Showing posts with label Hari Peringatan. Show all posts
Showing posts with label Hari Peringatan. Show all posts

Tuesday, 25 June 2013

Hari Konvokesyen Nur Intan Sarafinah

 

Selama 16 tahun saya bersekolah dan melanjutkan pelajaran, tidak pernah saya berpeluang menghadiri hari konvokesyen. Segulung Ijazah saya hanya dikirim melalui pos. Namun saya bersyukur telah lulus dengan jayanya. 

Alhamdulillah, sudah selamat menghadiri konvokesyen yang kedua untuk Intan. Pelajar-pelajar sekarang beruntung. Sekarang ni di setiap tahap persekolahan diperkenalkan Majlis Konvokesyen. ala ala konvo kerana mendapat ijazah. Mula-mula dulu konvo sebab telah menghadiri tadika. 

Dalam 7 orang adik beradik, Intan beruntung sebab dia 2 tahun menghadiri tadika sebelum masuk ke tahun 1 pada umur 7 tahun. Walaupun begitu setelah 2 tahun menghadiri tadika, perasaan takut dan tiada keyakinan diri masih lagi menghantuinya. Semasa di tadika, ada ketikanya, dia tidak hadir ke sekolah, walaupun sekolah hanya di bawah rumah sahaja. Kalaupun dia ke sekolah terpaksa di tunggu sehingga dia habis sekolah. Sehinggalah dia memasuki Tahun 1 di SK Putatan, dia belum pandai menulis namanya sendiri dan belum pandai untuk membaca.

Pada minggu awal persekolahan di tahun 1, dia sering menangis apabila ditinggalkan di sekolah. Guru kelasnya ingatkan dia sakit, dan menyuruhku membawanya pulang. Aku kemudian memberitahu guru tersebut, dia tidak sakit tetapi mahu ikut pulang. Guru-guru pun macam malas pulak mahu mengurus dan membantu pelajar-pelajar Tahun 1 untuk menyesuaikan diri di sekolah. Ada ketika, aku mencubit atau membiarkan saja dia menangis. Tetapi dia mengejar pulak ke luar kelas. Ada sekali tu, guru besar yang menangkap dan menahannya dari mengikutiku balik. Guru besar tersebut mengatakan bahawa mereka akan mengurusnya dengan baik dan menyuruhku balik ke rumah. Begitulah kisahnya, setiap hari ada saja drama yang dilakukannya sehingga lebih kurang 2 bulan persekolahan.

Saya pun berusaha juga untuk memberi keyakinan kepadanya agar dia minat dan suka untuk ke sekolah. Sehinggalah aku terbaca artikel mengenai cara-cara untuk menasihatinya, iaitu semasa dia tidur. Di umbun-umbunnya aku berdoa dan bercakap secara berulang-ulang agar dia rajin ke sekolah, tidak menangis lagi dan menjadi pelajar yang berjaya. Jangan lupa juga baca selawat atas Nabi dan baca Al-Fatihah. Alhamdulillah, selepas beberapa hari, dia tidak menangis lagi jika ditinggalkan di sekolah. Di akhir tahun dia telah dianugerahkan pulak pelajar terbaik di kelasnya dan mendapat nombor 1.

Masuk tahun 2 dan tahun-tahun seterusnya, aku lihat kelemahannya adalah Matematik dan Sains. Pernah aku cuba mengajarnya di rumah, tetapi, tidak boleh. Akibatnya, dia selalu aku marah kerana tidak dapat menjawab dengan betul. Untuk tidak memberi tekanan kepadanya, aku biarkan dia belajar sendiri. Mungkin bukan bidang aku untuk mengajar. Aku tiada kesabaran untuk mengajar walau aku mahu melihat dia lulus dengan jayanya dalam mata pelajaran Matematik. Untuk membantunya aku hanya belikan buku-buku ulangkaji agar mereka dapat belajar sendiri.


Syukurlah, sekarang dia sudah berjaya mengharungi tahap ke dua untuk menghadapi masa hadapannya yang masih lagi terlalu panjang untuk dilalui. Semoga berjaya. Insya Allah.    

