vanilla
1 cawan pisang yang telah dilecek
3/4 cawan chocolate chip

Cara-cara membuatnya: 

1. Dalam mangkuk yang besar ayakkan tepung bersama baking powder, soda dan garam. Kemudian masukkan gula dan chocolate chip. Gaul rata.

2. Dalam bekas yang lain, satukan minyak, telur, yogurt, pisang dan esen vanilla. Gaul rata.

3. Kemudian masukkan adunan pisang ke dalam mangkuk tepung tadi. Gaul sekadar bersatu sahaja.

4. Sendukkan ke dalam paper mufin atau cup cake dan bakar pada suhu 180C sehingga masak.

Tada...senang kan. Ok, buat banyak-banyak dan sedap-sedap ya. Selamat mencuba.

Ubat love






Hari ni, pegi ambil ubat di Hospital Likas, dapat ubat love pulak. Ni ubat darah tinggi, Atenolol. First time dapat ubat love ni.... excited pulak mau makan ni ubat.... hahaha bila makan, rasa happy semacam ja... bagus betul pulak kan bila makan ni ubat love...

yeah... harap cepat baik.

Tuesday 25 June 2013

Keliru

Masih keliru? Sudah jangan lagi rasa keliru. Kenapa perlu terlalu banyak berfikir perkara yang bukan-bukan. Langkah-langkah untuk mengatasi rasa keliru:

1. Fokus mengenai aktiviti yang hendak di laksanakan. Buat persiapan untuk melaksanakannya.

2. Jangan fikir berapa banyak yang kau dapat sumbangkan tetapi fikir apa yang kau dapat sumbangkan, dan buat yang terbaik. Walau pun hanya satu sahaja perkara yang kau dapat sumbangkan tetapi kau buat yang terbaik, itu sudah mencukupi, daripada buat banyak aktiviti tetapi tiada satu pun yang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

3. Lari tidak akan menyelesaikan masalah. Mencari jalan penyelesaian kepada masalah adalah yang terbaik.

4. Banyakkan berdoa untuk memudahkan semua perkara yang akan dilaksanakan.

5. Jangan harap orang lain untuk menyelesaikan masalah kita.

6. Sentiasa sematkan postive attitude dalam diri kita. Jangan selalu kata kita tidak tahu atau kita tidak pandai untuk melaksanakan perkara tersebut. Katakan kita boleh, serta percaya lah akan kebolehan kita.

7. Perlu ada keyakinan pada diri sendiri.

8. Perlu memotivasikan diri sendiri.

Masih keliru? Kalau masih keliru, nyanyilah lagu "Keliru" oleh Nurul ni...

Saban hari ku mencarimu
Semalaman ku mengenangmu
Marah, resah, gelisahku
Menjadi satu

(Ku) tahu kau di dalam dilema
Sukar untuk buat pilihan
Jangan kau cepat berubah
Pendirian dirimu... oho...

Salahkanku... jangan salahkan ku
Kasihani aku... kau lupakan aku
Mana satu... kujadi keliru
Aku makin keliru

Dikau selalu saja begini
Aku selalu tidak mengerti
Namun ku masih percaya
Kita harus bersama

Ingin jumpa... tak ingin berjumpa
Ingin bercinta... tak ingin bercinta
Dan pintaku... beri jawapanmu
Ku tak ingin keliru

Lirik ni untuk kau sahabatku....


Untuk sahabatku yang tak jemu membaca blog ku ini.... haaa lirik lagu ni khas untuk kau.

Kau ada di kala ku suka
Di kala ku duka
Setiap tangisan
Dan juga ketawa
Kau ada di kala ku perlu
Setia menemaniku
Pegang erat tanganku
Bila aku jatuh

[*] Kau lah yang selalu
Selalu menemaniku
Mendengar kisah
Pahit manis hidupku
Kaulah yang di situ
Setia menungguku
Kau lah yang satu
Menjadi sahabatku
Kau ada di kala ku jatuh
Di setiap bangunku
Terus menemaniku
Tanpa rasa jemu
Kau ada di setiap tawa
Di kala bahagia
Kau menjadi sahabatku
Selamanya…

