Apakah intgeriti yang dimaksudkan?
Integriti secara amnya tidak dapat dilaksanakan dalam sekelip mata sahaja. Ia adalah amalan yang biasa kita lakukan setiap hari. Selalunya ia sudah menjadi budaya kita atau sebati dengan kita. Sebab itulah tajuk dari penceramah mengatakan bahawa integriti ini bermula dari rumah. Sejak kecil apakah nilai-nilai murni yang diterapkan kepada si anak. Ini lah juga yang akan menjadi amalan bila anak tersebut meningkat dewasa seterusnya memasuki alam persekolahan dan pekerjaan. Oleh itu, integriti ini sebenarnya berpunca bagaimana ibu bapa kita / penjaga kita mendidik kita dari kita lahir. Jika baik, maka baiklah sikap atau attitude budak tersebut, tetapi jika sebaliknya, itu yang menjadi masalah utama negara kita pada masa ini. INTEGRITI.
Di bawah ini saya kongsikan beberapa amalan integriti yang seharusnya diterapkan dan ada pada diri kita yang disenaraikan oleh penceramah. Mungkin ada banyak lagi selain yang ada ni:
1. Kejujuran
Kejujuran tidak nampak tapi kita dapat rasa. Jika kita tahu benda tu bukan hak kita, janganlah di ambil. Kita hendaklah bersikap jujur kepada diri kita sendiri. Orang yang bersikap jujur ini bila apa yang diucapnya seiring dengan segala perbuatannya. Keindahan sifat jujur itu apabila dia bersikap jujur kepada dirinya, kepada orang yang berurusan dengannya (berjual beli atau yang berkaitan dengan pekerjaannya), jujur dalam memimpin samada di dalam institusi kekeluargaan atau pekerjaan. Jujur merupakan salah satu sifat yang mulia dan orang yang mempunyai sifat jujur biasanya mendapat kepercayaan dari orang lain.
Contoh sikap jujur yang dilakukan di rumah : Ibu bapa hendaklah sentiasa mengajar anak untuk berani bercakap benar. Walaupun anak tersebut melakukan kesalahan. Jangan mengajar anak untuk berbohong.
Teringat orang dulu-dulu cakap kan...."mula-mula berbohong, lama-lama mencuri".
2. Ketelusan
Ketelusan juga tidak nampak tetapi boleh di rasa. Ia adalah mengenai transparency. Ketelusan ini adalah sikap berterus terang, jujur dan ikhlas. Ada orang yang tidak telus, yang mempunyai sikap yang berbeza. Seperti talam dua muka. Di hadapan ketua dia menjadi pekerja yang amat baik, sebaliknya jika di belakang ketua, dia mempunyai sikap yang berbeza.
Begitu juga contoh di rumah: ada anak-anak yang bersikap baik di hadapan ibu bapa mereka, tetapi apabila bersama kawan-kawannya, dia mudah terpengaruh dengan perangai kawan-kawan. Oleh itu, ibu bapa perlu mengetahui sikap anak-anaknya agar mempunyai ketelusan hati.
3. Komited
Komited adalah dari perkataan Inggeris comitted. Orang yang komited dalam tugas akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tugas yang diberi. Kesungguhan untuk menyelesaikan tugas dan kesanggupan untuk berkorban masa.
" I don't stop when I'm tired, I stop when I'm done".
Didik anak untuk komited dengan kerja-kerja sekolah. Libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sekolah seperti persatuan, larian, kerja-kerja amal dan sebagainya. Pastikan mereka siap homework mereka.
4. Amanah
Amanah adalah suatu yang sangat berat untuk dilakukan. Seorang yang mempunyai sifat amanah adalah seorang yang berperibadi baik dan tinggi akhlaknya. Teringat semasa menghadiri kursus bina negara lebih kurang 26 tahun dulu sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara. Kami diberikan sesampul surat yang diamanahkan untuk diberikan kepada orang apabila sampai ke garisan penamat. Namun, kami telah berikan surat berkenaan kepada orang lain yang meminta surat berkenaan. Ini lah pengajaran mengenai amanah yang saya ingat sehingga hari ini. Jangan mudah untuk memberikan kepada orang lain apa yang telah diamanahkan kepada diri mu. Amanah harus dijaga dan dipelihara sehingga sampai kepada yang berhak memilikinya.
Ia sama seperti janji kita. Apa yang kita janjikan mesti dikota. Terutama janji kita kepada anak-anak.
5. Tidak salah guna kuasa
Maksud salah guna kuasa ini adalah menggunakan jawatan yang dipegang dalam sesuatu organisasi untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan kaum kerabat.
- kita hendaklah jaga nilai harta tu seperti harta kita sendiri. Maksudnya jika kita diamanahkan menjaga harta maka kita hendaklah menjaganya dengan baik. Tetapi kita tidak boleh buat sesuka hati kita seperti harta kita sendiri...
- Dalam institusi kekeluargaan selalunya abang atau kakak yang tua yang lebih berkuasa. Mereka akan mudah menyuruh adik-adik untuk melakukan tugas untuk mereka. Jika ini berlaku, cuba nasihatkan anak-anak untuk tidak berlebih-lebih dengan kuasa mereka sebagai kakak atau abang yang lebih tua. Jika dari kecil, ini diterapkan, kemngkinan bila sudah bekerja, tingkah laku yang serupa akan dilakukan kepada rakan setugas.
6. Bijak membuat keputusan
- Jangan membuat keputusan jika kita sedang marah
- Jangan membuat keputusan semasa kita sedang bersukaria/ atau mabuk / aramaiti
- Jika keputusan telah di buat dan tidak menghasilkan perkara yang baik, maka jangan salahkan diri sendiri. Sebaliknya mohon ampun dan bertaubatlah.
- Didiklah anak untuk membuat keputusan. Misalnya, kenapa dia perlu beli kasut sekolah, buku sekolah atau baju dan sebagainya. Latih mereka untuk berkomunikasi.
Apa-apa pun, yang penting hati kita mesti baik.
Jika kita seorang yang malas di rumah , maka di tempat kerja pun kita akan menjadi pekerja yang malas. Pemantauan ke atas anak-anak perlu dilakukan selalu atau setiap masa. Begitu juga di tempat kerja, walaupun tugas tersebut kita telah berikan kepada orang yang bertanggungjawab melaksanakannya, pemantauan terhadap tugas tersebut mesti dilakukan. Kurang pemantauan yang sering mengakibatkan berlakunya perkara-perkara negatif dalam institusi kekeluargaan dan pekerjaan.
"Kalau di marah bukan semestinya kita salah, dan kalau dipuji bukan semestinya kita betul". Ini kata-kata penceramah. Oleh itu, teguran demi teguran perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem yang sedia ada. Jangan mudah melata jika di marah dan jangan terlalu inginkan pujian dalam melakukan tugas yang diberi.
No comments:
Post a Comment