    

Tuesday, 21 May 2013

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru untuk bapaku, adikku, sepupu-sepupuku, saudara-saudaraku, kawan-kawanku yang memilih profesion perguruan serta guru-guru yang pernah mengajarku sebelum ini. Perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insaniah yang sempurna. 

Yang paling utama, saya berbangga mempunyai seorang bapa yang telah menghabiskan seluruh hidup dan masanya menjadi seorang pendidik. Sehingga kini, walau telah mencapai usia 72 tahun, masih lagi membantu dalam memartabatkan profesion keguruan di dalam masyarakat kita terutama di negeri Sabah. 

Untuk adik bongsuku, yang mengikut jejak bapaku menjadi guru, Selamat Hari Guru. Dia sahaja satu-satunya dalam adik beradik kami seramai 6 orang yang mengikut jejak bapa sebagai guru. Walaupun mengajar di kolej, tapi rasanya di kolej pun mencabar juga kan berbanding di sekolah-sekolah. Cumanya, tidaklah terlalu panjang masa dihabiskan di sekolah. Tetapi tugasnya tetap sama, mengajar anak-anak murid menjadi insan yang berguna.

Untuk sepupu-sepupuku, saudara-saudaraku serta kawan-kawanku yang menjadi guru, tidak lupa saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru. Kamulah semua penyambung warisan dalam mendidik anak bangsa kita. Tahniah.

Kepada guru-guru yang telah mengajarku di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, sehingga aku mampu untuk menjejak ke menara gading, terima kasih yang tidak terhingga.  

Apa perkara yang tidak dapat dilupakan mengenai guru saya ya? 

OK, dulu semasa di sekolah menengah saya bersekolah di salah sebuah sekolah asrama penuh (semua perempuan). Almaklumlah kalau semua perempuan, bermacam-macam kerenah. Nak dijadikan cerita, guru matematik kami (baru lepas lulusan perguruan, jadi muda lagi ni), seorang guru lelaki. Jika tiba masa guru ni mengajar, ada sahaja yang kami buat. Kami kacau kerusi dia, kami tapuk kapur atau pemadam papan hitam dan bermacam-macam lagi. Tetapi, dia tidak pernah marah, malahan hanya senyum atau ketawa sahaja. Tanpa kami duga, dia pun menyusun strategi untuk mengenakan kami. Bila tiba waktu peperiksaan, kami hampir menangis kerana soalan yang diberikan kepada kami terlalu susah. Hanya lebih kurang 20% sahaja yang lulus. Saya pula hanya nyawa-nyawa ikan dapat 46%. Itulah ujian matematik yang paling susah kami pernah ambil. Sejak dari itu, kami pun memohon maaf dari guru berkenaan, dan kami berjanji untuk tidak mempermain-mainkan beliau lagi.

Tidak lupa saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada guru yang mengajar Bahasa Arab di sekolah menengah saya dahulu. Semasa di tingkatan 1 saya pernah ikut guru ni ke rumahnya untuk menyambut hari raya Aidil Fitri. Semasa saya Tingkatan 1, saya tidak balik ke Sabah untuk beraya dengan keluarga. Itulah kali pertama saya tidak beraya bersama keluarga. Saya menangis dari malam takbir raya sehingga ke esokkan harinya. Semasa sembahyang hari raya pun saya masih menangis tak berhenti.... haha itulah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.

Guru Add Maths aku pulak, Mr. Lim, selalu suruh aku selesaikan masalah matematik di papan hitam. Nasib aku selalu dapat selesaikan masalah tersebut. Oleh itu, setiap hari kalau masa Add Maths sahaja, mesti sudah bersedia untuk menyelesaikan masalah. Malam sebelum tu mesti rajin buat homework add maths. Malu pulak dengan kawan-kawan kalau tidak dapat selesaikan masalah di papan hitam bila Mr. Lim suruh.

Masa Pendidikan Jasmani (PJ) memang masa yang paling aku tidak gemar. Kadang tu cari alasan supaya tidak kena suruh lari padang. Tapi kalau setakat main di padang tu OK lah lagi. Tetapi selalu lah kena marah sebab selalu escape kalau masa PJ.

