Showing posts with label Buku bacaan. Show all posts
Showing posts with label Buku bacaan. Show all posts

Wednesday, 6 April 2016

Aku terima nikahnya


 


Buku bertajuk "Aku terima nikahnya" ni telah dua kali saya baca. Mengisahkan bagaimana Ustaz Hasrizal seorang penceramah dan imam bersama isterinya seorang doktor pakar perubatan kecemasan, berumahtangga dan cabaran-cabaran yang harus mereka hadapi dalam menempuh alam berumahtangga. Pengajaran yang dapat saya perolehi adalah berikut: 


  1. Mendidik anak-anak bukan dengan cara kekerasan. Ia mestilah dengan cara perbuatan kita. Anak-anak mungkin tidak mendengar apa yang kita suruh mereka lakukan tetapi mereka akan cepat mengikut apa yang kita lakukan. Aku sedar kadang-kala aku juga sering marah-marahkan anak-anak untuk mengikut cakap ku. Tetapi jika kita menyemai kasih sayang dalam hati mereka, maka anak-anak akan senang mengikut apa yang kita suruh. Setelah membaca buku ini, aku mulai sedar. Ya aku akan cuba untuk mendidik anak-anak tiri ku secara halus. Namun, ia tidak semudah yang diperkatakan. 
  2. Hanya ibu bapa kandung yang dapat memberi cinta tanpa syarat kepada anak-anak. Anak-anak sendiri tidak dapat memberi cinta tanpa syarat kepada kedua ibu bapa mereka. Ini menunjukkan betapa kasih dan sayang kedua ibu bapa tersebut terhadap anak-anak tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang anak-anak terhadap ibu bapa mereka. Sebab itu lah terdapat ramai anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa mereka.
  3. Cara kita melayan atau menghukum anak kecil janganlah disamakan dengan anak-anak yang telah dewasa. Kadangkala kita layan anak kecil seperti dewasa dan anak yang dewasa seperti anak kecil. Misalnya, jika anak yang mempunyai adik kecil, kita selalu menyuruh agar si kakak atau abang mengalah untuk si adik. Ini akan membentuk personaliti yang negatif, si kakak akan membesar memberontak, kerana selalu perlu mengalah dengan si adik. Si adik pula akan membesar berfikiran bahawa dia mesti menang dari si kakak dan dia ada hak.  
  4. Perkahwinan dan kekeluargaan adalah medan untuk memberi. Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Kita tidak perlu kaya untuk memberi sesuatu kepada orang lain. Cukup jika kita kaya dengan kasih sayang maka, kasih sayang itu kita berikan kepada suami, anak-anak dan seluruh ahli keluarga kita. 
  5. Banyak masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita adalah disebabkan kurangnya kasih sayang yang diterima oleh seseorang tersebut. Masalah dadah, ponteng sekolah, mencuri, merompak, merogol semuanya berpunca dari institusi kekeluargaan yang tidak sihat.
Banyak lagi, pengajaran yang saya perolehi dengan membaca buku ini. Ada masa saya akan update lagi. Oleh itu saya mencadangkan sesiapa yang ada keinginan untuk mendirikan rumahtangga, serta sesiapa yang telah berumahtangga untuk membaca buku ini. Ada satu lagi buku yang di cadangkan oleh Ustaz Hasrizal dalam buku tersebut untuk di baca pada pasangan yang ingin mengetahui lebih mendalam mengenai alam berumahtangga iaitu buku "Men are from Mars and Women from Venus" yang ditulis oleh John Gray. Saya belum berpeluang mencari buku ini lagi. Insya Allah suatu hari saya akan cuba cari.

Sunday, 15 September 2013

Chicken Soup for the soul

Cipta Kebahagiaan Kita

Semasa kursus video di Wisma MUIS, saya berkesempatan untuk membeli sebuah buku yang bertajuk di atas. Terdapat 100 cerita inspirasi mengenai mencipta tujuan, semangat dan kebahagiaan hidup kita dalam buku ini. 

Setakat ini saya belum habis membaca buku ini lagi. Baru baca 2 kisah iaitu mengenai seorang yang menghidap kanser tapi masih bersemangat untuk hidup. Satu kenyataan yang menarik hati saya dalam kisahnya ialah "Hargai setiap hari dalam kehidupan kita". Oleh itu kita hendaklah sentiasa bersyukur kehadrat Allah atas nikmat kehidupan yang telah diberikan kepada kita. Ramai lagi orang lain yang hidupnya menderita tetapi kita diberikan kenikmatan hidup yang aman, senang, tenteram, sihat dan harmoni. 

