Thursday, 25 February 2016

Kisah suatu majlis perkahwinan

Tujuan untuk berkongsi kisah ini bukan untuk mengaibkan sesiapa dengan membuka pekung di dada dengan menceritakan kisah yang berlaku ini. Saya harap kisah ini dapat memberi sedikit keinsafan (termasuk diri saya sendiri). Kadang-kadang kita mahu semua orang faham akan kehendak kita, kita mahu semua orang turuti kemahuan kita, tetapi kita lupa, banyak hati terluka dengan kepayahan yang harus mereka hadapi hanya untuk memenuhi kehendak dan kemahuan kita tu. Kadang, kita tidak tahu apa yang kita inginkan itu boleh memudaratkan kita. Sebagai orang tua pula, kita sering serba salah, dengan turuti kehendak anak dan keinginan untuk melihat mereka gembira. Walau kita tahu jalan yang mereka lalui nanti dipenuhi dengan liku-liku dan duri, kita perlu juga biarkan mereka memilih hidup mereka. Kita hanya sebagai penyuluh untuk memudahkan mereka melalui liku tersebut, tetapi kita tidak dapat sering bersama mereka melaluinya. Mereka harus harunginya sendiri. Kita hanya berdoa agar kehidupan mereka akan bahagia sehingga ke akhir hayat. .

Saya mempunyai 7 orang anak tiri.Anak yang kedua telah 5 atau 6 tahun kahwin. (sorry ndak berapa ingat tarikh dia kahwin). Kemudian, anak sulung pulak nak kahwin ni. Kami dimaklumkan dia baru kenal beberapa bulan dengan lelaki ni. Sekarang dia sudah mo kawin pulak.Di pendekkan cerita, dia pun bertunang dengan pilihan hati nya. Walaupun si ayah seperti berat hati mahu menerima, disebabkan belum berapa kenal hati budi lelaki berkenaan. Lagi pun, si anak juga baru beberapa bulan bekerja, belum puas merasa duit sendiri lagi. Kenapa perlu terburu-buru hendak berkahwin? Semasa bertunang, mereka sepakat akan berkahwin dalam setahun selepas itu.

Selepas bertunang mereka senyap seribu bahasa. Bila di tanya mengenai persiapan yang akan dibuat, macam acuh ndak acuh ja menjawab. Dia tak nak bersanding, tak nak buat besar-besar, tak nak membazir katanya. Yang penting, kehidupan selepas berkahwin, buat apa buat majlis besar-besar. OK, saya pun sedar, mungkin, saya terlebih-lebih inginkan itu ini, saya suruh dia membeli barang-barang untuk hantaran dan sebagainya. Saya faham mungkin itu sudah keterlaluan dan membebankan, jadi saya hanya menurut kehendaknya. Diamkan saja segalanya. Biarlah dia yang membuat persiapan dalam hatiku berkata.

Setelah lebih kurang 8 bulan bertunang, kami dikejutkan khabar bila mereka berdua datang ke rumah semasa dalam bulan puasa. Mereka hendak berkahwin. Mereka menyuarakan kehendak mereka kepada ayahnya. Tetapi pihak lelaki tidak dapat memenuhi permintaan kami mengenai wang hantaran. Si ayah seperti faham kehendak mereka, si ayah pun bersetuju untuk nikahkan walau tiada wang hantaran, tetapi kena juga sediakan beberapa ratus ringgit sekadar untuk membuat kenduri, jemput saudara terdekat. RM500 tidak kurang. Pihak lelaki setuju, dia memaklumkan bahawa, dari pihak lelaki, hanya dia seorang akan datang, tiada saudara mara lain, tiada mak, nenek dan pakciknya yang pernah datang ke rumah semasa mereka bertunang. Sekali lagi, walaupun berat hati si ayah, dituruti sahaja kehendak anaknya untuk bernikah. Itu kemahuannya. si ayah tidak mahu nanti jika tidak dituruti kehendak anak, mereka akan berbuat sesuatu yang memalukan keluarga. Tarikh pernikahan ditetapkan dalam masa 3 bulan selepas mereka datang ke rumah. (walaupun mereka mahu diadakan selepas hari raya tu juga).