Apa-apa pun kenangan semasa di bangku sekolah memang menyeronokkan. Terima kasih guru-guru ku semua. Selamat Hari Guru semua.  

 

Thursday, 16 May 2013

Selamat Hari Jururawat

12 Mei : Selamat Hari Jururawat. Terlambat pulak wish kan. Baru teringat mau cerita apa di blog ni.... mengenai jururawat. Ya, ada banyak pulak cerita pasal jururawat ni. Teringat detik-detik saya terlantar di Hospital Wanita Likas selama sebulan lebih. Jururawat-jururawat ni lah penemanku selama sebulan lebih tersebut.

Memang sungguh murni tugas sebagai jururawat ni kan. Bayangkan, tugas bermula seawal jam 6 pagi (sebelum jam 6 pagi mesti sudah sampai) sehingga lebih kurang jam 3 petang, kemudian bertukar syif dengan yang lain. Selalunya sebelum jam 6 pagi tu, kami pesakit-pesakit sudah dikejutkan untuk makan ubat. Ada seorang jururawat pernah bercakap, setiap bulan mesti kena beli kasut, sebab kasut dia cepat haus. Setiap hari semasa bertugas, diaorang berjalan di kawasan hospital sahaja mungkin dalam lebihkurang 10km (kalau di sukat),

Tugas sebagai jururawat memang mencabar. Seingat aku, selain memberi ubat, merekod tekanan darah 3 kali setiap hari, mengiring dan membantu doktor, mereka juga membersihkan pesakit, memasang segala peralatan untuk membantu pesakit serta melayan pelbagai kerenah pesakit. Hanya orang yang betul-betul minat tugas sebagai jururawat sahaja yang dapat melaksanakannya dengan sabar, tulus dan ikhlas. Alhamdulillah, semasa sebulan lebih saya di hospital, semua jururawat yang bertugas adalah yang baik-baik belaka.

Pada suatu ketika, semasa saya selepas melakukan pembedahan, memang susah nak bangun. Beberapa hari tersebut, semua perkara buat di atas katil. Ini termasuklah mandi di atas katil. Memandangkan saya telah beberapa hari tak mandi, sejak pembedahan, jururawat yang bertugas tu telah mengelap dan memandikan ku di atas katil. Nak rasa malu pun tak dapat, sebab, memang tak berdaya nak buat sendiri. Badan terasa amat lemah, dan mau angkat badan pun susah. Jadi relakan ja lah.

Satu lagi kes yang tidak dapat dilupakan ialah apabila saya tidak dapat membuang air kecil. Selepas pembedahan, biasanya, jururawat akan memasang tiub kencing untuk memudahkan pesakit kencing tanpa perlu bangun dari katil. Setiap hari jururawat akan menyukat kencing sebelum membuangnya. Pada suatu ketika apabila saya sudah boleh bangun ke tandas, tiub yang dipasang untuk saya pun dibuka. Tetapi, malangnya, pada malam tersebut, perut saya memulas sakit. Kencing tidak dapat keluar. Setelah saya laporkan kepada doktor, dia pun mengarahkan jururawat untuk memasang semula tiub tersebut untuk saya. Terpaksalah saya tahan rasa malu untuk memudahkan jururawat memasang tiub tersebut. Saya nyaris di suruh bawa balik tiub berkenaan ke rumah, kerana takut tidak dapat kencing dengan normal. Syukur, selepas di buka tiub tersebut, saya dapat juga kencing dengan normal.

Selain dari itu, semasa baru sahaja keluar dari bilik pembedahan, saya telah diarahkan agar tidak memakan dan minum apa2. Minum hanya dari tiub sahaja. Memandangkan suhu badan saya agak tinggi pada ketika itu, jururawat yang bertugas terpaksa memasukkan panadol dari dubur. Itulah pertama kali saya diberi panadol dengan cara demikian. Ingatkan budak-budak sahaja. Memang perkara tersebut tidak dapat saya lupakan.

