Monday 28 August 2017

Sembang petang

Minum petang dengan bubur kacang + durian dari mak di Kg. Contoh. Sedap bah kan bubur kacang di campur dengan durian lagi... Durian tu mama beli di Kundasang. Musim durian kali ini, ndak berapa banyak buahnya. Cuma ada beberapa tempat saja di Kundasang. Mungkin ndak berapa menjadi buahnya dengan cuaca yang tidak menentu. Harganya pun dalam RM50 sekilo untuk durian kuning (durian tembaga) .... disebabkan bapa ku mahu juga, beli ja lah haha Ditimbang buah durian tu dalam sekilo lebih, jadi harganya sebiji dalam RM80. Penjual tu pun kopek lah sikit tunjukkan isi nya, mama nampak macam kuning lah... ya ya setuju saja. Tapi yang sedihnya bila sampai di rumah, bukan pulak durian kuning. Durian putih yang biasa saja. Mungkin tertipu lah mama dan bapa ku ni membeli durian.

Sambil minum petang hari tu, menghirup bubur kacang dan terasa-rasa durian tu, aku pun ceritakan pada suamiku... pasal mak bapa yang mungkin telah tertipu membeli durian. Suami ku pun cakap, selalunya banyak mana dia tipu pembeli nanti penjual tu akan merasa kerugian juga kadang lebih kurang sama nilainya. Begitu juga kalau kita kerja dan selalu claim yang lebih-lebih. Katakan kita telah mendapat pembayaran elaun sebanyak rm1000 secara tidak jujur (tipu lah katakan), nanti suatu masa Allah akan tarik balik nilai tersebut samada dengan cara kita kehilangan duit ka, kerosakan harta benda ka, kerosakan kereta ka.... dan sebagainya. Sebab tu, suami ku selalu ingatkan, janganlah claim yang bukan hak kita. Bila kita di balas nanti akan jadi lebih teruk lagi. Kadangkala bila dia outstation, ada elaun yang dia tidak claim. Begitulah dia. Sentiasa berhati-hati. Biarlah kalau ndak cukup duit, makan nasi berlaukkan sayur ja pun sudah cukup untuk mengalas perut. Bersyukurlah selalu pesannya lagi.

Dia cerita lagi, ada kawan sepejabat dengan nya mungkin akan diberhentikan kerja kerana mengambil hak orang lain, walaupun orang lain tersebut adalah orang yang sedang menjalani hukuman atau banduan. Jangan sekali-kali merosakkan masa hadapan kita hanya kerana duit beratus atau beribu ringgit sahaja.

Bersyukurlah dengan rezeki yang kita ada. Insya Allah.

Tuesday 1 August 2017

KONSEP REZEKI YANG BERKAT

MEMAHAMI KONSEP REZEKI YANG BERKAT

Terdapat satu kisah mengenai rezeki:
Pada satu masa dulu…
Ada sorang lelaki tua, di zaman Nabi Musa AS. Dia sentiasa sibuk berzikir kepada Allah tetapi agak terganggu sedikit kerana setiap hari dia asyik fikir risau pasal rezekinya. Setiap hari rezeki yang dia perolehi adalah sebuku roti sahaja.

Pada suatu hari, Nabi Musa lalu tempat orang tua tersebut. Orang tua itu pun terfikir peluang yang terbaik untuk minta Nabi Musa tanyakan kepada Allah SWT tentang rezekinya.

Dia pun beri salam Nabi Musa A.S, dan dengan teragak-agak dia bertanya.

Nanti Tuan tolong tanyakan Allah, bolehkah tuan memohon Allah meningkatkan rezeki saya .. Dari dulu sampai sekarang, saya dapat sebuku roti setiap hari. Saya berhajat untuk dapat lebih. Bolehkah saya dapat lebih daripada tu?

Jika tuan bertanya kepada-Nya, sesungguhnya pasti Allah akan menjawab permintaan tuan dan memberikan saya lebih"

Nabi Musa pun setuju, kemudian selepas bertanya, Nabi Musa mendapat jawapan bahawa rezeki yang telah ditetapkan dan ditakdirkan kepada org tua ini memang sebuku roti setiap hari sepanjang hayatnya.

Nabi Musa pun sampaikan kepada orang tua itu apa yang dia diberitahu.