Selepas tu, si ayah berpesan kepada ku, tolonglah cari-carikan baju pengantin, katanya. Adikku ada beberapa baju pengantin yang kami pakai semasa pernikahan kami. Tetapi, baju yang sama juga telah anak tiriku yang kedua pakai semasa mereka kahwin. Takkan mo pakai baju yang sama juga, dalam hatiku berkata-kata. Aku pun bertanya kepada birasku, isteri kepada iparku. Dia mengambil tempahan untuk menjahit baju termasuk baju pengantin. Pada ketika tu, ngam pulak ada sepasang baju putih yang ditempah orang untuk majlis pernikahan. Tetapi baju tu tidak jadi dipakai oleh pengantin tersebut. Dapatlah anakku pakai baju tu. Dan sepasang lagi baju yang dia jahit juga. Sudah di pakai oleh adiknya semasa kahwin di kampung. Tetapi, ok lah, jika baju itu sesuai dan muat dengan anakku, tiada masalah untuk memakainya. Selesai masalah baju pengantin.

Mengenai persiapan-persiapan lain, tiada bajet yang banyak digunakan. Saya minta kepada adik yang menyimpan kain-kain lebihan semasa perkahwinan adik dan abang ku sebelum ini. Tema: Gunakan apa yang ada. Kami sepakat dengan biras dan iparku, mereka setuju untuk buatkan pelamin. Gunakan sahaja kain-kain lebihan dia menjahit dan aku membawa kain-kain lebihan perkahwinan adik dan abangku. Semua perkakas yang digunakan untuk pelamin adalah perkakas dan peralatan yang sedia ada. Kecuali bangku pelamin dan papan plywood untuk dijadikan stage yang kami beli dengan harga RM65. Iparku setuju sponsor bangku yang sewanya berharga RM200 bersama 3 lagi pasang baju pengantin. Selesai masalah pelamin, walaupun pada awalnya anak ku tidak mahu bersanding. Tetapi bila melihat pelamin yang cantik, takkan pengantin ndak mahu duduk di pelamin kan. hahaha

Bunga pelamin dan door gift yang digubah dan dibuat sendiri

Pada mulanya tiada rancangan mahu buat kek. Disebabkan tiada bajet yang khusus. Lagipun, belum gaji kan. Namun, rezeki yang Allah berikan datang dalam pelbagai bentuk. Mak saya sedia berikan lebihan duit-duit Brunei kepada saya untuk ditukar ke ringgit Malaysia. Duit Brunei tu adalah lebihan duit semasa singgah di Brunei sewaktu beliau mengerjakan umrah. Setelah dikumpul ada juga lebih 400 duit Brunei tersebut. Dapatlah dalam RM200 lebih. Duit tu lah saya buatkan kek untuk majlis perkahwinan anak saya ni. Di masa lapang atau setiap kali hari raya, saya memang suka buat kek batik. Kek batik saya ditempah oleh keluarga sendiri sahaja. Tetapi ini lah pertama kali saya buat kek perkahwinan. Dengan kek batik tersebut saya hias jadikan kek perkahwinan yang cantik ( hahaha puji diri sendiri ya). Tapi malangnya saya tidak dapat gambar kek bertingkat tersebut disebabkan bateri hp saya habis semasa acara memotong kek. :-( Apa pun, saya bersyukur, selesai masalah kek pengantin.

Ini lah kek yang saya buat. Bunga di bawah tu di letak di atas kek dan kek ni kononnya 3 tingkat lah.

Bila tarikh pernikahan semakin dekat, kami ingatkan pengantin mengenai persiapan kursus kahwin dan borang nikah. Si ayah mengambil keputusan untuk menikahkan anaknya di kampung, iaitu di Kudat tempat nenek sebelah pengantin perempuan. Seminggu sebelum tarikh tersebut, kami pun menghantar pengantin perempuan dahulu ke Kudat, bersama mak dan adiknya yang lain. Kemudian , kami ke pejabat JHAEINS Kudat untuk menempah imam. Bila kami berikan borang nikah tersebut, kakitangan di situ mengatakan borang tersebut belum lengkap. Perlu ada kebenaran nikah luar daerah, disebabkan alamat yang digunakan adalah alamat KK.  Kami pun balik semula ke KK dan pada keesokkan harinya si ayah bersama bakal pengantin lelaki pergi ke pejabat JHEAINS KK dan memohon kebenaran nikah luar daearah. Sehari suntuk si ayah berurusan dan saya hanya mampu berdoa agar semuanya dipermudahkan. Petang, si ayah balik, keletihan. Untuk pengantin lelaki, surat kebenaran nikah luar daerah telah diperolehi, setelah alamat di Wilayah Persekutuan Labuan ditukar ke alamat Putatan (alamat rumah adikku :-)) . Itu pun terpaksa ke pejabat JHEAINS Putatan untuk mendapatkan borang kebenaran luar daerah dan bukannya di MUIS KK.
 Dia katakan lagi, anaknya belum dapat kebenaran nikah luar daerah sebab borang nikah tersebut belum ditandatangan oleh pengantin perempuan. Pegawai JHEAINS tidak dapat memproses sebab takut perkahwinan ini adalah perkahwinan yang dipaksa oleh orang tuanya. Satu surat sumpah yang ditandatangan oleh pesuruhjaya sumpah perlu dibuat jika pengantin perempuan tidak menandatangan borang nikah tersebut. Setelah makan dan berfikir, kami pun mengambil keputusan untuk mengambil semula anaknya di Kudat untuk menguruskan borang nikah tersebut. Disebabkan ayahnya yang keletihan, adik iparku bersetuju untuk menjadi pemandu kami. Kami akan balik semula ke KK pada malam itu juga. Perjalanan ke Kudat mengambil masa 3 jam dari KK. Kami bertolak dari KK dalam jam 8 malam, sampai di Kudat sekitar jam 11 malam dan sampai semula ke KK dalam jam 4 pagi.  Kami tidur dan rehat sehingga pejabat buka dalam jam 8 pagi.

