Wednesday, 30 March 2016

Nafkah

Pengertian mengenai nafkah ini saya ambil dari salah satu website : www.pelitabrunei.gov.bn
Ada beberapa sebab kenapa saya ambil penjelasan nafkah ini. Bukan bermaksud mahu ciplak ya, cuma mahu memahami dengan lebih mendalam pengertian nafkah itu sendiri. Kalau ada pembaca yang lebih arif mengenai perkara ini, sila kemukakannya ok. Mungkin untuk diri saya sendiri serta anak-anak tiri saya yang membaca blog saya. Saya bukan arif tetapi saya suka mencari jawapan bagi persoalan-persoalan yang mungkin dan akan dihadapi. Ilmu itu penting agar kita lebih memahami sesuatu perkara dan seseorang.

______________________________________________________________

PERKATAAN nafkah merupakan perkataan yang juga digunakan dalam bahasa Arab. Perkataan nafkah dalam bahasa Arab diambil daripada perkataan al-infaq. Dari segi bahasa ia bermaksud pengeluaran dan habis. Maksud daripada menafkahkan, iaitu menghabiskan atau menggunakan sesuatu itu hanyalah pada perkara kebaikan. Pensyariatan nafkah adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala, hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga ijma‘ para Sahabat Radhiallahu ‘anhum.

Pengertian Nafkah

Nafkah ialah perbelanjaan yang wajib diberikan daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya.

Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan kewajipan bapa menanggung nafkah makan minum dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kemampuannya.”
(Surah al-Baqarah: 233)

Menurut tafsir al-Mawardi “ar-rizq” bermaksud makanan secukupnya dan perkataan “al-ma‘ruf” ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. Ayat ini menjelaskan bahawa ketua keluarga adalah berkewajipan menyara hidup (memberikan nafkah) kepada orang-orang di bawah tanggungannya menurut kemampuannya.

Pembahagian Nafkah

Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian, iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya sendiri berbanding nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Mulailah (nafkah itu) dengan dirimu, maka nafkahkanlah ke atas dirimu, jika ada lebih, maka kepada isterimu, dan jika ada lebih daripada isterimu, maka berikanlah kepada kerabatmu.”
(Hadis riwayat Muslim)

Antara faedah yang diperolehi daripada hadits yang disebutkan di atas ialah keutamaan dalam pemberian nafkah, iaitu hendaklah dimulai mengikut urutan yang telah disebutkan. Demikian juga dalam perkara pemberian hak-hak dan kebaikan, maka hendaklah mendahulukan yang lebih utama di kalangan mereka menurut urutan.

Nafkah Terhadap Orang Lain

Selain menanggung nafkah diri sendiri, kadang-kala seseorang itu juga menanggung nafkah orang lain. Menurut jumhur ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan oleh tiga perkara, iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). Fokus kita hanya akan menyentuh dua sebab sahaja daripada tiga sebab yang dinyatakan, iaitu kewajipan nafkah kerana hubungan perkahwinan dan hubungan kerabat. Penjelasan secara ringkas adalah seperti berikut:

1. Kewajipan Nafkah Disebabkan Hubungan Perkahwinan

a) Nafkah isteri
Kewajiban seseorang menanggung nafkah disebabkan perkahwinan atau dalam erti kata lain nafkah suami ke atas isteri adalah berdasarkan hukum syara‘. Nafkah kepada isteri didahulukan daripada nafkah kepada anak, bapa dan ibu. (jika ada).

Ulama telah sepakat bahawa suami berkewajipan menanggung nafkah isteri apabila si isteri memenuhi syarat-syarat tertentu. Dalil dalam perkara ini antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.”
(Surah at-Talaq: 7)

Manakala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai seorang suami dan bapa, menjadi contoh tauladan kepada umatnya dan Baginda juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji Wada‘:

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak engkau sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik.”
(Hadis riwayat Muslim)

Hadits di atas merupakan dalil yang jelas bahawa isteri-isteri wajib diberi nafkah oleh suami.