Orang tua itu berasa sungguh gembira, terpancar kegembiraan

Nabi Musa terkejut dengan tindak balas orang tua itu lalu Nabi Musa A.S. bertanya tentang kegemaran lantas Lelaki itu menjawab, "Jika dah ditakdirkan, maka saya tidak mempunyai apa-apa yang perlu dibimbangkan. Sekurang-kurangnya saya akan sentiasa menerima satu buku roti untuk sepanjang hidup saya!" dan dia kembali untuk solat dan ibadahnya.

Setelah beberapa bulan berlalu, ketenangan lelaki itu meningkat dengan pengetahuan bahawa dia tidak perlu risau bimbang tentang rezekinya.

Ini membolehkan beliau memberi tumpuan lebih kepada ibadah dia kepada Allah, yang menyebabkan dia mempunyai masa yang kurang tumpuan kepada makanan, dan juga kurang masa untuk makan.

Jadi, dari dia memakan satu buku roti sehari, dia hampir tidak berjaya makan separuh roti.

Baki roti tu kemudian diletakkan di satu sudut. Tidak lama kemudian, longgokan di sudut tu mula menimbun sehingga ia menjadi satu timbunan besar.

Pada satu pagi, ada penggembala lalu di kampung tersebut dan berhenti untuk bercakap dengan lelaki tua itu. Dia sedang mencari rumput kering untuk ternakan beliau tetapi tidak berjaya menjumpai apa-apa makanan.

Orang tua itu berkata kepadanya: "apa kata kalau kamu bawak roti-roti yang terletak dalam timbunan itu, lembutkan semuanya dengan air dan berilah makan kepada haiwan anda!" penggembala tu pun lakukan seperti apa yang dicadangkan orang tua itu dan haiwan ternakan dia pun makan semua roti tu sampai habis.

 Sebagai tanda berterima kasih kepada orang tua itu, pengembala itu memberikan seekor kambing ternakan dan meneruskan perjalanan.

Masa berlalu bertahun-tahun dan apabila Nabi Musa A.S. lalu lagi kawasan orang tua tu.

Dengan kagum beliau mendapati tempat orang tua itu tinggal, telah bertukar menjadi sebuah taman.

 Ada pokok-pokok buah-buahan tumbuh berhampiran, dan haiwan-haiwan ternakan meragut tidak jauh dari situ.

Terdapat sebuah ladang gandum, dan suasana kesejahteraan. Nabi Musa A.S. mendapat tahu bahawa semua ini adalah milik orang tua yang sama.

Nabi Musa pun menjadi hairan, kerana dia tahu apa yang ditulis dalam takdir orang tua itu - sebuku roti sehari - Nabi Musa A.S. pergi untuk mengetahui apa yang terjadi.

"Bagaimana ini boleh berlaku? Sebuku roti sehari adalah apa yang
tertulis .. namun dia memiliki begitu banyak lagi .."

Rupanya:
Satu buku roti adalah ezeki yang telah ditulis untuk orang tua tu.

Pokok-pokok buah-buahan, binatang ternakan  dan ladang tanaman adalah BARAKAH sebab  penerimaan terhadap  apa yang telah tertulis untuk kehidupan dia dengan penuh redha dan syukur serta keberkatan sedekah yang dilakukannya.

Semua itu adalah ganjaran atas kepercayaan sempurna pada Allah SWT.

Dan juga hasil daripada peralihan dalam tumpuan dari apa yang dia mahu, kepada mensyukuri dan menikmati apa yang dia ada sehinggakan walaupun selepas makan seberapa banyak yang dia mahu, dia tetap mempunyai baki.

Keperluannya telah menjadi sangat kecil.

Melimpah nya barakah ini diberikan dalam kehidupan orang tua itu disebabkan sifat pemurah nya dan kesediaan untuk berkongsi apa yang dia ada.

Jadi Rezeki memang ditakdirkan...

Tetapi ..

BARAKAH datang apabila kita bertaqwa kepada Allah SWT, apabila kita bermurah hati dengan apa yang kita ada, apabila kita bersyukur dan apabila kita meletakkan Ibadah & Zikir Allah SWT di atas segala-galanya.

