Tuesday 7 May 2013

Selamat Hari Ibu

Hari Ibu disambut dalam bulan Mei. Bagaimana penghargaan anda kepada ibu anda? Di sini, saya ada beberapa kisah mengenai ibu saya yang ingin saya kongsikan, sempena Hari Ibu pada tahun ini. Semoga dengan kisah ini akan menyedarkan kita betapa kita bertuah punya ibu.


Mak saya seorang yang garang tetapi penyayang. Kalau dulu semasa remaja, kalau kami adik beradik lambat bangun, mak akan bising. Mak akan mengomel dari awal pagi sehingga ke tengahari! Kalau kami buat salah, kadang kala mak akan memukul kami dengan penyangkut baju. Sakitnya tak terkata. Kalau ada tetamu datang, kami tak bersalam dengan tetamu, mak akan menjeling, suruh kami bersalaman. Jika kami bertamu di rumah orang pulak, kalau kami dengan lahapnya atau banyak makan dan minum di rumah orang, besarlah mata mak atau singgah lah cubitan agar kami beradap. Semua tatasusila tersebut kami semat di hati sebagai amalan kami sehingga kini. Kami tidak membenci mak kerana memukul kami atau memarahi kami. Kami tahu kami bersalah dan itu sebagai denda yang harus kami lalui. Dari situ juga kami belajar dari kesilapan yang kami lakukan.

Semasa kami kecil, baju-baju kami selalunya mak yang jahit. Mak memang pandai menjahit, menyulam, membuat perhiasan bunga. Mak akan jahit baju gaun, baju kurung, baju sekolah. Saya akan rasa bangga memakai baju yang dijahit oleh mak. Semasa kami baru pindah rumah selepas kahwin, mak juga yang menjahit langsir rumah. Kalau masa raya dulu, mak bukan sahaja menjahit semua baju-baju raya kami, tetapi mak juga akan membuat sendiri kuih-kuih raya. Berbagai jenis kuih raya mak akan buat. Kami adik beradik akan jadi pembantu mak. Selain tu mak juga pandai memasak. Masakan mak memang tiada tandingan. Sedap sesangat. Sehingga sekarang, kalau rindu masakan mak, walau pun tak sempat makan di rumah mak, saya akan menapau balik rumah. Walau hanya sekadar sayur masak lemak.

Sekarang ni, tangan mak dah kebas-kebas. Mak dah tak menjahit baju lagi. Kuih raya pun mak dah tak buat. Sekarang ni kalau raya, mak akan membeli sahaja kuih-kuih raya yang dibuat oleh adik ipar saya atau saudara lain atau di kedai-kedai yang semakin banyak menjual kuih-kuih raya yang siap dibuat. Kalau saya rajin, saya akan buatkan kuih atau kek dan berikan pada mak pulak. Tapi itupun kalau rajin lah kan atau masa rajin. Mungkin dalam setahun sekali....haha

Hubungan mak anak ni, kadang kala ada telepati. Semasa saya belajar di luar negara, saya dan mak sering ada telepati. Mulanya saya tak sedar. Semasa saya belajar tersebut, bila masa saya terlalu ingatkan mak atau keluarga di tanahair, tiba-tiba, mak akan menelefon saya. Begitu juga sebaliknya, bila masa saya menelefon mak, mak sering cakap, baru kita teringat-ingatkan dia, suda dia telefon. Begitulah ajaibnya perasaan telepati tu terhadap mak.

Semasa saya terlantar di hospital kerana pembedahan, mak lah yang setiap hari datang melawat. Walaupun tidak lama, tetapi sudah cukup setiap hari, saya menanti waktu jam 12 tengahari semasa mak melawat saya. Saya akan teruja setiap kali mak sampai di tepi katil. Begitulah, walau telah lebih 40 tahun melahirkan ku, kasih sayang mak, tetap sama. Kasih seorang mak kepada anak. Mak akan pastikan semua keperluanku dipenuhi. Suamilah yang menjadi sasaran, jika ada yang tidak kena. Kadang, mak juga pastikan suamiku datang sebelah petang untuk melawatku. Mak pastikan, semuanya yang terbaik untuk ku.

Bagaimana harus aku membalas jasa mak? Di atas ni, hanya sedikit cerita yang dapat ku sampaikan, banyak lagi kisah-kisah lain. Mungkin saya akan ceritakan lain kali. Selamat hari Ibu... ibuku. Marilah kita sama-sama mendoakan untuk ibu-ibu kita. 



  


2 comments:

  1. Sebak aku membaca posting ko ni..terbayang jerih payah mak mengandung, membesarkan dan mendidik aku.....Ooo..besarnya Pengorbanan seorang yang bernama Mak..semoga ketabahan mak akan mengalir dalam diriku...sekiranya aku berpeluang menjadi seorang mak suatu hari nanti..aku harap anak aku tidak akan sedegil aku nanti...hehehe..mak maafkan aku k..mak..luv you mak.

    ReplyDelete