Ada beberapa sebab kenapa saya ambil penjelasan nafkah ini. Bukan bermaksud mahu ciplak ya, cuma mahu memahami dengan lebih mendalam pengertian nafkah itu sendiri. Kalau ada pembaca yang lebih arif mengenai perkara ini, sila kemukakannya ok. Mungkin untuk diri saya sendiri serta anak-anak tiri saya yang membaca blog saya. Saya bukan arif tetapi saya suka mencari jawapan bagi persoalan-persoalan yang mungkin dan akan dihadapi. Ilmu itu penting agar kita lebih memahami sesuatu perkara dan seseorang.
______________________________________________________________
PERKATAAN nafkah merupakan perkataan yang juga digunakan dalam bahasa Arab. Perkataan nafkah dalam bahasa Arab diambil daripada perkataan al-infaq. Dari segi bahasa ia bermaksud pengeluaran dan habis. Maksud daripada menafkahkan, iaitu menghabiskan atau menggunakan sesuatu itu hanyalah pada perkara kebaikan. Pensyariatan nafkah adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala, hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga ijma‘ para Sahabat Radhiallahu ‘anhum.
Pengertian Nafkah
Nafkah ialah perbelanjaan yang wajib diberikan daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya.
Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan kewajipan bapa menanggung nafkah makan minum dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kemampuannya.”
(Surah al-Baqarah: 233)
Menurut tafsir al-Mawardi “ar-rizq” bermaksud makanan secukupnya dan perkataan “al-ma‘ruf” ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. Ayat ini menjelaskan bahawa ketua keluarga adalah berkewajipan menyara hidup (memberikan nafkah) kepada orang-orang di bawah tanggungannya menurut kemampuannya.
Pembahagian Nafkah
Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian, iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya sendiri berbanding nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Mulailah (nafkah itu) dengan dirimu, maka nafkahkanlah ke atas dirimu, jika ada lebih, maka kepada isterimu, dan jika ada lebih daripada isterimu, maka berikanlah kepada kerabatmu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Antara faedah yang diperolehi daripada hadits yang disebutkan di atas ialah keutamaan dalam pemberian nafkah, iaitu hendaklah dimulai mengikut urutan yang telah disebutkan. Demikian juga dalam perkara pemberian hak-hak dan kebaikan, maka hendaklah mendahulukan yang lebih utama di kalangan mereka menurut urutan.
Nafkah Terhadap Orang Lain
Selain menanggung nafkah diri sendiri, kadang-kala seseorang itu juga menanggung nafkah orang lain. Menurut jumhur ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan oleh tiga perkara, iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). Fokus kita hanya akan menyentuh dua sebab sahaja daripada tiga sebab yang dinyatakan, iaitu kewajipan nafkah kerana hubungan perkahwinan dan hubungan kerabat. Penjelasan secara ringkas adalah seperti berikut:
1. Kewajipan Nafkah Disebabkan Hubungan Perkahwinan
a) Nafkah isteri
Kewajiban seseorang menanggung nafkah disebabkan perkahwinan atau dalam erti kata lain nafkah suami ke atas isteri adalah berdasarkan hukum syara‘. Nafkah kepada isteri didahulukan daripada nafkah kepada anak, bapa dan ibu. (jika ada).
Ulama telah sepakat bahawa suami berkewajipan menanggung nafkah isteri apabila si isteri memenuhi syarat-syarat tertentu. Dalil dalam perkara ini antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.”
(Surah at-Talaq: 7)
Manakala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai seorang suami dan bapa, menjadi contoh tauladan kepada umatnya dan Baginda juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji Wada‘:
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak engkau sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik.”
(Hadis riwayat Muslim)
Hadits di atas merupakan dalil yang jelas bahawa isteri-isteri wajib diberi nafkah oleh suami.
Selain itu, para sahabat dan para tabi’in (generasi selepas para sahabat) Radhiallahu ‘anhum telah sepakat menyatakan bahawa suami wajib menanggung nafkah isteri.
Selain kewajipan suami menanggung nafkah isteri, terdapat kewajipan yang lain bagi suami terhadap isteri yang ditetapkan oleh syara‘ kerana hubungkaitnya dengan nafkah. Kewajipan tersebut ialah kewajipan mengeluarkan zakat fitrah isteri. Secara umum, hubungan di antara nafkah dengan zakat fitrah ialah siapa yang menanggung nafkah individu lain, maka dialah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah orang yang ditanggungnya itu. Bagaimanapun terdapat beberapa pengecualian dalam perkara ini sepertimana yang akan dijelaskan kemudian. Oleh yang demikian, suami wajib mengeluarkan zakat fitrah isteri melainkan dalam beberapa keadaan.
b) Nafkah isteri bagi suami yang tidak berkemampuan
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri itu tidak gugur dan tidak luput, sama ada suami seorang yang kaya (berkemampuan) mahupun seorang yang mu‘sir (susah).