Terdapat satu lagi kes di mana, jururawat serta doktor tidak dapat lagi mencari urat untuk memasukkan air di badan. Tangan sebelah kanan saya sudah bengkak. Sebelah kiri pulak, beberapa kali cucuk, tidak dapat2 urat berkenaan. Resolusi terakhir, terpaksa masuk balik bilik pembedahan, dan cucuk di leher. Sementara itu, saya juga setiap hari perlu di ambil sampel darah untuk di uji. Jururawat, serta doktor-doktor semua hampir putus asa bila masa untuk mengambil darah. Hanya doktor2 yang pakar sahaja atau jururawat yang taiko yang dapat mengambil darah ku.

Semasa pembedahan saya kali kedua, di dalam operation theatre, ada mungkin lebih 5 orang jururawat yang berada disekeliling saya. Seorang memasang oksigen, seorang memeriksan denyuta nadi, seorang memasang peralatan di tangan, seorang membius dan bermacam-macam lagi yang diperiksa sebelum pembedahan. Pada masa itu, sebelum tertidur oleh bius, sempat lagi saya berfikir bahawa saya dikelilingi oleh bidadari syurga....hehehe 

OK, itulah serba sedikit pengalaman saya semasa di hospital. Memang banyaklah peristiwa yang tidak dapat dilupakan selama sebulan lebih tidur di hospital. Apa pun, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada doktor-doktor dan jururawat yang telah merawat saya, termasuk jururawat pelatih yang membuat eksperimen kepada saya .... haha . SELAMAT HARI JURURAWAT.

Monday, 22 April 2013

Kenangan indah bersamamu

Kucing adalah salah satu binatang peliharaan yang paling di minati ramai. Kucing pertama kami sejak kami pindah di rumah kami ini, bernama Onceng. Bulu Onceng, sangat cantik, seperti kucing siam, warna putih kelabu kuning. Kucing ni, abang dan Toto (anak tiri lelaki saya) yang jumpa, semasa membersihkan parit di belakang rumah. Pada ketika itu, suara onceng ketakutan, kerana semalaman dibiarkan di parit tersebut. Ia mengiau-ngiau memanggil untuk ditolong. Onceng masih kecil, mungkin baru dalam beberapa minggu dan sangat kurus. Tanpa berlengah, abang terus memungut kucing berkenaan, mandikan dan beri makan.  

Inilah Onceng

Pada mulanya aku menentang sekeras-kerasnya untuk memelihara kucing di rumah. Bukannya tidak sukakan binatang, cuma terlalu banyak yang perlu dilakukan jika memelihara kucing. Makannya, tempat tidurnya, dan yang paling penting tempat membuang najisnya. Ini yang merisaukan aku. Abang seperti memahami, dia kemudian menyuruh ku menelefon adiknya, tanya samada mereka nakkan anak kucing atau tidak. Apabila aku telefon, ternyata mereka juga tidak mahu menjaga anak kucing berkenaan. Susah katanya. Dengan rasa berat hati aku pun bersetuju untuk memelihara Onceng dengan syarat, semua ahli keluarga hendaklah menolong menjaganya.  Gembira sungguh anak-anak tiri ku.

Selang beberapa bulan, Onceng membesar dan menjadi kucing yang nakal dan menghiburkan. Onceng pandai bermain, dan seperti tahu sahaja bila aku balik dari kerja, pasti hendak makan. Makanan Onceng ialah ikan + nasi. Selalunya kami akan belikan khas ikan basung untuk Onceng. Kadang-kadang kalau kami kehabisan lauk, terpaksa ambil ikan basung Onceng.

