Monday, 20 June 2016

Kenapa integriti penting? (Part 2)

Kenapa kita mesti mempunyai integriti? 

Kenapa pentingnya integriti dalam kehidupan kita? Kita katakan budaya kita penuh dengan adat kesopanan yang diagung-agungkan. Kenapa dalam indeks integriti seluruh dunia, kita masih lagi dalam kategori pertengahan. Nombor 50 dari 180 negara.

Kalau di negara orang putih, di dalam sesuatu majlis, cara pengacara memanggil kita adalah dengan "ladies and gentlemen". Mereka mengutamakan wanita dari lelaki. Lelaki orang putih pun lebih berbahasa dari lelaki Melayu. Kalau masuk di sesebuah tempat yang berpintu mereka akan membukakan pintu untuk perempuan. Kalau di Malaysia pulak, di majlis akan disebut "Ybhg Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan". Kita lebih mengutamakan lelaki dari wanita. Ini disebabkan dalam institusi kekeluargaan Islam, kita lebih menghormati ketua keluarga iaitu Bapa/Lelaki.

Kepentingan integriti ini adalah disebabkan perkara-perkara berikut:
1. Memenuhi kehendak agama
Jika kita mempunyai pengetahuan agama yang luas dan sentiasa berpegang teguh akan keperluan dan kehendak agama, kita tidak mungkin akan cuba-cuba untuk melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

2. Membetulkan kepincangan
Dengan adanya integriti, tiada kepincangan yang akan berlaku. Tiada salah guna kuasa, salah guna hak orang lain dan sebagainya.

3. Meningkatkan imej
Integriti berkait rapat dengan jujur, amanah, tanggungjawab. Jika kita memelihara integriti, kita pastinya meningkatkan imej diri kita di mata orang lain. Kita akan lebih dihormati dan disegani.  

4. Memastikan semua hak dijamin
Hak orang lain akan terjaga dengan baik. Tiada ragu-ragu, tiada was-was.

5. Membangun diri dan ummah dengan ikhlas
Jika kita melakukan tugas dengan ikhlas, tanpa apa-apa balasan dari orang lain, maka kita akan dapat kepuasan diri. Kepuasan dalam melaksanakan perkara yang dikehendaki.  Kepuasan dapat menjaga hak orang lain. Kepuasan dalam melakukan sesuatu yang betul.

6. Membolehkan kita bersaing
Bila kita dihormati, disegani dan orang lain tahu bahawa kita boleh dipercayai, maka, kita akan sentiasa diberikan tugas-tugas yang mencabar. Ini membolehkan kita bersaing dengan orang lain yang lebih baik dan berpengalaman. 

7. Meningkatkan kepakaran
Jika kita sering diberikan tugas-tugas yang mencabar, sudah tentunya kita akan menjadi pakar dalam sesuatu tugas yang diberikan. Lebih-lebih lagi jika tugas tersebut memerlukan kita bersikap jujur, dan amanah dalam melaksanakannya. Kita akan jadi pakar rujuk dalam bidang tersebut.

8. Memantapkan martabat bangsa
Jangan hanya kerana segelintir kita, seluruh bangsa kita dipersalahkan. Dengan mempunyai ciri-ciri integriti yang tinggi, kita dapat meningkatkan lagi martabat bangsa kita. Bangsa yang boleh dipercayai.

9. Menyelamatkan perjalanan hidup bertakwa
Dengan mengamalkan integriti juga kita akan dapat memelihara diri kita. Memelihara diri dari mendapat siksaan Allah juga pandangan dan hukuman dari orang di sekeliling kita.

10. Menguatkan semangat 
Amalan integriti akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang. Kita akan lebih yakin akan diri kita yang sebenarnya. 

No comments:

Post a Comment