Friday 18 April 2014

Taman binatang - Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Haha, teringat salah satu lagu dari album Tegar iaitu "Ke Taman binatang" iaitu ke zoo. Zoo mana lagi, ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi lah.... Pada penghujung tahun lepas, kami berhasrat untuk membawa cucu kami (Hirzi) yang berumur 3 tahun lebih ke zoo melihat haiwan-haiwan di sana. Kami sendiri sudah 4 atau 5 kali ke zoo berkenaan. Ada masa-masa tertentu, hati kita akan rasa tenang hanya dengan melihat telatah haiwan-haiwan ini. Ianya memberi pengalaman yang berbeza setiap kali kami ke sini.

Tiket masuk ke zoo ni ialah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak (di bawah 17 tahun). Kanak-kanak di bawah 3 tahun free dan kepada OKU juga free.Sepatutnya kami bayar RM55 tapi kena bagi diskaun pula RM5. Maknanya, free lah si Hirzi ni masuk.

Kami pun masuklah ke zoo berkenaan dan mulakan perjalanan dengan melihat burung-burung. Namun, tidak banyak pulak burung berbanding dengan lawatan kami ke sana sebelum ini. Apa pun, kami teruskan juga. 

Ni lah perjalanan kami melihat burung-burung yang terdapat di situ.  Yang merah tu sebenarnya burung kakak tua. Tapi semasa kami limpas masuk ke kawasan tersebut, dia hanya diam sahaja.
Selepas kawasan burung, kami melimpasi burung hornbill dan kura-kura. Burung Enggang (atau hornbill) ini pernah digunakan sebagai jata negeri Sabah yang pertama semasa pembentukan Malaysia. Mungkin ada juga anak-anak muda di luar sana yang tidak tahu.  

Baru sampai ke kawasan gajah ni, Hirzi sudah kepenatan dan kepanasan katanya. Budak zaman sekarang, jalan sikit pun sudah penat... haha. Tetapi melihat telatah dan reaksinya terhadap haiwan-haiwan di sana, memang dia gembira melihat haiwan-haiwan tersebut. Ada ketika, dia cuba menakut-nakutkan atuknya apabila melintasi kawasan gajah dan harimau, padahal dia lah yang paling kecil yang mungkin boleh di makan oleh haiwan-haiwan tersebut... haha

Selepas melintasi kawasan gajah ni, kami teruskan perjalanan ke kawasan beruang madu atau beruang matahari (sun bear) dan harimau. Kami lihat, beruang madu yang terdapat di kawasan ini telah semakin membesar. Pertama kali kami ke sini 2 atau 3 tahun lepas, beruang tersebut sangat kecil. Kami gembira apabila mendapati beruang berkenaan sihat membesar. Harimau pulak sering menunjukkan kemalasannya apabila kami ke kawasannya. Namun, kali ini, harimau berkenaan, sempat berjalan-jalan sambil mengaum dan masuk ke dalam air. Mungkin harimau berkenaan kepanasan. 

Setelah itu, beberapa haiwan lagi yang sempat kami lawati adalah seperti kongkang dan monyet belanda atau monyet bangkatan. Monyet belanda ini juga sangat unik dan popular di Sabah. Disebabkan bentuk fizikal dan ketangkasannya, haiwan ini pernah digunakan sebagai mascot untuk acara Sukan Malaysia (Sukma) Sabah 2002.

Kemudian kami ke kawasan orang utan. Orang utan juga adalah salah satu iconic untuk negeri Sabah. Haiwan ini seperti tahu ianya di tontoni oleh pengunjung, dan ia kemudian membuat beberapa aksi-aksi yang menarik. Saya perhatikan, pengunjung begitu terhibur dengan aksi-aksi spontan orang utan ini. Kebanyakan orang utan ini boleh didapati di daerah Sandakan. Ini lah satu-satunya tempat di mana kita boleh melihatnya secara dekat di sebelah pantai barat Sabah.

    Memandangkan hari semakin senja, lawatan kami ke zoo berkenaan terpaksa dipercepatkan. Kamilah antara pengunjung yang akhir pada hari tersebut. Hujan pun renyai-renyai turun membasahi kawasan berkenaan. Kami yang tidak membawa payung terpaksa mempercepatkan langkah. Pada kunjungan kali ini, kami tidak berkesempatan melihat ular. Namun, banyak juga haiwan lain yang dapat kami lihat seperti di bawah ini. Pony, tembadau, ostrich .....

Semasa melintasi kawasan sang kancil, Hirzi kemudian menyatakan. Kenapa macam kucing? Apa yang macam kucing? Kancil kah yang dikatakan seperti kucing. Hirzi memang suka kan kucing. Mungkin apa bila melihat kancil ni, dia rasakan ianya comel seperti kucingnya di rumah. Ha ha 
Tetapi yang lucunya, apabila melewati kawasan yang berbau, ini lah pula aksinya: 
Ha Ha Ha Hirzi memang alah dengan bau-bauan. Apa sahaja bau yang tidak menyenangkan memang dia akan terus lari.
Akhir sekali kami kembali semula ke kawasan burung sebelum kami keluar dari kawasan tersebut. Burung kakak tua yang sebelum ini diam sahaja, begitu ceria melayan dan mengajuk apa yang diperkatakan oleh budak-budak. Bye-bye burung... burung berkenaan juga mengucapkan bye bye kepada kami.


3 comments:

  1. Correction: Hornbill in Bahasa Malaysia is Burung Enggang. Meanwhile Burung Raja Udang is Kingfisher when translated to English... Edwin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq. Edwin for the correction. I will amend. Thanx. :-)

      Delete