Repeat [*]

Sahabatku
Tetap bersamamu jika kau perlukan ku
Dan ku tak kaku tak kekok kalau sampai buntu
Kita belok yok yok!
Berjangkit sesama seperti mengusik si melatah
Kau kau jangan kau melampau dan
kalau siapa mengusik ku...
Tolong bagitau, aku tapau
Ku tahu ku kan selalu ada
Ada dirimu
Dan ku harap kau juga
Rasa begitu
Kau lah yang selalu
Selalu menemaniku
Mendengar kisah
Pahit manis hidupku
Kaulah yang di situ
Setia menungguku
Kaulah yang satu
Menjadi
Repeat [*]
Menjadi sahabatku


Hari Konvokesyen Nur Intan Sarafinah

 

Selama 16 tahun saya bersekolah dan melanjutkan pelajaran, tidak pernah saya berpeluang menghadiri hari konvokesyen. Segulung Ijazah saya hanya dikirim melalui pos. Namun saya bersyukur telah lulus dengan jayanya. 

Alhamdulillah, sudah selamat menghadiri konvokesyen yang kedua untuk Intan. Pelajar-pelajar sekarang beruntung. Sekarang ni di setiap tahap persekolahan diperkenalkan Majlis Konvokesyen. ala ala konvo kerana mendapat ijazah. Mula-mula dulu konvo sebab telah menghadiri tadika. 

Dalam 7 orang adik beradik, Intan beruntung sebab dia 2 tahun menghadiri tadika sebelum masuk ke tahun 1 pada umur 7 tahun. Walaupun begitu setelah 2 tahun menghadiri tadika, perasaan takut dan tiada keyakinan diri masih lagi menghantuinya. Semasa di tadika, ada ketikanya, dia tidak hadir ke sekolah, walaupun sekolah hanya di bawah rumah sahaja. Kalaupun dia ke sekolah terpaksa di tunggu sehingga dia habis sekolah. Sehinggalah dia memasuki Tahun 1 di SK Putatan, dia belum pandai menulis namanya sendiri dan belum pandai untuk membaca.

Pada minggu awal persekolahan di tahun 1, dia sering menangis apabila ditinggalkan di sekolah. Guru kelasnya ingatkan dia sakit, dan menyuruhku membawanya pulang. Aku kemudian memberitahu guru tersebut, dia tidak sakit tetapi mahu ikut pulang. Guru-guru pun macam malas pulak mahu mengurus dan membantu pelajar-pelajar Tahun 1 untuk menyesuaikan diri di sekolah. Ada ketika, aku mencubit atau membiarkan saja dia menangis. Tetapi dia mengejar pulak ke luar kelas. Ada sekali tu, guru besar yang menangkap dan menahannya dari mengikutiku balik. Guru besar tersebut mengatakan bahawa mereka akan mengurusnya dengan baik dan menyuruhku balik ke rumah. Begitulah kisahnya, setiap hari ada saja drama yang dilakukannya sehingga lebih kurang 2 bulan persekolahan.

Saya pun berusaha juga untuk memberi keyakinan kepadanya agar dia minat dan suka untuk ke sekolah. Sehinggalah aku terbaca artikel mengenai cara-cara untuk menasihatinya, iaitu semasa dia tidur. Di umbun-umbunnya aku berdoa dan bercakap secara berulang-ulang agar dia rajin ke sekolah, tidak menangis lagi dan menjadi pelajar yang berjaya. Jangan lupa juga baca selawat atas Nabi dan baca Al-Fatihah. Alhamdulillah, selepas beberapa hari, dia tidak menangis lagi jika ditinggalkan di sekolah. Di akhir tahun dia telah dianugerahkan pulak pelajar terbaik di kelasnya dan mendapat nombor 1.

Masuk tahun 2 dan tahun-tahun seterusnya, aku lihat kelemahannya adalah Matematik dan Sains. Pernah aku cuba mengajarnya di rumah, tetapi, tidak boleh. Akibatnya, dia selalu aku marah kerana tidak dapat menjawab dengan betul. Untuk tidak memberi tekanan kepadanya, aku biarkan dia belajar sendiri. Mungkin bukan bidang aku untuk mengajar. Aku tiada kesabaran untuk mengajar walau aku mahu melihat dia lulus dengan jayanya dalam mata pelajaran Matematik. Untuk membantunya aku hanya belikan buku-buku ulangkaji agar mereka dapat belajar sendiri.


