Monday 13 May 2013

Third Country Training Program (TCTP)

Program Third Country Training Program (TCTP) adalah program lanjutan BBEC. Ianya diadakan untuk berkongsi pengalaman oleh penganjur atau pelaksana program BBEC dengan negara-negara membangun yang lain seperti Afrika (Kenya, Madagascar, Uganda, Tanzania), India, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Laos, Indonesia, Filipina dan lain-lain yang tidak saya ingat lagi. Program ini dianjurkan selama 3 minggu di Sabah dengan pengisian yang padat, bukan hanya ceramah, tetapi lawatan ke lokasi-lokasi strategik di Sabah yang terlibat dalam program konservasi atau pendidikan alam sekitar.

Setelah tiga kali terlibat dalam program ini, saya berpendapat terdapat beberapa kebaikan atau manfaat yang diperolehi samada pihak penganjur itu sendiri atau pun peserta-peserta kursus. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Kursus ini adalah untuk melatih peserta kursus mengenai konservasi dari segi praktikal. Dengan melawat lokasi-lokasi yang berkaitan peserta dapat mengaplikasikan pelaksanaan program yang mereka pelajari di sini dan merangka serta merancang program dan aktiviti-aktiviti yang sesuai dilaksanakan di negara mereka.

2. Kursus ini juga dapat memberi fahaman kepada peserta mengenai elemen pengalaman Malaysia dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek yang berkaitan dengan konservasi dan alam sekitar. Menggalakkan interaksi, perkongsian pengalaman, proses pembelajaran dan pemantauan projek-projek konservasi.

3. Memberi latihan komukasi yang baik kepada penyampai. Kursus ini bukan sahaja memberi latihan kepada peserta kursus, tetapi latihan juga kepada penyampai kursus. Ia memberi pengalaman berkomunikasi dengan peserta, keyakinan diri dan pengurusan alam sekitar yang berkesan dan efektif.

4. Di akhir kursus ini, peserta akan dapat merangka dan merancang pelan pengurusan dalam pelaksanaan pengurusan biodiversiti dan ekosistem yang bersepadu di negara mereka sendiri. Perancangan ini mestilah yang dapat dilaksanakan.

Cabaran paling utama dalam melaksanakan program ini adalah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Menyampaikan, menerangkan dan memahamkan peserta pelbagai negara dalam bahasa Inggeris mengenai pengalaman kita adalah satu cabaran yang paling utama. Berputar belit juga lidah bila bertutur. Maklumlah jarang-jarang berpeluang berkomunikasi dan membuat penyampaian sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, cabaran lain yang dihadapi adalah melayan pelbagai kerenah peserta-peserta dari pelbagai negara. Ada yang tidak mahu berkongsi bilik, cerewet mengenai makanan, cuaca yang tidak menentu dan bermacam-macam lagi. Kena lah banyak bersabar menghadapi kerenah mereka ini, tetapi secara menyeluruh, pelaksanaan ini haruslah di puji kejayaannya. Tahniah kepada semua yang menjayakan program ini.  


No comments:

Post a Comment