Mesej ni saya terima dari seorang kawan (dalam bahasa Inggeris tapi saya translatekan lah. Harap tidak lari maksudnya):
Ada seorang lelaki yang pergi mencari kerja di sebuah syarikat percetakan yang agak besar untuk jawatan eksekutif. Dia lulus pada temuduga yang pertama dan akan berjumpa dengan Pengarah Syarikat untuk temuduga akhirnya. Pengarah Syarikat tersebut telah melihat biodata lelaki tersebut, sungguh cemerlang. Kemudian bertanya:
"Ada terima biasiswa untuk persekolahan anda?" Budak lelaki tersebut menjawab : "Tiada". "Adakah ayah awak yang membayar persekolahan anda?" "Ya". Jawab budak lelaki tersebut lagi. "Ayah awak kerja apa?" "Ayah saya bekerja sebagai seorang Tukang besi."
Pengarah syarikat menyuruh budak lelaki itu menunjukkan tapak tangannya. Budak lelaki itu pun menunjukkan tangannya yang bersih, lembut dan sempurna. "Pernah menolong ayah awak dengan kerjanya?", tanya pengarah tersebut. "Tidak pernah, kedua ibubapa saya selalu inginkan agar saya belajar dan membaca buku. Lagipun ayah saya lebih tahu dan berpengalaman dengan kerjanya dari saya.
Pengarah syarikat tersebut berkata lagi:
"Saya ada satu permintaan: Bila awak balik hari ini, cuba basuhkan tangan ayah awak dan datang berjumpa dengan saya esok pagi."
Pemuda itu merasa peluang dia untuk dapatkan jawatan itu adalah tinggi.
Apabila dia balik ke rumah, dia minta izin dengan ayahnya untuk membasuh tangan ayahnya itu. Ayahnya terasa pelik, gembira tetapi dengan perasaan yang bercampur-campur dan menghulurkan tangannya kepada anaknya itu. Pemuda itu kemudian membasuh tangan ayahnya, sedikit demi sedikit. Pertama kali dia melihat tangan ayahnya itu, dia dapati tangan ayahnya mempunyai kedutan sana sini dan calar serta bekas-bekas luka sana sini. Sesetengah luka tersebut terasa agak sakit, apabila, anaknya membasuh tangan tersebut, si ayah sedikit menggeletar.
Ini adalah kali pertama pemuda ini sedar akan makna sepasang tangan tersebut yang telah setiap hari bekerja untuk perbelanjaan sekolahnya. Calar-calar yang terdapat di tangan ayahnya adalah bayaran/harga yang ayahnya bayar untuk persekolahannya, aktiviti sekolah serta masa hadapannya.
Selepas membasuh tangan ayahnya, dia berdiri memandang ayahnya dan kemudian, membantu membersihkan bengkel ayahnya. Malam tersebut, ayah dan anak berbual sangat lama (untuk pertama kalinya).
Esok paginya pemuda tersebut pergi berjumpa dengan pengarah syarikat tempat temuduganya pada hari sebelum itu. Pengarah tersebut dapat melihat air mata di sudut mata anak muda tersebut dan kemudian bertanya : " Boleh awak beritahu apa yang telah awak lakukan semalam dan apa yang telah awak pelajari?"
Pemuda itu menjawab "Saya telah membasuh tangan ayah ku dan selepas itu membantunya membersihkan bengkel nya".
"Sekarang aku tahu apa yang perlu aku hargai dan sedar bahawa tanpa ibubapa ku, aku bukan siapa-siapa pada hari ini. Dengan membantu ayahku aku sedar betapa sukar dan payah untuk aku membuat sesuatu itu dengan sendiri. Aku telah mula menghargai nilai dan pentingnya membantu keluargaku".
Pengarah itu kemudian berkata: " Ini yang kami cari dalam diri seseorang. Kami ingin melantik seorang yang tahu menghargai bantuan orang lain, seorang yang tahu kesusahan yang harus orang lain lalui untuk menghasilkan sesuatu, dan seorang yang tahu bahawa duit bukanlah matlamat hidup".
"Awak diterima bekerja di syarikat ini".