Walau bagaimanapun tidak wajib bagi suami yang mu‘sir (susah) mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang berkemampuan (kaya), sekalipun isteri itu tidak berlaku nusyuz. Malahan sunat bagi isteri tersebut mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya.
Demikian juga bagi tanggungan-tanggungan yang lain (mereka yang ditanggung nafkahnya sedangkan orang yang menanggung nafkahnya itu seorang yang susah), maka sunat baginya mengeluarkan sendiri zakat fitrah dirinya jika yang menanggungnya itu tidak mengeluarkannya.
2. Kewajipan Nafkah Disebabkan Hubungan Kerabat
MENURUT ulama
Syafi‘eyyah, mereka yang berhak diberi atau ditanggung nafkahnya
disebabkan ikatan atau hubungan kekerabatan ialah bapa dan seterusnya ke
atas seperti datuk lelaki sama ada dari sebelah bapa dan sebelah ibu
serta ke atas. Begitu juga nenek perempuan dari sebelah bapa dan sebelah
ibu serta ke atas.
Demikian juga anak-anak dan seterusnya
ke bawah seperti cucu, sama ada cucu lelaki atau perempuan, sama ada
daripada anak lelaki atau anak perempuan.
Selain daripada dua hubungan atau ikatan
ini, iaitu bapa dan anak, tidak diwajibkan seseorang itu menanggung
nafkah bagi mana-mana hubungan kekerabatan, seperti abang, kakak, bapa
saudara dan ibu saudara sebelah bapa.
Perlu diketahui, dalam perkara nafkah,
mazhab asy-Syafi‘e tidak meletakkan agama sebagai syarat bagi menanggung
nafkah itu. Bahkan, sekalipun berlainan agama, umpama bapanya bukan
beragama Islam manakala anaknya beragama Islam ataupun sebaliknya, tetap
wajib memberi atau menanggung nafkah sekiranya mereka miskin.
Dalam perkara zakat fitrah pula, seorang
yang bukan beragama Islam tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi
dirinya kerana berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam yang hanya mewajibkan zakat fitrah ke atas orang Islam sahaja.
Bagaimanapun, wajib baginya (yang bukan beragama Islam) mengeluarkan
zakat fitrah bagi hambanya (jika ada) dan kerabatnya (ibu bapa dan
anak) yang beragama Islam menurut pendapat yang lebih kuat.
a) Nafkah ibu bapa
Kewajipan seorang anak lelaki atau
perempuan yang kaya untuk menanggung nafkah kedua ibu bapanya adalah
berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Tafsirnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)
Antara maksud makruf itu ialah menunaikan keperluan kedua ibu bapa ketika mereka memerlukannya.
Seorang anak wajib memberi nafkah kepada ibu dan bapanya dengan syarat:
1. Bapa itu fakir atau lemah bekerja
(mencari pendapatan) atau sudah tua. Sekiranya bapa itu fakir akan
tetapi mampu untuk bekerja, si anak tetap wajib menanggung nafkah
bapanya. Ini kerana para ulama bersepakat bahawa nafkah kedua ibu bapa
yang tiada mempunyai pendapatan dan tiada harta, adalah wajib diambil
daripada harta anak. Sekiranya seorang anak belum mempunyai tanggungan
isteri dan anak, maka yang berhak ditanggungnya adalah bapanya.
Sebaliknya, bapa yang kaya
(berkemampuan) dan berdaya untuk bekerja mencari pendapatan, maka tidak
wajib atas anak untuk menanggung nafkah bapa.
2. Anak tersebut seorang yang kaya
(berkemampuan) atau dia berupaya bekerjamencari pendapatan. Hartanya
atau pendapatannya itu pula hendaklah berbaki setelah diperuntukkan
untuk nafkah dirinya, anaknya dan isterinya (jika ada). Sekiranya dia
bukan orang yang senang atau pendapatannya itu tidak mencukupi untuk
membiayai isteri dan anaknya bagi tempoh sehari semalam dan selebihnya,
maka tidak wajib atas anak tersebut memberi nafkah kedua ibu bapanya.
Oleh yang demikian, zakat fitrah bapa
yang kaya tidak wajib ke atas anak mengeluarkannya. Bahkan tidak sah
anak tersebut mengeluarkan fitrah melainkan dengan izin bapa.
i) Nafkah ibu kandung
Seorang anak akan menanggung nafkah
ibunya dengan syarat hendaklah si ibu itu tiada mempunyai nafkah yang
mencukupi daripada nafkah suaminya, umpamanya:
• Suami tidak berupaya memberi nafkah
kepada isterinya, maka dalam keadaan ini anak akan berkewajipan
menanggung nafkah ibunya. Sekiranya suami berupaya memberi nafkah kepada
isterinya (si ibu), maka gugurlah kewajipan si anak.