Syukurlah, sekarang dia sudah berjaya mengharungi tahap ke dua untuk menghadapi masa hadapannya yang masih lagi terlalu panjang untuk dilalui. Semoga berjaya. Insya Allah.    

    

Friday 21 June 2013

Untuk Seorang Sahabat

Teringat ada seorang sahabat  mengatakan bahawa jika kita mempunyai seorang sahabat, sahabat kita tu akan sentiasa berterus terang dengan kita. Misalnya jika kita mempunyai bau badan yang tidak menyenangkan atau kita pakai stokin berlainan warna, sebelah merah sebelah biru. Jika kita tidak mempunyai seorang sahabat yang rapat, tidak ada orang yang akan menegur kita kecuali sahabat rapat kita. Maknanya yang betul-betul "kamcing" lah kan.


Haaa... kelmarin saya berjumpa dengan seorang sahabat saya yang telah lebih kurang 11 tahun tidak berjumpa. Sahabat semasa sama-sama menuntut di Tasmania. Saya jemput dia dengan kereta saya yang sudah beberapa hari tidak bercuci dan cermin kereta yang telah retak. Bila dia masuk ja di dalam kereta, apa katanya? Waa... besarnya dah. Tahulah kan kita ni semakin sihat dan happy, cukup makan. Selepas itu, satu persatu dia komen. Patut beli kereta baru, pewangi kereta banyak sangat, bawa kereta slow sangat, kenapa cermin mata tak lap (haha) dan banyak lagi yang censored "tut" .... haha

Masa kami berjumpa kali ini terlalu singkat untuk catch-up banyak. Apa-apa pun, I'm happy that I met her. Begitulah sahabat kan. Once in a while, we need them to remind us about ourselves. 

Sayangnya, kerana seronok sangat bercerita, kami terlupa untuk mengambil gambar bersama. Tak pa lah kan, biar kenangan kami berjumpa kali ni tersemat dan terkesan di hati sahaja. 

Miss you Noney and all my sahabat.

Wednesday 19 June 2013

Green fingers

Apa aktviti di masa lapang yang sering kawan-kawan lakukan? Walaupun saya bukan "green hand" atau "green finger" atau "green thumb", tapi aktiviti yang kadang-kadang saya lakukan adalah menanam atau menyapu daun-daun kering. Saya suka menanam pokok-pokok bunga. Sekarang ni pokok-pokok bunga saya tiada sudah, yang ada yang di bawah ni ja lah yang tinggal lagi.

Walaupun rumah yang saya diami sekarang ni, tanahnya hanyalah sekangkang kera, tetapi dapat juga kami nikmati hasil dari tanaman di tanah tersebut. Sebelum ini, kami pernah tanam sayur kacang bende atau kacang tanduk. Dapatlah dalam 5 - 6 kali masak dan dapat juga diberikan pada mak dan bapa. Selepas tu kami tanam pula ulam raja dan sayur labu air. Sayur labu kami tidak menjadi, tumbuh dan berbuah di rumah jiran pulak. Di tempat kami, tiada. Ulam raja yang kami tanam, hidup subur. Dalam beberapa bulan, ulam raja memang jadi makanan harian kami bersama sambal belacan. Di hadapan pulak kami ada tanam ubi kayu. Sempat juga buat bingka ubi kayu. Selepas banyak betul serangga putih menyerang pokok ubi kayu, kami pun tebang semua ubi-ubi tersebut.

Pokok buah pulak, di depan rumah dan di belakang rumah, kami tanam buah mangga. Selepas 5 tahun baru berbuah. Tanam dari bijilah katakan. Tahun ini, banyak  betul mangga kami berbuah. Kedua-dua pokok mangga berbuah tahun ni. Memang puas lah makan buah mangga juga minum jus mangga.


