Tuesday 21 May 2013

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru untuk bapaku, adikku, sepupu-sepupuku, saudara-saudaraku, kawan-kawanku yang memilih profesion perguruan serta guru-guru yang pernah mengajarku sebelum ini. Perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insaniah yang sempurna. 

Yang paling utama, saya berbangga mempunyai seorang bapa yang telah menghabiskan seluruh hidup dan masanya menjadi seorang pendidik. Sehingga kini, walau telah mencapai usia 72 tahun, masih lagi membantu dalam memartabatkan profesion keguruan di dalam masyarakat kita terutama di negeri Sabah. 

Untuk adik bongsuku, yang mengikut jejak bapaku menjadi guru, Selamat Hari Guru. Dia sahaja satu-satunya dalam adik beradik kami seramai 6 orang yang mengikut jejak bapa sebagai guru. Walaupun mengajar di kolej, tapi rasanya di kolej pun mencabar juga kan berbanding di sekolah-sekolah. Cumanya, tidaklah terlalu panjang masa dihabiskan di sekolah. Tetapi tugasnya tetap sama, mengajar anak-anak murid menjadi insan yang berguna.

Untuk sepupu-sepupuku, saudara-saudaraku serta kawan-kawanku yang menjadi guru, tidak lupa saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru. Kamulah semua penyambung warisan dalam mendidik anak bangsa kita. Tahniah.

Kepada guru-guru yang telah mengajarku di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, sehingga aku mampu untuk menjejak ke menara gading, terima kasih yang tidak terhingga.  

Apa perkara yang tidak dapat dilupakan mengenai guru saya ya? 

OK, dulu semasa di sekolah menengah saya bersekolah di salah sebuah sekolah asrama penuh (semua perempuan). Almaklumlah kalau semua perempuan, bermacam-macam kerenah. Nak dijadikan cerita, guru matematik kami (baru lepas lulusan perguruan, jadi muda lagi ni), seorang guru lelaki. Jika tiba masa guru ni mengajar, ada sahaja yang kami buat. Kami kacau kerusi dia, kami tapuk kapur atau pemadam papan hitam dan bermacam-macam lagi. Tetapi, dia tidak pernah marah, malahan hanya senyum atau ketawa sahaja. Tanpa kami duga, dia pun menyusun strategi untuk mengenakan kami. Bila tiba waktu peperiksaan, kami hampir menangis kerana soalan yang diberikan kepada kami terlalu susah. Hanya lebih kurang 20% sahaja yang lulus. Saya pula hanya nyawa-nyawa ikan dapat 46%. Itulah ujian matematik yang paling susah kami pernah ambil. Sejak dari itu, kami pun memohon maaf dari guru berkenaan, dan kami berjanji untuk tidak mempermain-mainkan beliau lagi.

Tidak lupa saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada guru yang mengajar Bahasa Arab di sekolah menengah saya dahulu. Semasa di tingkatan 1 saya pernah ikut guru ni ke rumahnya untuk menyambut hari raya Aidil Fitri. Semasa saya Tingkatan 1, saya tidak balik ke Sabah untuk beraya dengan keluarga. Itulah kali pertama saya tidak beraya bersama keluarga. Saya menangis dari malam takbir raya sehingga ke esokkan harinya. Semasa sembahyang hari raya pun saya masih menangis tak berhenti.... haha itulah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.

Guru Add Maths aku pulak, Mr. Lim, selalu suruh aku selesaikan masalah matematik di papan hitam. Nasib aku selalu dapat selesaikan masalah tersebut. Oleh itu, setiap hari kalau masa Add Maths sahaja, mesti sudah bersedia untuk menyelesaikan masalah. Malam sebelum tu mesti rajin buat homework add maths. Malu pulak dengan kawan-kawan kalau tidak dapat selesaikan masalah di papan hitam bila Mr. Lim suruh.

Masa Pendidikan Jasmani (PJ) memang masa yang paling aku tidak gemar. Kadang tu cari alasan supaya tidak kena suruh lari padang. Tapi kalau setakat main di padang tu OK lah lagi. Tetapi selalu lah kena marah sebab selalu escape kalau masa PJ.

Apa-apa pun kenangan semasa di bangku sekolah memang menyeronokkan. Terima kasih guru-guru ku semua. Selamat Hari Guru semua.  

 

No comments:

Post a Comment