• Kiranya si ibu kematian suami, dan ibu
itu pula belum berkahwin, maka wajib bagi anak menanggung nafkah
ibunya. Jika ibu berkahwin lagi, maka nafkah itu akan ditanggung oleh
suami kepada ibu (bapa tiri).
Oleh itu, orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah ibu yang mempunyai suami adalah sepertimana zakat fitrah seorang isteri.
ii) Nafkah ibu tiri (isteri kepada bapa)
Isteri kepada bapa (ibu tiri) yang bermaksud perempuan yang dikahwini oleh bapa seseorang selain daripada ibu kandungnya.
Seorang anak lelaki wajib menanggung
nafkah bapa dan isteri kepada bapa (ibu tiri), termasuk anak-anak
bapanya dengan isteri tersebut, disebabkan bapanya yang miskin atau
susah. Walau bagaimanapun anak lelaki tersebut tidak wajib mengeluarkan
zakat fitrah bagi isteri kepada bapanya disebabkan bapanya yang miskin.
Demikian juga tidak wajib baginya mengeluarkan zakat fitrah anak-anak
bapa bersama isteri tersebut.
Di sinilah perbezaan di antara nafkah
dan zakat fitrah. Ini kerana (pada asalnya) nafkah (terhadap isterinya)
itu wajib ke atas bapasekalipun dia susah. Oleh kerana bapa tersebut
susah, maka nafkah bapa yang susah itu ditanggung oleh anak lelaki,
termasuklah isteri kepada bapa. Berbeza hukumnya dengan zakat fitrah
kerana zakat fitrah itu tidak wajib bagi bapa mengeluarkannya dengan
keadaannya yang susah. Oleh itu, zakat fitrah yang merupakan kewajipan
bapa tidak ditanggung oleh anak lelaki.
Nafkah anak:
Nafkah anak:
Nafkah anak-anak Menjadi kewajipan
seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya, lelaki atau perempuan.
Dalil dalam perkara ini antaranya berdasarkan firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya…” (Surah at-Talaq: 6)
Apabila lahir seorang anak , maka
adalah menjadi kewajipan kepada bapa bayi itu untuk mencarikan
orang yang boleh menyusukan anak tersebut, sama ada isteri (ibu kepada bayi tersebut) atau perempuan lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dalam ayat ini telah mewajibkan bahawa bayaran upah kepada perempuan
yang menyusukan bayi ditanggung dan dibayar oleh bapa bayi
tersebut. Dengan kewajipan menanggung dan membayar upah penyusuan bayi tersebut, menghendaki bahawa bapa wajib memberi sara hidup dan
nafkah kepada anak tersebut.
Kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya adalah dengan syarat:
1. Anak tersebut fakir; tiada harta atau tiada pendapatan, atau masih kecil. Dalam hal ini nafkahnya ditanggung oleh bapanya.
2. Seorang bapa itu mempunyai lebih
daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh
sehari semalam dan selebihnya sama ada daripada hartanya ataupun
daripada pendapatannya. Sebaliknya, jika tiada berbaki, maka tidak wajib
atas bapa untuk memberi nafkah kepada anak.
Oleh yang demikian, zakat fitrah anak kecil yang miskin dikeluarkan oleh bapanya.
Daripada dua syarat di atas, secara
ringkas, tidak wajib bagi bapa mengeluarkan zakat fitrah bagi kedua-dua
anaknya yang kecil dan demikian juga anak dewasanya yang gila yang
mempunyai harta. Zakat fitrah mereka wajib dikeluarkan daripada harta
kedua mereka oleh walinya (bapa).
Sekiranya bapa mengeluarkan zakat fitrah
untuk kedua mereka ini daripada hartanya sendiri, hukumnya adalah harus
dan gugurlah kewajipan itu daripada kedua mereka kerana zakat fitrah
mereka telah ditunaikanNafkah untuk anak tiri:
Ayah tiri tidak wajib menafkahinya meski jika menafkahinya tentu saja merupakan amal shalih.
Yang wajib menafkahinya adalah ayah kandungnya, jika sudah meninggal dunia maka saudara saudara dari si ayah.
__________________________________
Jika ayah tiri tidak wajip memberi nafkah kepada anak tiri, ini kan pulak ibu tiri. Anggap lah apa yang diterima oleh kamu itu sebagai sedekah. Apa pun, kita harus bersyukur. Banyak2 lah bersyukur dan jangan pernah mengeluh dan merungut. Jangan terasa diri teraniaya jika kita tidak tahu perkara yang sebenar-benarnya.
No comments:
Post a Comment