Tuesday 14 May 2013

Perubahan Cuaca

Tajuk di atas pernah diajukan kepada saya untuk diterangkan kepada masyarakat kampung di Sipitang, Sabah. Pada mulanya saya menolak kerana saya tidak pernah dan tidak tahu mengenai topik berkenaan. Saya tiada fakta dan pengalaman secara langsung berkaitan tajuk yang diminta. Bagaimana saya hendak menyampaikan sesuatu yang saya sendiri tidak mengalaminya? Namun, atas desakan kawan-kawan yang lain, dan harapan yang tinggi oleh pihak penganjur, saya pun bersetuju. Saya bersedia menyahut cabaran tersebut. Mungkin juga kerana saya tewas dengan pujukan kengkawan menyebabkan saya setuju untuk menyampaikan tajuk ini untuk disampaikan.

Pelbagai sumber saya cari untuk mendapatkan maklumat mengenai perubahan cuaca. Bagaimana ia berlaku, kenapa ia berlaku, bila, di mana, contoh-contoh dan sebagainya. Saya makan, tidur, mandi juga, topik ini tidak lekang dari minda saya. Beberapa minggu sebelum saya dikehendaki menyampaikan topik ini, saya telah menghadiri satu seminar di UMS mengenai Climate Change Adaptation: in the Sectors of Air and Water. Memang bertepatan sungguh seminar berkenaan. Pucuk di cita ulam mendatang.

Sejak kebelakangan ini, memang amat ketara betul perubahan cuaca yang dialami, bukan saja di negeri atau negara kita, tetapi di seluruh pelusuk dunia. Hujan tidak menentu, banjir di sana sini, kemarau di beberapa kawasan, panas terik dan bermacam-macam lagi.

Adakah anda penyumbang kepada pemanasan global atau perubahan cuaca yang berlaku sekarang ini? Marilah kita sama-sama menjaga alam ini dari kemusnahan yang berpunca dari pemanasan global.

Antara perkara-perkara yang kita sebagai rakyat Malaysia yang kita cakap, sebagai orang biasa saja, yang boleh kita lakukan untuk menghalang, mencegah, mengatasi, atau menyumbang kepada kesan perubahan cuaca yang drastik adalah seperti berikut: 

1. Janganlah melakukan pembakaran terbuka. Pembakaran terbuka adalah penyebab utama pencemaran udara. Keadaan pencemaran ini akan jadi lebih serius jika cuaca panas dan kering yang akan menyebabkan keadaan menjadi jerebu, menjejaskan kesihatan dan penglihatan serta meningkatkan suhu persekitaran. Pembakaran ini termasuklah, pembakaran hutan, pembakaran sampah-sampah dan sebagainya.

2.Mengurangkan penggunaan kenderaan yang menggunakan minyak sebagai bahan bakar utama. Susah juga mahu laksanakan perkara ini kan. Tetapi salah satu usaha yang baik adalah dengan menggunakan pengangkutan awam ke pejabat. Kalau di Sabah ni, mungkin susah sikit lah mahu laksanakan, sebab pengangkutan awam di Sabah, kurang, kalau dibandingkan dengan di KL. Apapun, kalau kita tidak ada keperluan yang mendesak untuk menggunakan kereta, lebih baik kita di rumah sahaja lah kan. Berkongsi kereta juga satu idea yang baik. Ini juga dapat mengurangkan jem kan. Atau mungkin kita menaiki basikal seperti orang-orang Jepun?

3. Kegiatan pertanian dan penternakan juga menyumbang kepada pemanasan global. Ini disebabkan oleh penggunaan racun-racun serangga dan baja kimi secara berlebihan. Jadi, jika kita bercucuk tanam, kurangkan lah penggunaan baja-baja kimia dan racun-racun serangga. Hasil buangan najis-najis haiwan juga menyumbang kepada pemanasan global seperti kambing dan lembu di mana najis-najis ini menghasilkan dan membebaskan banyak gas metana ke udara.

4. Selalu berjimat cermat dalam penggunaan elektrik. Ini termasuklah di rumah ataupun di pejabat. Matikan suis jika tidak digunakan, samada kipas, lampu, radio, charger dan lain-lain. Penggunaan penghawa dingin juga hendaklah dikurangkan. Bukalah tingkap-tingkap rumah untuk memudahkan pengudaraan berlaku.

5. Selalu berjimat cermat dalam penggunaan air. Jangan mencuci piring semasa paip terus berbuka. Tutup paip air jika tidak digunakan. Menggunakan semula air-air yang bersih samada untuk siram bunga, menyuci lantai,menyuci parit dan sebagainya.Bercerita mengenai air ni, terdapat inovasi atau rekaan oleh Jepun di mana air parit yang hitam tu, di tapis dan diproses sehingga menjadi jernih. Mereka mendakwa air tersebut sangat bersih dan boleh terus diminum. Sanggupkah kita meminum air parit jika pada suatu masa nanti tiada lagi air sungai yang bersih? Fikir-fikirkan.

Banyak lagi amalan-amalan yang boleh kita laksanakan untuk membantu mengurangkan pemanasan global ni. Sama-samalah kita mengamalkan sikap berjimat cermat, mengamalkan 3R (reduce, recycle, reuse) dalam kehidupan kita seharian agar bumi kita ini dapat diwarisi oleh anak cucu dan cicit kita.

No comments:

Post a Comment