Onceng ni seekor kucing betina. Oleh itu terdapat 2 atau 3 ekor jantan yang selalu datang ke rumah. Nak mengorat Onceng lah tu. 2 ekor kucing jantan yang selalu datang ke rumah warna bulunya kelabu belang-belang dan kuning belang-belang. Setelah beberapa bulan, Onceng pun bunting dan beranak. Pertama kali Onceng beranak, anaknya 3 ekor. 2 ekor kuning belang dan seekor kelabu belang. Namun, anak Onceng tak panjang umur. Ketiga-tiga anaknya mati. 

anak Onceng

Ni anak dia yang pertama


Ni lah anak-anak Onceng (ni anak-anaknya yang kedua kali beranak)
Selepas itu, Onceng beranak lagi, kali ni anaknya 3 ekor juga dan warna bulunya juga sama, 2 ekor kuning belang dan seekor kelabu belang. Namun, seekor anaknya yang kuning belang mati terlanggar kereta. Anak-anak Onceng ni sangat manja. Kalau orang nak jalan kerja, anak-anak dia pun sibuk juga ke bawah kereta dan selalu bermain di bawah kereta. Jadi sehingga kini, hanya 2 ekor sahaja anaknya yang masih hidup. Nama anak-anak si Onceng ni ialah Onteng dan Belang. 

Selepas anak-anaknya dah besar sikit, Onceng bunting lagi. Kali ni, Onceng dapat 3 ekor juga anak.  Tetapi, semua bulu anak-anak Onceng seperti dia. Dan ada yang satu tu, putih sangat. Cantik. Anak-anak Onceng semua comel-comel. Namun kesian, semua ketiga-tiga ekor anaknya kali ni, pun tak panjang hayatnya. Mulanya, seekor anak Onceng, terlanggar kereta, tetapi dia tak mati. Kejadian tu berlaku betul-betul di hadapan mataku. Semasa kejadian, aku yang menjerit. Anak kucing tu, lari masuk bawah almari. Setelah ditengok, sebelah kakinya patah, dan dia terpaksa mengheret kakinya yang patah itu. Rasa nak menitis air mata melihat keadaan dia. Makan tak berselera, minum pun tak lalu. Ada dalam beberapa minggu juga dia berkeadaan begitu. Oleh yang demikian, terpaksalah menolong anak kucing tu membersihkan bulunya selepas dia membuang najis. Sebab kakinya yang sebelah sahaja tu, tak kuat untuk berdiri. memang sedih betul menguruskan anak kucing tu, tetapi aku tengok semakin hari dia semakin tabah. Walau dengan kakinya yang patah, masih juga dia berlari-lari mengejar dan bermain dengan adik-adiknya. Keadaan anak kucing yang lincah tu, semakin surut apabila adiknya pula sakit. Kurang pasti apakah yang menyebabkan adiknya sakit dan kemudiannya mati. Selepas adiknya mati, dia pun semakin sakit juga dan tak lama kemudian dia pun mati juga pada hari yang sama. Aku juga yang menemani anak kucing tu pada saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tinggallah seekor sahaja anak kucing yang sama bulunya dengan Onceng. Namun, anak kucing tu pun tidak panjang hayatnya. Mungkin, dia rasa kehilangan kedua-dua saudaranya, dia pun jatuh sakit dan kemudiannya mati juga selang beberapa hari. Kehilangan ketiga-tiga anak kucing tu, sungguh terasa di hati ini.    

Sementara tu, tinggallah 2 ekor sahaja anak si Onceng, iaitu si Onteng dan si Belang. Abang memang suka binatang lebih-lebih lagi anak-anak Onceng. Selalunya kalau abang tidur sebelah siang, kedua-dua anak kucing tu akan dibawanya tidur bersama. Di bilik berhawa dingin lagi tu. Kedua-dua anak kucing tu akan tidur di kakinya.

Oh ya, Onteng ni ada nama yang didaftarkan di Klinik Jabatan Haiwan di Kepayan. Namanya dalam pendaftaran tu ialah Cholo, sempena nama pelakon utama dalam cerita Stairway to Heaven (versi Filipina). Adik iparku yang berikan nama tu. Masa tu Onteng ketulangan, nasib tidak dibedah. Cuma diberi suntikan 2 kali sahaja. Alhamdulillah, selepas disuntik, Onteng sihat semula, malahan semakin gemuk. Salah satu sebab kenapa Onteng ni ketulangan ialah kerana dia ni kalau pasal makan, nombor satu. Macam ndak kena kasi makan 10 hari tu. Berebut-rebut dengan si Belang. Memang dari kecil lagi begitulah caranya makan.  