Apa yg kita terima, itu lah rezeki yg tertulis utk kita. Kadang kita rasa kita berhak mendapat lebih dari apa yang kita terima, membuatkan kita bersungut, marah , rasa dianiaya dan sebagai nya. Sedikit mana pun kita terima, kalau kita bersyukur dan yakin pada Allah, insyaAllah rezeki kita akan bertambah. Rezeki yang sedikit itu lah yang perlu kita syukuri dan berbahagi sesama kita. Kalau kita rasa rezeki susah mahu datang kepada kita, cuba kita muhasabah diri kita. Di mana silap kita.

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hambaNya yang taat,  redha, pemurah dan bersyukur, AMEEN
________________

Anak-anaku, ketahuilah bahawa jika kamu mensyukuri setiap rezeki yg kamu terima, kamu akan dapat menikmati kehidupan ini dgn penuh bahagia. Bahagia bole jadi milik kita kalau kita memilih untuk bahagia drpd berdendam dan sakit hati. Hayati juga post sebelum ini Bahagia means happy.

Monday 17 July 2017

Makan di rumah halal, bawa balik haram

Teringat ada satu artikel yang di buat oleh seorang ustaz / ustazah mengenai adab makan di rumah orang semasa menziarah pada Hari Raya Aidilfitri. Artikel itu ada menyebut bahawa, jika kita menziarahi orang semasa hari raya, setiap makanan yang kita makan di rumah tersebut adalah halal, sebab tuan rumah sudah izinkan kita dengan menghidangkan makanan tersebut untuk tetamu nya. Tetapi makanan yang di hidang itu menjadi haram jika kita tidak memaklumkan tuan rumah dengan membawa balik ke rumah kita. Seperti gula-gula atau biskut raya yang kita masukkan dalam poket atau beg untuk kita makan di rumah kita. Jika betul kita hendakkan makanan tersebut, sebaiknya maklumkan lah kepada tuan rumah, saya nak bawa balik biskut ni, boleh kah? Jika tuan rumah izinkan, maka boleh lah di bawa, tetapi kalau tuan rumah seperti berat hati , seperti, tinggal sikit ja biskut tu, tinggal itu ja lah tu. Sebaiknya, jangan lah kita memandai-mandai bawa ya. Ingatkan anak-anak mengenai adab ini semasa menziarah. Hormati perasaan tuan rumah.

Adab ini sebenarnya bukan semasa Hari raya sahaja, tetapi setiap kali kita menziarah atau menduduki rumah orang walaupun ianya rumah ibubapa, adik beradik dan saudara kita sendiri. Selalunya aku kalau di rumah mak bapa (semasa kenduri atau ada acara makan-makan), sebelum orang lain atau aku sendiri mengambil lauk balik rumah ku, aku mesti pastikan mak bapa ada di simpan lauk mereka. Setiap jenis lauk tu, di simpan samada di peti sejuk atau di kontena. Selepas tu baru kami akan bagi tahu mak, mak, ada lagi lauk lebih ni, kami minta bawa balik ya.... Selalunya mak pasti akan setuju, jika kami maklumkan kami sudah simpan lauk untuk mak dan bapa. Hati mak mesti dijaga jika kita mo bawa balik makanan.

Begitu juga kalau di rumah mentua, masa balik cuti raya. Kalau balik kk, saya bawa balik mana yang mak mentua cakap ja. hahaha Kalau mak mentua cakap, bawa lah kuih makmur tu, dan lauk tu, untuk suami, maka itu sahaja saya akan bawa. Takut mo bawa balik lebih-lebih sebab drg juga bukan keluarga senang, jadi, untuk jaga hati, saya akan bawa sekadar untuk anaknya makan sahaja.

Tapi yang sedihnya, ada anak tiri yang tinggal dengan saya, bila balik rumah mak dorang, bawa balik macam-macam. Kalau setakat makanan, saya tidak kisah, sebab kadang memang tidak habis kalau kami berdua sahaja. Saya sendiri pun akan berikan kalau terlalu banyak. Walaupun saya lebih suka kalau dimaklumkan kepada saya dulu. Tetapi kengkadang sampai barang-barang seperti mug, bag , telekung dan sebagai nya. Memang nilainya bukan lah mahal sangat pun, dan tidak luak juga harta yang Allah telah berikan kepada ku. Tetapi yang sedihnya dipakai dan diambil sahaja tanpa sedikit pun mahu maklumkan. Tahu-tahu nampak barang-barang tu di pakai atau di tempat-tempat yang bukan sepatutnya. Ya aku halalkan tapi dengan terpaksa, dan tanpa kerelaan hati ku yang sebenar-benarnya. Sebab tidak sanggup pula membiarkan mereka menggunakan barangan yang haram. Semoga Allah berikan aku kesabaran dan keikhlasan. Kesabaran dan keikhlasan yang betul-betul akan diterima oleh Allah.  