Selain itu, para sahabat dan para tabi’in (generasi selepas para sahabat) Radhiallahu ‘anhum telah sepakat menyatakan bahawa suami wajib menanggung nafkah isteri.

Selain kewajipan suami menanggung nafkah isteri, terdapat kewajipan yang lain bagi suami terhadap isteri yang ditetapkan oleh syara‘ kerana hubungkaitnya dengan nafkah. Kewajipan tersebut ialah kewajipan mengeluarkan zakat fitrah isteri. Secara umum, hubungan di antara nafkah dengan zakat fitrah ialah siapa yang menanggung nafkah individu lain, maka dialah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah orang yang ditanggungnya itu. Bagaimanapun terdapat beberapa pengecualian dalam perkara ini sepertimana yang akan dijelaskan kemudian. Oleh yang demikian, suami wajib mengeluarkan zakat fitrah isteri melainkan dalam beberapa keadaan.

 b) Nafkah isteri bagi suami yang tidak berkemampuan
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri itu tidak gugur dan tidak luput, sama ada suami seorang yang kaya (berkemampuan) mahupun seorang yang mu‘sir (susah).

Walau bagaimanapun tidak wajib bagi suami yang mu‘sir (susah) mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang berkemampuan (kaya), sekalipun isteri itu tidak berlaku nusyuz. Malahan sunat bagi isteri tersebut mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya.

Demikian juga bagi tanggungan-tanggungan yang lain (mereka yang ditanggung nafkahnya sedangkan orang yang menanggung nafkahnya itu seorang yang susah), maka sunat baginya mengeluarkan sendiri zakat fitrah dirinya jika yang menanggungnya itu tidak mengeluarkannya.