Kita janganlah sentiasa merungut dengan apa yang kita hadapi. Merungut ni adalah salah satu sifat negatif yang mesti kita kurangkan atau hapuskan sama sekali, kalau boleh. Misalnya kita selalu merungut mengenai gaji tidak naik-naik, bos tidak adil, bosan dan sebagainya. Salah satu cara untuk mengurangkan sifat negatif ini adalah dengan mencatat setiap kesyukuran yang kita dapat. 

Misalnya: 

 1. Syukur bos telah meringankan tugas saya dengan meneri tugas tersebut kepada kawan saya. 
 2.  Syukur saya masih mempunyai pekerjaan kerana ramai lagi belia-belia di luar sana yang masih menganggur. 

Dan sebagainya. Buatlah rekod setiap hari setiap kesyukuran yang kita rasakan dan hadapi. Ini adalah petua yang saya baca dari buku yang telah saya beli ini. Marilah kita cuba bersama-sama ok. Bah, itu sahajlah sup ayam untuk santapan rohani anda pada hari ini.

Wednesday, 17 April 2013

Seteguh Fikrah Saleha

Buku yang ku baca yang memberi banyak pengajaran kepada ku. Buku ini di tulis oleh Aminah Mokhtar. Walaupun ianya sebuah buku novel, namun terdapat beberapa perkara mengenai kejayaan yang dapat memberi pengajaran. Antara pengajaran yang aku perolehi dengan membaca buku ini adalah seperti berikut:

1. 6 langkah untuk mencapai kejayaan adalah:
  • Minat yang mendalam  : Apa pun yang kita hendak capai, kita mestilah mempunyai minat yang mendalam terhadap perkara atau aktiviti tersebut. Tanpa minat, kita hanya seperti hangat-hangat tahi ayam. 
  • Kepercayaan : Kepercayaan kepada Allah yang memberi rezeki serta keyakinan kepada diri kita untuk melaksanakan sesuatu itu adalah sangat penting. 
  • Strategi  : Setiap pelaksanaan kita perlu ada strategi yang baik.
  • Nilai-nilai dalaman yang bermakna : Sucikan hati, jangan berdendam, hasad dengki, pilih kasih, tamak haloba. Niat kita mesti baik. Jangan bersangka buruk dengan orang.
  • Tenaga dan keupayaan : Kita perlu ada tenaga dan keupayaan untuk melaksanakan apa yang kita inginkan. Jika kita tidak mampu untuk melakukan sendiri, bagaimanakah cara kita untuk memohon pertolongan orang lain, seperti saudara mara kita untuk sama-sama mencapai cita-cita yang kita impikan bersama. Semangat bekerjasama, tolak ansur perlu ada.
  • Kebijaksanaan komunikasi : Komunikasi amat penting dalam menyampaikan keinginan serta hasrat kita. Komunikasi berkesan hendaklah dilaksanakan kepada pelanggan serta stakeholders kita.
2. Cara yang terbaik untuk meningkatkan keyakinan diri adalah
  • Yakin 500% Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Pemberi 
  • Kepercayaan itu pasti jadi kuasa yang amat kuat untuk buat perubahan positif dalam kehidupan 
3. Pemimpin adalah pengikut. Pemimpin dan pengikut adalah orang yang sama yang memainkan peranan berbeza pada masa yang berbeza. Setiap pengikut itu pemimpin kerana setiap penjual adalah juga pembeli. Setiap ibu juga seorang anak, seorang guru juga adalah seorang murid. Pemimpin yang berjaya bukan kerana kehebatan mereka menjadi pemimpin tetapi kerana adanya pengikut yang sanggup mengikut.

4.  Hubungan kekeluargaan adalah amat penting dalam mencapai sesuatu impian. Walau seburuk mana pun keluarga kita, jangan pernah cuba untuk memutuskan hubungan silaturrahim. Walau sindiran dan kejahatan yang kita terima, balaslah setiap perbuatan itu dengan kebaikan.

5. Untuk berjaya kita mestilah berusaha, dan berusaha dan terus berusaha. Fikiran yang positif mestilah dipupuk di dalam diri. 

6. Kunci kelapangan hidup adalah kesabaran. Kunci kejayaan, kecemerlangan, dan keterbilangan adalah ketinggian ilmu dan selalu beristiqamah. Kunci kebahagiaan adalah selalu bermuhasabah diri dan kunci keindahan dan kemantapan kasih sayang adalah saling percaya dan menerima kelemahan dan kelebihan diri sendiri dan orang lain seadanya.

Sesiapa yang berminat untuk membaca buku ini, bolehlah pinjam di perpustakaan atau beli di kedai-kedai buku. Selamat membaca! Dengan itu, marilah kita berdoa agar kita mencapai kejayaan kita serta dimurahkan rezeki. Amin.