Sekarang ni, pokok pisang pulak sudah berbuah. Sebelum ni, kami tanam pokok pisang di belakang rumah. Adalah dalam beberapa pokok, pisang emas, pisang keling dan pisang hijau. Tetapi sejak anak buah ternampak sesuatu di belakang rumah (pada sebelah malam), kami pun tebang semua pokok-pokok pisang tu. Tinggallah pokok pisang yang depan rumah ja ni. Tengah berbuah tu...Ndak lama lagi boleh lah makan tu. 


Di depan tu, selain pisang, ada juga kami tanam lada. Tapi lada ni, baru 1 pokok yang berbuah. Yang lain masih kecil-kecil lagi. Belum ada buahnya. Sumber yang sebanyak itu, untuk menampung keperluan 6 orang yang menetap di rumah tu, memang tidak mencukupi. Kuat juga kan makan lada. Ye lah, kalau tiada lada, tidak ada ehmmm ba. Yang masih hijau pun kena ambil juga.


Bunga orkid memang kegemaran saya. Tapi ye lah kan, lama mahu tunggu bunga orkid ni keluar. Setahun sekali berbunga, memang bersyukur sangat. Sekarang ni, tinggal orkid liar ni ja di rumah yang berbunga. Pokok orkid lain banyak yang mati sudah. 


Ok lah tu ja... Harap-harap jadi hijau tangan ni, mau balik menanam ni...

Monday 10 June 2013

Friends are God's way of taking care of us

Kawan adalah anugerah Tuhan yang tidak terhingga. Merekalah yang banyak membantuku dari segala-gala masalah yang dihadapi. 

Di sekolah rendah, kawan rapat atau kawan karib saya adalah Hamisah. Sudah lama saya tidak jumpa dia, sejak kami melanjutkan pelajaran di sekolah menengah. Ya, seingat saya, ada sekali sahaja saya berjumpanya di Tawau apabila kami menganjurkan satu seminar ICT di Tawau, pada tahun 1998 / 1999 kalau tidak silap saya. Dia bertugas sebagai jururawat. Itu sahaja yang dapat saya tahu dalam masa yang singkat perjumpaan kami. Namun demikian, saya tidak akan pernah lupakannya. Dialah kawan pertama yang akrab denganku. Kami sekelas, tapi tak ingat pulak dari Darjah 1 - 6 ka, sebab semasa di darjah 1, saya 1 kuning, lepas tu saya masuk 2 Jingga sehinggalah ke darjah 6, iaitu 6 Jingga di SK Tanjung Aru. Kami pergi sekolah agama yang sama, iaitu di Sekolah Agama Sembulan. Kami juga pernah mengaji bersama di Masjid Sembulan. Oleh kerana kami sering berjumpa dan bersama, kami pun menjadi akrab. Kami sering berkongsi masalah, cerita, belajar bersama, bermain. We take care of each other.

Semasa di sekolah menengah pulak, saya telah dimasukkan di sekolah berasrama penuh. Jauh dari keluarga. Hanya kawan-kawan peneman di kala suka dan duka. Di sini, saya mula mengenal erti tanggungjawab, tanggungjawab kepada keluarga, kedua ibu bapa, guru-guru juga kepada diri sendiri. Saya mula belajar berdikari, cuci baju sendiri, mengemas, membersih, menjaga diri sendiri dan sebagainya. Di sini juga saya perlu belajar untuk berkawan dengan ramai kawan agar kami dapat saling membantu antara satu dengan yang lain. Kami bermain bersama, belajar bersama demi mengejar impian masing-masing.