2. Kewajipan Nafkah Disebabkan Hubungan Kerabat
MENURUT ulama Syafi‘eyyah, mereka yang berhak diberi atau ditanggung nafkahnya disebabkan ikatan atau hubungan kekerabatan ialah bapa dan seterusnya ke atas seperti datuk lelaki sama ada dari sebelah bapa dan sebelah ibu serta ke atas. Begitu juga nenek perempuan dari sebelah bapa dan sebelah ibu serta ke atas.
Demikian juga anak-anak dan seterusnya ke bawah seperti cucu, sama ada cucu lelaki atau perempuan, sama ada daripada anak lelaki atau anak perempuan.
Selain daripada dua hubungan atau ikatan ini, iaitu bapa dan anak, tidak diwajibkan seseorang itu menanggung nafkah bagi mana-mana hubungan kekerabatan, seperti abang, kakak, bapa saudara dan ibu saudara sebelah bapa.
Perlu diketahui, dalam perkara nafkah, mazhab asy-Syafi‘e tidak meletakkan agama sebagai syarat bagi menanggung nafkah itu. Bahkan, sekalipun berlainan agama, umpama bapanya bukan beragama Islam manakala anaknya beragama Islam ataupun sebaliknya, tetap wajib memberi atau menanggung nafkah sekiranya mereka miskin.
Dalam perkara zakat fitrah pula, seorang yang bukan beragama Islam tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya kerana berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang hanya mewajibkan zakat fitrah ke atas orang Islam sahaja. Bagaimanapun, wajib baginya (yang bukan beragama Islam) mengeluarkan zakat  fitrah bagi hambanya (jika ada) dan kerabatnya (ibu bapa dan anak) yang beragama Islam menurut pendapat yang lebih kuat.
a) Nafkah ibu bapa
Kewajipan seorang anak lelaki atau perempuan yang kaya untuk menanggung nafkah kedua ibu bapanya adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Tafsirnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)
Antara maksud makruf itu ialah menunaikan keperluan kedua ibu bapa ketika mereka memerlukannya.
Seorang anak wajib memberi nafkah kepada ibu dan bapanya dengan syarat:
1. Bapa itu fakir atau lemah bekerja (mencari pendapatan) atau sudah tua. Sekiranya bapa itu fakir akan tetapi mampu untuk bekerja, si anak tetap wajib menanggung nafkah bapanya. Ini kerana para ulama bersepakat bahawa nafkah kedua ibu bapa yang tiada mempunyai pendapatan dan tiada harta, adalah wajib diambil daripada harta anak. Sekiranya seorang anak belum mempunyai tanggungan isteri dan anak, maka yang berhak ditanggungnya adalah bapanya.
Sebaliknya, bapa yang kaya (berkemampuan) dan berdaya untuk bekerja mencari pendapatan, maka tidak wajib atas anak untuk menanggung nafkah bapa.
2. Anak tersebut seorang yang kaya (berkemampuan) atau dia berupaya bekerjamencari pendapatan. Hartanya atau pendapatannya itu pula hendaklah berbaki setelah diperuntukkan untuk nafkah dirinya, anaknya dan isterinya (jika ada). Sekiranya dia bukan orang yang senang atau pendapatannya itu tidak mencukupi untuk membiayai isteri dan anaknya bagi tempoh sehari semalam dan selebihnya, maka tidak wajib atas anak tersebut memberi nafkah kedua ibu bapanya.
Oleh yang demikian, zakat fitrah bapa yang kaya tidak wajib ke atas anak mengeluarkannya. Bahkan tidak sah anak tersebut mengeluarkan fitrah melainkan dengan izin bapa.
i) Nafkah ibu kandung
Seorang anak akan menanggung nafkah ibunya dengan syarat hendaklah si ibu itu tiada mempunyai nafkah yang mencukupi daripada nafkah suaminya, umpamanya:
• Suami tidak berupaya memberi nafkah kepada isterinya, maka dalam keadaan ini anak akan berkewajipan menanggung nafkah ibunya. Sekiranya suami berupaya memberi nafkah kepada isterinya (si ibu), maka gugurlah kewajipan si anak.
• Kiranya si ibu kematian suami, dan ibu itu pula belum berkahwin, maka wajib bagi anak menanggung nafkah ibunya. Jika ibu berkahwin lagi, maka nafkah itu akan ditanggung oleh suami kepada ibu (bapa tiri).
Oleh itu, orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah ibu yang mempunyai suami adalah sepertimana zakat fitrah seorang isteri.
ii) Nafkah ibu tiri (isteri kepada bapa)
Isteri kepada bapa (ibu tiri) yang bermaksud perempuan yang dikahwini oleh bapa seseorang selain daripada ibu kandungnya.
Seorang anak lelaki wajib menanggung nafkah bapa dan isteri kepada bapa (ibu tiri), termasuk anak-anak bapanya dengan isteri tersebut, disebabkan bapanya yang miskin atau susah. Walau bagaimanapun anak lelaki tersebut tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri kepada bapanya disebabkan bapanya yang miskin. Demikian juga tidak wajib baginya mengeluarkan zakat fitrah anak-anak bapa bersama isteri tersebut.
Di sinilah perbezaan di antara nafkah dan zakat fitrah. Ini kerana (pada asalnya) nafkah (terhadap isterinya) itu wajib ke atas bapasekalipun dia susah. Oleh kerana bapa tersebut susah, maka nafkah bapa yang susah itu ditanggung oleh anak lelaki, termasuklah isteri kepada bapa. Berbeza hukumnya dengan zakat fitrah kerana zakat fitrah itu tidak wajib bagi bapa mengeluarkannya dengan keadaannya yang susah. Oleh itu, zakat fitrah yang merupakan kewajipan bapa tidak ditanggung oleh anak lelaki.