Begitulah, anak kecil yang terlalu dimanja , diberi perlindungan yang berlebihan dan diberikan segalanya apa yang dia kehendaki akan membesar dengan mentaliti yang "saya ada hak ...." dan selalu akan meletakkan dirinya dahulu, tanpa menghirau usaha orang lain, orang tua kita, keluarga serta kawan-kawan. Jika kita ibubapa yang terlalu melindungi anak kita, mungkin kita lakukan demikian kerana kita menyayangi mereka, tetapi disebaliknya, kita telah membantu merosakkan mentaliti mereka.
Moralnya:
Dari kecil kita hendaklah mengajar anak-anak kita untuk membasuh pinggan mereka selepas makan, mencuci baju mereka sendiri, memasak makanan untuk ahli keluarga yang lain, mengemas bilik mereka, menyapu rumah, membuang sampah, membersihkan bilik air, mengemas tempat tidur selepas bangun dari tidur dan banyak lagi. Ini mengajar mereka erti bekerjasama dan tanggungjawab kepada diri sendiri dan rumah mereka.
Malu lah kamu sebagai seorang anak jika kamu masih mengharapkan ibu kamu mencuci baju kotor kamu kerana ibu kamu akan tetap berbuat perkara tersebut selagi mereka masih mampu, demi kasih sayang kepada anak-anaknya. Tetapi jika anak tersebut menyayangi ibunya, dia tidak akan tergamak membiarkan ibunya membuat perkara tersebut.
Ada juga yang mempunyai adik beradik yang ramai, kadang kala, bila di suruh membuat kerja-kerja rumah, akan tolak menolak antara satu dengan lain. Misalnya bila kakak yang tua yang disuruh membuat sesuatu kerja, dia akan menyuruh adiknya melakukan kerja tersebut, dan adiknya ni, jika mempunyai adik lagi akan menyuruh adik nya lagi untuk membuat kerja itu, seterusnya sehingga kepada anak yang bungsu, yang tiada orang lain lagi untuk disuruh, maka dia lah yang akan melaksanakan tugas yang disuruh tersebut. Kerja-kerja rumah itu di lihat sebagai beban tanpa ada rasa tanggungjawab untuk membantu kedua orang tua.
Anak-anak perlu belajar cara untuk bekerjasama dan bertolak ansur dalam kekeluargaan. Bagaimana untuk bermain dengan orang lain, berkomunikasi dan berinteraksi. Jika sesama keluarga sendiri, adik kakak, sepupu, nenek, makcik, pakcik dan keluarga kita sendiri kita tidak dapat melakukannya, besar kemungkinan dengan sesiapapun kita temui, kita tidak mungkin akan dapat melaksanakannya.
Anak-anak juga perlu untuk menghargai setiap usaha yang orang lain berikan kepada mereka, bukan hanya dari kedua ibu bapa mereka sahaja tetapi dari seluruh keluarga mereka, orang-orang yang lebih tua dari mereka. Kepayahan ahli keluarga lain dalam membantu ibubapa kita membesarkan kita. Mereka perlu tahu bahawa, pengalaman hiduplah yang membantu seseorang mengatasi kepayahan hidup menuju kecemerlangan. Setiap kita memerlukan ahli keluarga kita yang lain untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Jika kita tidak dapat menghargai pemberian yang sedikit, kita mungkin tidak akan dapat menghargai pemberian yang melimpah ruah. Keluarga lah yang akan membantu jika kita dalam kesusahan. Kamu boleh membenci keluarga kamu tapi kamu kena ingat bahawa mereka lah juga yang akan mengurus jenazah kamu / jenazah ibu bapa kamu nanti.
Pada anak-anak yang terasa susah untuk diterima bekerja di mana-mana syarikat kecil atau besar, cuba kita muhasabah diri. Bagaimana sikap kita terhadap keluarga kita. Kita perlu perbaiki sikap terhadap keluarga kita dahulu, terutama ibubapa dan adik beradik kita, serta keluarga kita yang lebih tua dari kita seperti datuk, nenek, makcik pakcik. Mungkin ada kesilapan yang pernah kita lakukan terhadap mereka yang masih belum dimaafkan oleh mereka atau yang masih tersemat di hati mereka yang menggagalkan kamu untuk mencapai impian kamu. Memang kadang kala macam tiada kaitannya, tetapi percayalah, cuba minta maaf dari mereka dengan hati yang ikhlas, saya percaya, rezeki akan datang mencurah-curah. InsyaAllah.
Semua perkara yang dilakukan di luar sana , apa yang kita berikan pada orang bermula dari rumah. -- Life is about giving and serving and these qualities are taught in our home.
No comments:
Post a Comment