Bila sakit, kawanlah yang akan membawa ke sickbay untuk di hantar ke hospital. Masa hujung minggu, bila kawan-kawan balik dari rumah mereka atau menerima tetamu yang membawa makanan, kamilah yang tidak balik rumah atau tidak menerima tetamu akan bersama-sama menghabiskan makanan kawan-kawan tersebut. Bila cuti penggal, kami pelajar-pelajar tajaan Yayasan Sabah tidak akan balik ke Sabah, kami akan dikumpulkan di suatu tempat. Di sana kami akan mengikuti aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh Yayasan Sabah. Kadang kami mendengar ceramah, mengikut kelas-kelas tambahan, lawatan sambil belajar serta mendapat keluarga angkat. Begitulah, aktiviti sepanjang tahun dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti bersama kawan-kawan. Selama 5 tahun di sekolah asrama, hanya 2 kali setahun sahaja kami balik iaitu semasa cuti penggal akhir dan cuti hari raya Aidil fitri. Itupun semasa tahun pertama di Tingkatan 1, disebabkan abang saya tidak balik Sabah, saya juga tidak balik semasa hari raya Aidil fitri. Saya beraya bersama ustazah yang mengajar Bahasa Arab. Saya menangis sepanjang malam, tiada kawan peneman pada masa itu sebab saya belum berapa rapat dengan kawan-kawan sekelas atau serumah / sebilik. Sejak itu, setiap raya saya mesti balik Sabah.

Setelah 5 tahun bersama di sekolah asrama, kami pun berpisah. Masing-masing melanjutkan pelajaran. Saya pun melanjutkan pelajaran di Matrix Seksyen 2 Shah Alam selama 1 1/2 tahun. 6 bulan kami belajar bahasa Inggeris sahaja dan setahun persediaan untuk ke Australia. Di sini, saya rapat dengan kawan serumah atau bilik / seasrama. 1 rumah ada 2 bilik, bilik yang besar sikit didiami 4 orang dan bilik kecik 2 orang. Saya di bilik yang besar sikit. Kawan-kawan sebilik dengan saya adalah Zarin, Ina, Liza, Bon dan Aida. Bilik kami boleh dikatakan bilik pelajar-pelajar yang paling nakal dan bising. Pak guard beberapa kali datang ke bilik kami suruh kurangkan bising.

Suatu hari pernah kami terlambat balik asrama dari jalan-jalan di Kuala Lumpur. Bas akhir ke seksyen 2 telah penuh. Untuk tidak ketinggalan, kami menaiki bas tersebut dari pintu kecemasan di belakang. Sudahlah bas tersebut tinggi, sebagai perempuan, memang susah untuk naik dari pintu tersebut. Tetapi kami tiada pilihan, jika tidak naik, alamat kami tidak dapat balik ke asrama. Oleh itu, kami 6 orang telah dibantu oleh kawan-kawan lelaki yang belajar di tempat yang sama untuk menaiki bas tersebut dari pintu kecemasan. Mereka menarik kami masuk ke dalam bas tersebut. Sesampai kami di hadapan pintu pagar asrama, ianya telah ditutup menandakan kami telah melebihi curfew atau tempoh masa yang dikenakan untuk berada di luar asrama. Sambil menunggu masa yang sesuai untuk masuk melalui pintu pagar tersebut kami telah meronda-ronda di kedai 7-11 yang terletak di hujung bangunan berhampiran dengan asrama kami. Tiba-tiba kami mempunyai peluang untuk masuk ke kawasan asrama, pak guard sedang meronda di bahagian asrama bangunan, jadi pintu hadapan tiada yang jaga. Kami pun kelam kabut, lari masuk ke dalam bilik kami yang terletak di tingkat 3 bangunan paling dekat dengan pintu pagar. Untuk malam tu kami selamat, berkat saling membantu antara kami. 

Pernah di suatu ketika yang lain, saya batuk dan tiada suara langsung. Kawan sekelas saya telah membelikan air asam jawa agar cepat sembuh katanya. Pernah juga semasa saya sakit, kawan-kawan saya telah menemani saya ke hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang. Begitu juga sebaliknya, jika kawan-kawan serumah yang lain sakit, kami akan menemani mereka untuk mendapatkan rawatan.

Setelah setahun setengah di Matrix, kami pun telah diterima melanjutkan pelajaran ke Australia. Kami 6 orang tidak ditempatkan di universiti yang sama. Kami berpisah dan saya pun mengenali ramai lagi kawan-kawan serta pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Tasmania, Hobart. Saya di Tasmania selama 4 tahun. Pelajar-pelajar Malaysia di Tasmania sangat akrab. Semasa di sana kami sering mengadakan usrah sesama pelajar, terutama pelajar perempuan. Lokasi usrah sentiasa berubah dari satu rumah ke rumah kawan-kawan yang lain. Penyampai usrah juga berganti-ganti sesama kami sendiri. Bila usrah ni diadakan, ia seakan ulangkaji dan peringatan sesama kami yang jauh di perantauan. Pelbagai topik yang dibincangkan dari hal perkahwinan, sembahyang, puasa, dan lain-lain berkaitan agama. Pakar rujuk kami adalah kakak-kakak senior.