Onteng dan Belang ni kucing yang manja. Kalau lambat sikit beri makan, menggesel-gesel di kaki. Kadang-kadang aku masak dulu, baru lah sama-sama makan. Tapi bukanlah sama-sama makan di atas meja. Tetapi sama-sama masa makan, kalau tak, mengacau dan meminta-minta ikan lah kucing-kucing tu. Satu perangai si Onteng yang buatkan kami hairan, kagum dan marah ialah dia suka membuka tudung dulang. Kadang tu, kalau ada ikan atau ayam di bawah tudung dulang, dia akan membuka tudung dulang tu, dan menutupnya semula seperti sedia kala. Mulanya kami pun hairan kenapa ikan di bawah tudung dulang, pandai berkurangan. Lama kelamaan, kami tahu siapa dalangnya. Kadang-kadang anak-anak letakkan pemberat di atas tudung dulang. Tak lah si Onteng dapat membuka tudung dulang tu. Dengan perangai Onteng yang pandai membuka tudung dulang dan mencuri lauk tu, banyaklah piring dan gelas yang pecah. Kalau pasal gelas dan piring, masih lagi boleh tahan.

Seperti yang ku katakan di atas, aku begitu titik beratkan tempat membuang najis kucing-kucing ni. Dari awal lagi, Abang telah sediakan tempatnya. Tanah di depan rumah digemburkan agar kucing-kucing tu dapat melepaskan hajat mereka dengan senang. Jika tidak di depan rumah, kucing-kucing tu akan melepaskan hajat di tandas. Senanglah sikit menyucinya. Namun, sejak kebelakangan atau masa-masa tertentu seperti bila anak-anak balik ke Kepayan, kucing tu pandai pulak melepaskan hajat di dalam bilik atau lebih khusus lagi di atas tilam budak-budak tu. Itu yang buatkan Abang rasa macam marah dan geram juga. Aku pun, apalagi, bisinglah kenapa kucing-kucing ni membuang di atas tilam pulak tu. Kalau setakat di penjuru bilik ka, ok lagi.

Oleh yang demikian, atas sebab-sebab di atas, Abang pun berhasrat untuk membuang kucing-kucing tu katanya. Pada mulanya ingatkan Abang hanya main-main. Aku hanya diamkan sahaja. Tetapi, tidak lama selepas tu, Abang menyuruhku menangkap kucing-kucing tu dan masukkan ke dalam kereta. Bila di tanya mau buang di mana, abang hanya cakap, buang di kawasan car wash menantunya, katanya. Dalam hatiku kesiannya kucing-kucing tu, dapatkah makan kalau di kawasan car wash, bagaimana kalau di langgar kereta sebab car wash tu bersebelahan dengan jalan besar sahaja. Namun, tidak berani ku luahkannya. Hanya mengikut apa yang di suruh. Onteng dan Belang pun seperti tahu sesuatu akan bakal berlaku terhadap mereka. Bila dimasukkan ke dalam kereta, Onteng seperti ketakutan. Semasa dalam perjalanan, di dalam kereta, Onteng memanjat-manjat di belakang kereta. Sekejap turun di kaki. Kemudian, Onteng kencing di tempat duduk belakang. Belang pula hanya mendiamkan dirinya. Sesampai kami di kawasan car wash, tiada satu pun kereta di situ. Pekerja car wash juga tiada. Abang teruskan perjalanan ke barek Kepayan. Sesampai di sana, Abang suruh turunkan Onteng dan Belang. Onteng dan Belang terus lari ke bawah kereta. Bila kami mula beredar, hati ku sungguh sedih.

Selamat Tinggal Onteng! Selamat Tinggal Belang! semoga kamu dipelihara dengan baik oleh penduduk sekitar kawasan tersebut. Sesekali bila kami ke sana, kami ternampak Onteng dan Belang. Alhamdulillah, mereka baik-baik sahaja.

Oh ya! Onceng pulak, sejak kematian anak-anaknya yang 3 ekor tu, sudah jarang balik ke rumah. Mungkin sudah ada penjaga baru. Terima kasih semua kerana sudi membaca cerita kucing-kucing ku.