Nafkah anak: 
Nafkah anak-anak Menjadi kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya, lelaki atau perempuan. Dalil dalam perkara ini antaranya berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya…” (Surah at-Talaq: 6)
Apabila lahir seorang anak , maka adalah menjadi kewajipan kepada bapa bayi itu untuk mencarikan orang yang boleh menyusukan anak tersebut, sama ada isteri (ibu kepada bayi tersebut) atau perempuan lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat ini telah mewajibkan bahawa bayaran upah kepada perempuan yang menyusukan bayi ditanggung dan dibayar oleh bapa bayi tersebut. Dengan kewajipan menanggung dan membayar upah penyusuan bayi tersebut, menghendaki bahawa bapa wajib memberi sara hidup dan nafkah kepada anak tersebut.
Kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya adalah dengan syarat:
1. Anak tersebut fakir; tiada harta atau tiada pendapatan, atau masih kecil. Dalam hal ini nafkahnya ditanggung oleh bapanya.
2. Seorang bapa itu mempunyai lebih daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh sehari semalam dan selebihnya sama ada daripada hartanya ataupun daripada pendapatannya. Sebaliknya, jika tiada berbaki, maka tidak wajib atas bapa untuk memberi nafkah kepada anak.
Oleh yang demikian, zakat fitrah anak kecil yang miskin dikeluarkan oleh bapanya.
Daripada dua syarat di atas, secara ringkas, tidak wajib bagi bapa mengeluarkan zakat fitrah bagi kedua-dua anaknya yang kecil dan demikian juga anak dewasanya yang gila yang mempunyai harta. Zakat fitrah mereka wajib dikeluarkan daripada harta kedua mereka oleh walinya (bapa).
Sekiranya bapa mengeluarkan zakat fitrah untuk kedua mereka ini daripada hartanya sendiri, hukumnya adalah harus dan gugurlah kewajipan itu daripada kedua mereka kerana zakat fitrah mereka telah ditunaikan

Nafkah untuk anak tiri: 
Ayah tiri tidak wajib menafkahinya meski jika menafkahinya tentu saja merupakan amal shalih.
Yang wajib menafkahinya adalah ayah kandungnya, jika sudah meninggal dunia maka saudara saudara dari si ayah.

__________________________________

Jika ayah tiri tidak wajip memberi nafkah kepada anak tiri, ini kan pulak ibu tiri. Anggap lah apa yang diterima oleh kamu itu sebagai sedekah. Apa pun, kita harus bersyukur. Banyak2 lah bersyukur dan jangan pernah mengeluh dan merungut. Jangan terasa diri teraniaya jika kita tidak tahu perkara yang sebenar-benarnya.

Monday, 28 March 2016

Bagaimana ingin kaya

Pada hari Sabtu yang lepas (26 Mac 2016) saya menemani dan menghantar ibu dan bapa saya ke pasar. Setelah selesai membeli ikan, sayur dan buah-buahan kegemaran beliau tu, kami pun singgah minum di salah sebuah restoran. Semasa minum tersebut ayah saya memberi tahu bahawa jika kita ingin menjadi kaya raya, ini adalah perkara yang perlu dilakukan. Sebaik-baiknya setiap hari kita laksanakannya, beliau menambah. InsyaAllah. 

1. Setiap hari buat sembahyang Dhuha.



2. Setiap hari baca surah Al-Waqiah

 Rasulullah SAW telah bersabda: 
"Barangsiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam tidak akan ditimpa kepapaan."

 

3. Setiap hari mesti bersedekah, walaupun hanya RM1 sahaja. Terutama kepada orang yang memerlukan, kepada orang miskin, fakir dan sebagainya. 

Ini adalah amalan untuk kita lakukan jika kita ingin menjadi kaya. Selesai minum, saya pun membayar minuman dan makanan kami dengan niat untuk bersedekah. :-)

Tuesday, 22 March 2016

Life is about giving and serving

Mesej ni saya terima dari seorang kawan (dalam bahasa Inggeris tapi saya translatekan lah. Harap tidak lari maksudnya):

Ada seorang lelaki yang pergi mencari kerja di sebuah syarikat percetakan yang agak besar untuk jawatan eksekutif. Dia lulus pada temuduga yang pertama dan akan berjumpa dengan Pengarah Syarikat untuk temuduga akhirnya. Pengarah Syarikat tersebut telah melihat biodata lelaki tersebut, sungguh cemerlang. Kemudian bertanya:

"Ada terima biasiswa untuk persekolahan anda?" Budak lelaki tersebut menjawab : "Tiada". "Adakah ayah awak yang membayar persekolahan anda?" "Ya". Jawab budak lelaki tersebut lagi. "Ayah awak kerja apa?" "Ayah saya bekerja sebagai seorang Tukang besi."