Setiap tahun, pelajar-pelajar silih berganti dan sekurang-kurangnya 10 orang pelajar baru akan tiba, maka kami yang dulunya junior pun berganti jadi senior dan juga jadi pembimbing adik-adik. Begitulah suasana di rantau, hanya teman-teman seperjuangan yang akan membantu kita, terutama semasa susah bila kehabisan duit elaun biasiswa atau pinjaman, mencari rumah sewa, masalah pembelajaran dan sebagainya. Selama 4 tahun di sana kami telah bersama-sama beraya di perantauan.Pengalaman beraya di perantauan sangat manis untuk dikenang. Masjid di sana adalah Islamic Centre, iaitu sebuah rumah bunglow yang agak besar. Setelah selesai sembahyang sunat Hari Raya, kami akan menuju ke Malaysian House, sebuah lagi rumah untuk pelajar-pelajar Malaysia berkumpul. Makanan yang disediakan di sini adalah hasil gotong royong pelajar-pelajar. Selalunya, kakak-kakak dan abang-abang seniorlah yang akan memasak. Aktiviti masak memasak ni bukan sahaja pada Hari raya, tetapi jika terdapat aktiviti-aktiviti yang di anjurkan untuk pelajar-pelajar Malaysia seperti lawatan pegawai-pegawai dari Malaysia.

Semasa 4 tahun di sinilah saya mula mempelajari banyak resepi masakan dari kawan-kawan. Jika ada masa terluang kami akan mencuba pelbagai masakan. Di rumah sewa juga, kami bergilir-gilir untuk memasak. Memasak, menyediakan makanan serta berbelanja barangan rumah adalah aktiviti yang kami lakukan bersama agar setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing. Semasa bersama kawan-kawan juga saya pelajari bahawa ramuan yang paling penting jika kita memasak adalah kasih sayang. Jika kita memasak hanya sekadar satu tanggungjawab, masakan itu tidak akan rasa lazatnya. Oleh itu, jika kita memasak, jangan lupa meletakkan ramuan kasih sayang dalam masakan kita.

Setelah 4 tahun, kami pun memasuki satu fasa lain dalam kehidupan, iaitu alam pekerjaan.

We all take different paths in life, but no matter where we go, we take a little of each other everywhere.

Seorang kawan yang juga pelajar Yayasan Sabah serta kawan / satu sekolah kepada abang dan sepupu saya telah membantu saya untuk dicalonkan menghadiri temuduga di organisasi di mana dia bekerja. Alhamdulillah saya berjaya dalam temuduga tersebut. Pekerjaan pertama saya adalah sebagai penyelidik di organisasi tersebut. Semasa mula bekerja lah saya mula bermain badminton bersama kawan-kawan sepejabat seperti Asni, Nita, Finah dan Daisy. Kami berlatih setiap minggu termasuk jogging dan naik bukit Tun Fuad Stephens di Bukit Padang sehinggalah kami berjaya menakluki puncak Gunung Kinabalu. Kami kumpul duit gaji untuk membolehkan kami melawat ke Jerudung Park di Brunei. Setiap kali hari ulangtahun kami, kami akan sama-sama merayakannya beramai-ramai.

Apabila saya berpindah ke UST, walaupun masih berhubung, tetapi masing-masing sudah mempunyai keluarga, ada yang berpindah tempat kerja dan kami pun jarang berjumpa lagi. Bila facebook mula diperkenalkan, barulah dapat berjumpa balik kawan-kawan lama. Bukan sahaja kawan-kawan sepejabat dahulu tetapi kawan-kawan sekolah rendah, sekolah menengah, matrix dan universiti juga. Ada yang 10 tahun, 20 tahun tidak berjumpa sehingga kini. Menakjubkan bukan, terkenang kembali masa-masa yang telah hilang ditelan zaman. Walaupun ada yang tidak dapat jumpa secara realiti, tetapi dapat "berjumpa" di alam cyber, bertanya khabar, berkongsi cerita, berkongsi aktiviti, bersama main games cyber dan sebagainya.