Thursday 13 July 2017

Suasana di wad bersalin

Pada 17 April 2017 yang lepas kami dikejutkan oleh mesej dari Dayah (anak yang kedua yang sudah mempunyai seorang anak 7 tahun). Kakak dia Piti , sudah pecah air ketuban. Mereka dalam perjalanan ke Hospital Likas, sudah. Masa tu aku baru sampai rumah dari pejabat. Lebih kurang dalam jam 6 petang. memandangkan bapa mereka kerja petang, jam 9:30 malam baru sampai rumah. Jadi kami suruh sahaja mereka yang menghantar Piti. Mungkin mahu bersalin sudah.

Dalam jam 10:30 malam, setelah kami makan malam, kami pun pergi ke hospital likas. Mahu menjenguk-jenguk Piti, mana tahu sudah bersalin, atau menunggu di dewan bedah. Sesampai kami di sana, kami tengok si Piti, dan ada seorang lagi perempuan muda yang juga sarat mahu melahirkan anak sedang duduk-duduk di kerusi. Kami tanya, ehhh napa duduk di sini. Malas di dalam kata anak ku, penuh. Sekali aku tengok di bilik tu, memang penuh ibu-ibu yang sedang menunggu melahirkan anak mereka. Ada lebih kurang 20 orang atau lebih lah ibu-ibu tersebut. Anak ku cakap, sejak dia sampai ada 2 orang ibu yang sudah melahirkan anaknya, di sebalik tabir di bilik tersebut. Lain lagi ibu-ibu yang dikejarkan ke bilik bedah.

Bagaimana keadaan mu tanya ku kepada anakku, dia menyatakan, baru 2cm sahaja bukaan. Lagi pun anak di dalam kandungannya songsang. Mungkin perlu pembedahan, tidak dapat melahirkan secara normal. Setakat ini , doktor sudah periksa dia sebanyak dua kali sejak dia sampai. Apa pun, buat masa tu, ibu-ibu tersebut hanya di suruh menunggu sahaja di luar bilik wad. Sejak dia sampai dari jam 6-7 petang, belum lagi dapat katil.

Semasa kami sampai, kami suruh suami dia makan, dan belikan juga air dan makanan untuk si Piti. Aku pun menemankan Piti sambil duduk-duduk di luar bilik operasi. Memandangkan kerusi terhad, duduk sahaja di atas lantai. memang sejuk lah.... Ndak lama, Piti di panggil untuk mengisi borang kemasukan ke wad. Lebih kurang dalam jam 12 mlm baru lagi Piti di suruh masuk wad, dan disediakan katil. Setelah dia masuk wad, kami pun beredar. Esok kami akan datang. Sementara itu, pada mlm itu juga seorang saudara abang dari Kota Marudu telah meninggal di tingkat 3. kami pun melawat sebentar keluarga arwah sebelum beredar balik ke rumah.

Keesokan harinya, kami datang melawat jam 12:30 tengahari, kami dimaklumkan yang Piti akan di bedah pada jam 2 petang. Bilik nya yang paling hujung sekali. Di sepanjang perjalanan ke bilik Piti, terdapat katil-katil ibu-ibu yang hendak bersalin. di setiap bilik, memang penuh, dalam 6 katil setiap bilik, di luar bilik pun ada ibu-ibu yang sedang menunggu masa untuk bersalin. Pemandangan yang sungguh sibuk, di mana doktor dan nurse akan mengenalpasti ibu mana yang akan bersalin selepas seorang di surung ke bilik bedah. Walaupun saya pernah di masukkan ke wad sebelum ini. tetapi, keadaan di wad bersalin sangat berbeza. Tiada beza samada ianya waktu rehat, waktu pagi atau tengah malam. Doktor dan nurse, sentiasa sibuk.

sebelum pembedahan
Pada jam 1:00 tengahari lebih, anak ku telah diberikan baju bedah. Nurse telah menyuruh untuk bersiap-siap menjalani pembedahan pada jam 2 lebih nanti. Dalam jam 2:15 petang, Piti di surung masuk ke bilik pembedahan. Sementara menunggu, kami pun balik ke rumah dahulu, mandi, makan. Sementara anak ku 2 org menunggu di luar bilik bedah.