Pengarah syarikat menyuruh budak lelaki itu menunjukkan tapak tangannya. Budak lelaki itu pun menunjukkan tangannya yang bersih, lembut dan sempurna. "Pernah menolong ayah awak dengan kerjanya?", tanya pengarah tersebut. "Tidak pernah, kedua ibubapa saya selalu inginkan agar saya belajar dan membaca buku. Lagipun ayah saya lebih tahu dan berpengalaman dengan kerjanya dari saya.

Pengarah syarikat tersebut berkata lagi:
"Saya ada satu permintaan: Bila awak balik hari ini, cuba basuhkan tangan ayah awak dan datang berjumpa dengan saya esok pagi."

Pemuda itu merasa peluang dia untuk dapatkan jawatan itu adalah tinggi.

Apabila dia balik ke rumah, dia minta izin dengan ayahnya untuk membasuh tangan ayahnya itu. Ayahnya terasa pelik, gembira tetapi dengan perasaan yang bercampur-campur dan menghulurkan tangannya kepada anaknya itu. Pemuda itu kemudian membasuh tangan ayahnya, sedikit demi sedikit. Pertama kali dia melihat tangan ayahnya itu, dia dapati tangan ayahnya mempunyai kedutan sana sini dan calar serta bekas-bekas luka sana sini. Sesetengah luka tersebut terasa agak sakit, apabila, anaknya membasuh tangan tersebut, si ayah sedikit menggeletar.

Ini adalah kali pertama pemuda ini sedar akan makna sepasang tangan tersebut yang telah setiap hari bekerja untuk perbelanjaan sekolahnya. Calar-calar yang terdapat di tangan ayahnya adalah bayaran/harga yang ayahnya bayar untuk persekolahannya, aktiviti sekolah serta masa hadapannya.

Selepas membasuh tangan ayahnya, dia berdiri memandang ayahnya dan kemudian, membantu membersihkan bengkel ayahnya. Malam tersebut, ayah dan anak berbual sangat lama (untuk pertama kalinya).

Esok paginya pemuda tersebut pergi berjumpa dengan pengarah syarikat tempat temuduganya pada hari sebelum itu. Pengarah tersebut dapat melihat air mata di sudut mata anak muda tersebut dan kemudian bertanya : " Boleh awak beritahu apa yang telah awak lakukan semalam dan apa yang telah awak pelajari?"
Pemuda itu menjawab "Saya telah membasuh tangan ayah ku dan selepas itu membantunya membersihkan bengkel nya".

"Sekarang aku tahu apa yang perlu aku hargai dan sedar bahawa tanpa ibubapa ku, aku bukan siapa-siapa pada hari ini. Dengan membantu ayahku aku sedar betapa sukar dan payah untuk aku membuat sesuatu itu dengan sendiri. Aku telah mula menghargai nilai dan pentingnya membantu keluargaku".

Pengarah itu kemudian berkata: " Ini yang kami cari dalam diri seseorang. Kami ingin melantik seorang yang tahu menghargai bantuan orang lain, seorang yang tahu kesusahan yang harus orang lain lalui untuk menghasilkan sesuatu, dan seorang yang tahu bahawa duit bukanlah matlamat hidup".

"Awak diterima bekerja di syarikat ini".

Begitulah, anak kecil yang terlalu dimanja , diberi perlindungan yang berlebihan dan diberikan segalanya apa yang dia kehendaki akan membesar dengan mentaliti yang "saya ada hak ...." dan selalu akan meletakkan dirinya dahulu, tanpa menghirau usaha orang lain, orang tua kita, keluarga serta kawan-kawan. Jika kita ibubapa yang terlalu melindungi anak kita, mungkin kita lakukan demikian kerana kita menyayangi mereka, tetapi disebaliknya, kita telah membantu merosakkan mentaliti mereka.