Budaya kerja di UST amat berbeza dengan organisasi lain. Walau masing-masing kita mempunyai senarai tugas yang diberikan, semua saling bekerjasama. Misalnya, pegawai yang mengurus fail, mempunyai masalah untuk menyusun dan mengemaskini fail-fail. Maka untuk menyelesaikan masalah tersebut, semua kakitangan telah membantu untuk mengemaskini fail-fail berkenaan walaupun tugas berkenaan tiada dalam senarai tugas pegawai-pegawai lain. Banyak tugas-tugas adhoc dapat diselesaikan. Semua kerja dapat dilaksanakan dalam satu pasukan. Masing-masing ada dan tahu peranan dan kekuatan masing-masing, dan tiada yang irihati.

Apabila UST ditutup, saya dipindahkan pula ke SaBC. Suasana di pejabat ni agak berbeza. Walau hanya 10 orang kakitangan di pejabat ni, tetapi suasana dan pelbagai karakter di sini, menjadikan pejabat ini penuh warna warni. SaBC bukan hanya baru diwujudkan tetapi kakitangannya pun ramai yang masih baru dalam perkhidmatan.Disebabkan ruang pejabat yang terhad, saya telah ditempatkan sebilik dengan seorang lagi pegawai. Walaupun baru setahun di sini, disebabkan kami sebilik, menjadikan kami akrab. Dia teman bergaduh, teman makan, teman berbincang, teman mencari idea, teman mengumpat hahaha. Yang bagusnya tu, dia selalu ingatkan saya mengenai hal akhirat dan kepentingan menjadi seorang yang bertanggungjawab dan amanah. Jika ada masa terluang, kami akan pergi bersama ke ceramah agama yang dianjurkan oleh JKM.  Mengenai tanggungjawab, terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengannya yang sering aku teringat contohnya, mengenai tanggungjawab terhadap masa bekerja, terhadap tugas yang perlu diselesaikan, tanggungjawab terhadap Allah dan rakan sepejabat. Walaupun begitu, saya yang sudah bertahun-tahun biasa melaksanakan tugas bersendirian, pada mulanya agak kekok apabila bersama-sama sebilik. Tetapi sekarang, kalau salah seorang antara kami tiada, akan sunyilah pejabat. Tiada gelak ketawa. 

Oleh yang demikian, kawan-kawanlah yang banyak membentuk dan mempengaruhi saya dalam kehidupan saya selama ini. Masa kita banyak dihabiskan bersama kawan-kawan kita berbanding dengan keluarga. Sebab itulah kawan adalah cara Tuhan untuk memelihara serta menjaga kita, dunia dan akhirat.  

       


Monday 3 June 2013

Rumah atas air

Pernah menetap/tinggal/menginap/tidur di rumah atas air? Tidur bermalam di rumah atas air sangat menenangkan dan nyaman. Kadang-kadang sampai ndak mahu bangun sebab siok, sejuk sangat di awal pagi. Dengan bunyi alunan air atau kocakan air di bawah rumah, seperti muzik dalam mimpi. haha Selalunya rumah atas air ni rumah papan. Rumah atas air ni biasanya didirikan di sepanjang pesisir daratan. Kawasan yang banyak terdapat rumah atas air ni di Sabah adalah di kawasan Kudat, Sandakan, Tawau, Semporna. Kalau dulu di kawasan Sembulan pun terdapat banyak rumah atas air ni, sebelum adanya Sutera Harbour. Tetapi sekarang sudah berkurangan. 

