Saturday, 24 May 2014

Cerita tentang sebiji kurma

Cerita ni, telah diceritakan oleh seorang sahabat agar kita semua mengambil pengajaran dan iktibar daripadanya. Kalau ada kekurangan, tolong tambah-tambah ya. Cerita ini ditujukan terutama kepada anak-anak di luar sana yang suka mengambil hak orang lain tanpa memberitahu tuannya terlebih dahulu.

Tersebut kisah, ada seorang alim ulama yang sangat warak. Disebabkan kewarakannya tu, setiap apa yang didoanya pasti akan termakbul. Pada suatu hari dia telah pergi membeli kurma dari seorang tua. Semasa orang tua tu menimbang kurma yang di beli oleh alim ulama ni, terdapat sebiji kurma yang hampir jatuh. Lalu diambil oleh alim ulama tu lalu dimakannya terus tanpa memberitahu kepada penjual kurma. Sebiji kurma tersebut tidak termasuk dalam timbangan kurma yang ditimbang oleh orang tua penjual kurma itu. Alim ulama tu pun membayar kurma yang dibelinya lalu pergi.

Selang beberapa lama selepas itu, alim ulama tu berasa hairan, kenapa doanya tidak lagi makbul sebelum ini. Orang lain juga sering mengatakannya tidak lagi seperti dulu, doanya sering sahaja makbul. Alim ulama tu pun teringat mengenai sebiji buah kurma yang telah dimakannya yang dia tidak memberi tahu kepada penjual kurma tersebut.

Dia pun berusaha mencari balik penjual kurma tersebut. Alangkah sedihnya dia apabila ke tempat penjual kurma tu, bukan lagi orang yang dahulu. Penjual kurma tersebut seorang yang muda. Dia pun meneka mungkin pemuda ini adalah anak penjual kurma sebelum ini. Dia pun bertanya kepada penjual kurma tersebut, "Nak, di mana penjual kurma sebelum ini? Sebenarnya saya ada membeli kurma dari beliau, tetapi ada sebiji kurma yang saya makan tanpa membayar kurma tersebut dan tanpa saya memberitahunya." ucap alim ulama tersebut.

Pemuda itu kemudian memberitahu penjual kurma sebelum ini adalah bapanya. Dan bapanya telah meninggal dunia. Dia kemudian memberitahu saya tidak apa Tuan. Saya halalkan kurma tersebut. Tetapi bapa saya mempunyai 11 orang anak kesemuanya. Saya tidak tahu samada mereka yang lain akan menghalalkan kurma tersebut atau tidak.

Alim ulama itu pun berusaha mencari semua anak penjual kurma tu, untuk menghalalkan sebiji kurma yang telah di makan beliau. Memang agak lama juga barulah dia berjumpa dengan ke semua anak-anak penjual kurma tersebut. Selepas itu, baru lah alim ulama tu berasa senang hati. Dan doanya kembali termakbul.

Begitulah cerita mengenai sebiji buah kurma. Pengajarannya: kita tidak boleh mengambil hak orang lain, tanpa memberitahu tuannya, walaupun ianya hanya sebiji buah kurma sahaja. Untuk alim ulama tu, mungkin doanya tidak termakbul. Tetapi untuk diri kita ni, mungkin banyak lagi musibah yang mungkin boleh terjadi jika kita mengambil hak orang lain, seperti, kita akan merasa tidak pernah cukup duit gaji kita, atau duit yang baru kita dapat dicuri orang atau kita perlu bayar karan yang tetiba melambung tinggi, dan bermacam-macam lagi musibah yang bakal menimpa jika kita selalu mengambil hak orang lain tanpa memberitahu tuannya. 

No comments:

Post a Comment