Wednesday 8 May 2013

Pendidikan Alam Sekitar

Saya mula mengenali Pendidikan Alam Sekitar apabila terlibat dengan program BBEC. Jika dilihat dari latarbelakang, memang saya tiada langsung pengalaman serta pendidikan asas yang berkaitan. Cuma mungkin yang ada kaitan sikit-sikit ialah mengenai mata pelajaran biologi yang saya pelajari semasa tingkatan 4 dan 5 (lebih 10 tahun yang lalu).Itupun cukup-cukup makan saja, lulus.

Selama berkecimpung atau melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti alam sekitar, saya dapat rasai, saya mula menghargai alam disekeliling atau sekitar saya, walaupun tidak secara menyeluruh atau secara extrimist. Banyak kursus-kursus yang berkaitan dengan alam sekitar yang telah dapat saya ikuti seperti Interpretation workshop, bengkel pendidikan alam sekitar, permainan alam sekitar, cara-cara membuat kompos melalui makanan terbuang dan daun-daun kering, dasar yang berkaitan dengan alam sekitar dan lain-lain yang tidak dapat saya ingat kesemuanya. Oh ya, kursus saya di Jepun juga berkaitan dengan alam sekitar. Selain dari itu, bersama-sama rakan saya, kami juga telah berjaya menghasilkan sebuah buku mengenai tempat-tempat yang menarik di sekitar Sabah yang boleh dijadikan tempat untuk melaksanakan aktiviti alam sekitar.

Bukan sekadar menghadiri kursus, kami juga perlu merancang aktiviti-aktiviti khusus untuk guru-guru, wartawan, pembuat dasar / keputusan, pemaju (pelancongan, perhutanan, Industri Kelapa Sawit dan Infrastruktur)  dan NGO. Dalam merancang aktiviti-aktiviti alam sekitar ni, kami juga sebenarnya belajar bersama-sama peserta.


Sebagai alat untuk mengajar, kami juga telah menghasilkan beberapa bahan seperti modul pembelajaran alam sekitar untuk sekolah rendah dan menengah, brosur, poster, risalah serta video pendek yang dimuatkan di dalam CD. Bahan-bahan ini kami gunakan semasa aktiviti yang diadakan ataupun dipamerkan semasa pameran.  

Antara cabaran-cabaran yang kami hadapi dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan alam sekitar kepada kumpulan sasar yang disebutkan di atas adalah seperti berikut:

1. Kebanyakan kumpulan sasar tersebut tidak tahu akan kewujudan dasar-dasar yang berkaitan dengan alam sekitar terutama dasar-dasar yang digubal di negeri Sabah seperti Enakmen Biodiversiti (2000).

2. Kepada kumpulan pembuat dasar / keputusan dan pemaju, kami sering menghadapi masalah untuk memanggil mereka menghadiri mesyuarat yang diadakan. Samada mereka sibuk atau tidak ada seorang wakil yang dihantar untuk menghadiri mesyuarat yang diadakan. Komitmen organisasi (dari kumpulan pemaju) yang terbabit dalam pelaksanaan aktiviti adalah sangat rendah.

3. Penglibatan atau melibatkan kumpulan pembuat dasar dalam program alam sekitar adalah amat sukar. Pada mulanya, kumpulan sasar yang dikenalpasti adalah para YB, Menteri. Kebiasaannya, mereka hanya menghadiri aktiviti tersebut untuk pelancaran program sahaja. Kami berpendapat, penghayatan mereka dalam program tersebut adalah kurang. Kemudian kami sasarkan pula kepada ketua kampung dan JKKK. Penganjuran  aktiviti untuk ketua kampung dan JKKK ini adalah amat besar kerana, pihak kami terpaksa melaksanakannya di kawasan mereka. Oleh itu, kami mensasarkan pula kepada pegawai kerajaan golongan profesional yang membantu dalam membuat keputusan. Hanya beberapa sahaja aktiviti dapat dilaksanakan, oleh kerana jangkamasa program juga telah sampai ke penghujung.

4. Untuk kumpulan wartawan pulak, pada mulanya kami menganjurkan satu seminar khas untuk mereka. Ianya satu kesilapan, kerana, tidak sampai tengahari hanya 4 orang sahaja yang tinggal mendengar ceramah berkenaan. Oleh itu, kami menganjurkan aktiviti bagaimana untuk menulis atau membuat artikel berkaitan alam sekitar serta menjemput wartawan terkenal seperti Karam Singh Walia untuk menyampaikan dan berkongsi pengalaman beliau dengan wartawan tempatan. Oleh itu, cabarannya ialah untuk menganjurkan aktiviti yang sesuai bagi kumpulan sasar ini.


5. Guru-guru adalah kumpulan sasar yang paling aktif dalam melaksanakan aktiviti yang dianjurkan. Banyak aktiviti yang telah dapat dilaksanakan dengan jayanya termasuk modul pembelajaran untuk sekolah rendah dan menengah untuk alam sekitar. Bagi kumpulan sasar ini, cabaran yang paling besar yang perlu diahadapi adalah menyeru agar modul tersebut digunakan sebaiknya. Tiada pemantau dilaksanakan samada modul tersebut digunakan atau disimpan sahaja oleh guru-guru berkenaan.

Secara keseluruhannya melaksanakan dan terlibat dalam program alam sekitar memang menyeronokkan. Dapat melawat sambil menghargai alam sekitar kita, walaupun dekat atau jauh, di sekitar negeri kita Sabah, di mana kita kadangkala terlalu sibuk, hingga tiada masa untuk melawat tempat-tempat berkenaan. Saya sayang Sabah, negeri di bawah bayu.



2 comments:

  1. hahaha...berkenaan halangan-halangan dalam pelaksanaan pendidikan alam sekitar yang ko tuliskan tu memang 100% betul..kadang-kadang aku rasa macam syok sendiri pulak.."wajah penganjur lebih enjoy berbanding peserta"....dan kumpulan sasaran hanya sebahagian kecil yang benar2 dapat mememahami dan serius untuk mengaplikasikannya di lapangan masing-masing..tapi apa yang penting aku suka posting ni..lebih2 lagi ayat ko yang last tu..suka sangat.....hehehhe..tau la baru lepas pilihanraya..hahaha...ok teruskan menulis.

    ReplyDelete
  2. haha jadi sebenarnya kau buat strategi untuk diri sendiri lah kan. Its ok biar pun sikit yang aplikasinya, tapi berbaloi. Macam guru, kalau kita ajar diaorg, diaorg ni adalah multiplying effects dalam pembelajaran pendidikan alam sekitar di sekolah. Kau ajar seorang, dia akan ajar 100 orang.

    ReplyDelete