Walaupun pada sebelah malam, rumah atas air ni sejuk dan nyaman, tetapi jika waktu tengahari, keadaannya sangat panas.  Air laut disekelilingnya akan menyebabkan udara menjadi panas dan menyebabkan kepanasan yang dirasakan seperti melekit dan menggigit di kulit. Rasa macam mahu buka baju sahaja.... haha Kipas juga tidak dapat menyejukkan. Dengan pantulan matahari dari zink rumah lagi akan menyebabkan kita rasa tidak tertahan. Tetapi orang-orang atau penduduk rumah atas air telah biasa dengan keadaan tersebut.

Rumah makcik saya dahulu didirikan di atas air di kawasan Sembulan, dekat dengan Tugu Tun Fuad Stephens, mantan Ketua Menteri Sabah. Pada masa tu rumah tersebut adalah rumah yang paling hujung sekali. Macam dekat saja Pulau Gaya tu. Rumah mentua saya juga di atas air, di Kudat. Rumah-rumah atas air ni dihubungkan antara satu dengan lain dengan jambatan kayu. Saya suka duduk di jambatan kayu tersebut, sambil membiarkan kedua-dua kaki mencecah air laut, jika air pasang. Dengan hembusan bayu yang menyapa mukaku, sungguh menyamankan. Terdapat kenangan di atas jambatan tersebut. 

Pada suatu hari, salah sebuah rumah di atas air tersebut telah dijilat api. Asap berkepul-kepul di udara. Kami yang jarang-jarang melihat rumah terbakar pun, semua keluar dari rumah dan berkerumun di atas jambatan kayu agar membolehkan kami melihat keadaan rumah yang terbakar selang 3 atau 4 baris dari kawasan kami. Sedang kami leka melihat rumah tersebut kami terlupa yang jambatan di mana tempat kami berdiri tersebut telah rapuh kayunya. Dengan tidak semena-mena kami terdengar bunyi "prak" dan jambatan itu pun patah dan lebih kurang 5 orang kami telah jatuh di atas air. Ada yang luka-luka tetapi tidak parah. Nasib baik air laut surut, tidaklah kami hanyut di bawa arus. 

Kalau dulu keadaan air laut di kawasan perumahan ini sangat bersih dan jernih. Jarang kita dapat lihat sampah sarap. Kalau air surut boleh mencari siput atau kelah. Jika air pasang pula boleh mandi manda, terjun dari jambatan. Tetapi sekarang, rata-rata di seluruh kawasan perumahan atas air ni nampak kotor. Pelbagai jenis sampah boleh dilihat. Kalau dulu di kawasan Sembulan, di setiap masuk jambatan akan disediakan tong besar berwarna hijau. Tetapi, di Kudat, tempat perumahan mentua saya, tiada disediakan tong sampah. Oleh itu, semua penghuni rumah akan sesuka hati membuang sampah di bawah atau di luar rumah atau di atas air. Disebabkan tandas rumah di atas air ni, tandas lubang, makanya najis pun di buang di atas air juga. Oleh yang demikian, di sekitar bawah kawasan tersebut terutama rumah-rumah yang berhampiran dengan daratan akan dipenuhi dengan sampah sarap. Memang sakit mata memandang.

Saya pernah membuat kajian mengenai rumah atas air di kawasan Sandakan dan Tawau. Dari segi keselamatan, rumah-rumah tersebut memang boleh mengundang pelbagai masalah sosial seperti pengedaran dadah, senjata api, mencuri bekalan elektrik dan air. Keadaan rumah-rumah di sana juga sangat rapat / berdekatan antara satu dengan lain. Jika berlaku kebakaran, memang amat senang ia akan merebak ke rumah lain yang berhampiran. Dengan peristiwa yang berlaku di Semporna mengenai pembunuhan anggota polis di kawasan rumah atas air ni membuktikan lagi keselamatan di kawasan perumahan tersebut tidak dapat ditangani dengan mudah.

Rata-rata penduduk di rumah atas air ini adalah nelayan. Sumber pendapatan mereka adalah ikan dan sumber-sumber lain dari laut. Adakah isu-isu ini akan berterusan lagi dalam tempoh 10 - 20 tahun akan datang? Boleh kah ia menjejaskan sumber makanan kita dari laut dalam jangkamasa tersebut? Apakah peranan majlis daerah dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan rumah atas air ini? Fikir-fikir kan.....

rumah keluarga di tambisan