Kami balik semula ke hospital pada jam 5 petang, Piti belum lagi keluar dari bilik bedah. orang yang masuk kemudian dari dia pun sudah keluar. Mungkin Piti belum sedar kali. kami masih menunggu lagi. Dekat jam 6 petang baru lah Piti keluar dari bilik bedah bersama baby. Comel nya baby, kecil sangat. Baby seberat 2.4 kg.  Syukur alhamdulillah. 



2 bulan sudah

3 bulan


Tuesday 21 February 2017

Bahagia means HAPPY


Terjemahan dari sebuah cerita  :

Di sebuah restoran, seekor lipas tiba-tiba terbang dan hinggap di atas seorang perempuan. Perempuan tersebut menjerit panik dan ketakutan. Dengan panik , muka ketat dan suara menggeletar, perempuan tersebut terlompat-lompat dengan kedua-dua tangan cuba untuk menepis lipas berkenaan. Tindakbalasnya seperti berjangkit dengan kelompok di kumpulan mereka, di mana mereka semua berasa panik. Perempuan tadi berjaya menepis lipas tersebut, tetapi ia hinggap pada seorang lagi perempuan di kumpulan yang sama. Sekarang giliran perempuan itu pulak dengan drama yang hampir sama.

Kemudian, seorang pelayan perempuan di restoran tersebut datang menolong. Dengan berhati-hati pelayan tersebut mengamati tingkah laku lipas berkenaan. Bila lipas tersebut tidak bergerak, perlahan-lahan dia mengambil lipas itu dan membuangnya di luar restoran.

Moral :

Adakah tindakan yang luar biasa perempuan tersebut disebabkan oleh lipas itu? Jika puncanya dari lipas itu kenapa pelayan tersebut dapat mengawal dirinya dan membuang lipas tersebut tanpa sebarang drama? Sebenarnya, 2 orang perempuan itu tidak dapat mengawal diri mereka dengan kehadiran lipas tersebut. Cara kita mengawal emosi dan tindak balas kita terhadap sesuatu situasi amat berkesan kepada diri kita.

Begitu juga kita, jika kita dimarah oleh mak atau bos kita. Sebenarnya, bukan kemarahan mak atau bos kita yang mengganggu kita tapi kita yang tidak dapat menahan tindakbalas kita terhadap kemarahan tersebut. Kita mudah mempersalahkan orang yang memarahi kita tanpa berfikir adakah tindakbalas kita terhadap situasi tersebut betul-betul munasabah.

Jika kita di jalanraya pula, bukan trafik jem yang menggangu kita tapi kegagalan kita mengawal kemarahan kita terhadap trafik jem tersebut. Ada ketika kita akan mudah mempersalahkan orang lain atas kesalahan-kesalahan yang kecil semasa memandu. Sepatutnya kita hendaklah sentiasa bertolak ansur dan tenang semasa memandu dan jangan mudah naik angin.

Begitu juga dengan masalah kita, reaksi atau tindakbalas kita terhadap masalah yang menyebabkan huru hara dalam kehidupan kita. Perasaan dendam, marah, menyampah meluat, benci akan membuatkan hidup kita jadi tidak tentu arah.

Oleh itu, orang yang Happy bukan lah sebab semua baik atau betul dalam kehidupan nya tetapi dia bahagia dan HAPPY sebab attitude atau sikap dia terhadap semua orang dan semua benda dalam khidupan dia adalah betul dan baik sahaja. Fikir yang baik-baik sahaja, semua pun akan jadi baik. Sebenarnya, untuk mendapat kebahagiaan itu senang dan boleh diperolehi dari diri kita sendiri. Orang yang bahagia tu adalah orang yang membuatkan diri dia happy dan selalu berfikiran positif.