Moralnya:

Dari kecil kita hendaklah mengajar anak-anak kita untuk membasuh pinggan mereka selepas makan, mencuci baju mereka sendiri, memasak makanan untuk ahli keluarga yang lain, mengemas bilik mereka, menyapu rumah, membuang sampah, membersihkan bilik air, mengemas tempat tidur selepas bangun dari tidur dan banyak lagi. Ini mengajar mereka erti bekerjasama dan tanggungjawab kepada diri sendiri dan rumah mereka.

Malu lah kamu sebagai seorang anak jika kamu masih mengharapkan ibu kamu mencuci baju kotor kamu kerana ibu kamu akan tetap berbuat perkara tersebut selagi mereka masih mampu, demi kasih sayang kepada anak-anaknya. Tetapi jika anak tersebut menyayangi ibunya, dia tidak akan tergamak membiarkan ibunya membuat perkara tersebut.

Ada juga yang mempunyai adik beradik yang ramai, kadang kala, bila di suruh membuat kerja-kerja rumah, akan tolak menolak antara satu dengan lain. Misalnya bila kakak yang tua yang disuruh membuat sesuatu kerja, dia akan menyuruh adiknya melakukan kerja tersebut, dan adiknya ni, jika mempunyai adik lagi akan menyuruh adik nya lagi untuk membuat kerja itu, seterusnya sehingga kepada anak yang bungsu, yang tiada orang lain lagi untuk disuruh, maka dia lah yang akan melaksanakan tugas yang disuruh tersebut. Kerja-kerja rumah itu di lihat sebagai beban tanpa ada rasa tanggungjawab untuk membantu kedua orang tua.

Anak-anak perlu belajar cara untuk bekerjasama dan bertolak ansur dalam kekeluargaan. Bagaimana untuk bermain dengan orang lain, berkomunikasi dan berinteraksi. Jika sesama keluarga sendiri, adik kakak, sepupu, nenek, makcik, pakcik dan keluarga kita sendiri kita tidak dapat melakukannya, besar kemungkinan dengan sesiapapun kita temui, kita tidak mungkin akan dapat melaksanakannya.

Anak-anak juga perlu untuk menghargai setiap usaha yang orang lain berikan kepada mereka, bukan hanya dari kedua ibu bapa mereka sahaja tetapi dari seluruh keluarga mereka, orang-orang yang lebih tua dari mereka. Kepayahan ahli keluarga lain dalam membantu ibubapa kita membesarkan kita. Mereka perlu tahu bahawa, pengalaman hiduplah yang membantu seseorang mengatasi kepayahan hidup menuju kecemerlangan. Setiap kita memerlukan ahli keluarga kita yang lain untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Jika kita tidak dapat menghargai pemberian yang sedikit, kita mungkin tidak akan dapat menghargai pemberian yang melimpah ruah. Keluarga lah yang akan membantu jika kita dalam kesusahan. Kamu boleh membenci keluarga kamu tapi kamu kena ingat bahawa mereka lah juga yang akan mengurus jenazah kamu / jenazah ibu bapa kamu nanti.

Pada anak-anak yang terasa susah untuk diterima bekerja di mana-mana syarikat kecil atau besar, cuba kita muhasabah diri. Bagaimana sikap kita terhadap keluarga kita. Kita perlu perbaiki sikap terhadap keluarga kita dahulu, terutama ibubapa dan adik beradik kita, serta keluarga kita yang lebih tua dari kita seperti datuk, nenek, makcik pakcik. Mungkin ada kesilapan yang pernah kita lakukan terhadap mereka yang masih belum dimaafkan oleh mereka atau yang masih tersemat di hati mereka yang menggagalkan kamu untuk mencapai impian kamu. Memang kadang kala macam tiada kaitannya, tetapi percayalah, cuba minta maaf dari mereka dengan hati yang ikhlas, saya percaya, rezeki akan datang mencurah-curah. InsyaAllah.  

Semua perkara yang dilakukan di luar sana , apa yang kita berikan pada orang bermula dari rumah. -- Life is about giving and serving and these qualities are taught in our home.