Hari itu kami akan terus balik ke Kudat menghantar borang nikah tersebut di pejabat JHEAINS Kudat selepas urusan di MUIS KK. Itu pun jika sempat. Kami mengambil adik iparku dahulu yang akan membantu kami menjadi tukang masak semasa majlis pernikahan di Kudat. Dia ikut kami sekali ke Kudat. Selepas itu kami pun ke MUIS dan menyuruh bakal pengantin tersebut mengurus borang mereka. Selang beberapa minit, mereka menelefon, dan si ayah perlu ada juga. Sijil nikah si ayah dan ibunya belum dimasukkan di dalam sistem. Disebabkan bakal pengantin ni anak pertama, maka perlu dimasukkan dahulu ke dalam sistem untuk pengesahan. Selepas itu, barulah kebenaran diberikan untuk menikah luar daerah. Kami perlu ke pejabat JHAEINS Kudat lagi untuk menghantar borang nikah tersebut untuk didaftarkan. Tanpa berlengah, kami pun bertolak ke Kudat. Sesampai di Kudat, dalam jam 3 lebih. Disebabkan keesokkan harinya adalah hari terakhir pejabat buka sebelum cuti Hari raya Haji / Korban , takut2 juga jika semua orang sudah balik. Nasib masih ada orang di pejabat. Tetapi, apabila mereka menghantar borang tersebut, terdapat lagi keperluan yang mesti diberikan iaitu salinan kad pengenalan kedua-dua pengantin. Si ayah terasa begitu keletihan, kerana, borang tersebut belum selesai lagi. Apa pun, terpaksa juga terima kehendak mereka, terpaksa borang tersebut dihantar pada keesokan harinya. Setelah membuat salinan kad pengenalan, barulah lengkap borang tersebut. Selesai juga masalah borang. Fuhh.

Sesampai kami di Kudat pada kali ketiga dalam minggu tu, kereta kami mengalami masalah. Saya bersyukur juga, ini semua terjadi setelah kami sampai di Kudat. Kalau di tengah jalan, memang lagi susah. Bateri kereta kami angkang (ndak tahu apa dalam BM angkang ni hihi). Mungkin ulang alik KK-Kudat beberapa kali, dan air bateri juga kami tidak periksa. Tapi, kalau di kira, bateri kereta tu memang masuk 2 tahun. Memang sudah sampai masanya untuk diganti. Tetapi, timing tu sahaja yang mungkin agak kritikal sedikit, sebab masa tu juga banyak mahu perlu gunakan duit untuk majlis pernikahan. Memandangkan hari sudah lewat petang, kami tidak dapat gantikan bateri kereta tersebut. Terpaksa tunggu keesokkan hari untuk beli bateri baru. Sementara itu, kisah kejadian yang tertimpa-timpa ini, belum berakhir. 

Oleh kerana adik beradik pengantin ni ada 6 orang lagi, dan seorang pulak sudah berkahwin, maka, untuk semuanya naik satu kereta memang tidak muat. 3 orang adiknya menaiki kereta lama kami. Selesai sahaja kami makan tengahari, kami ditelefon oleh menantu kami yang memandu kereta tersebut bahawa kereta mereka mati di tengah jalan. Iaitu dekat dengan tanah merah. Jauh juga kalau dari Kudat. Tetapi dekat sikit kalau ke Kota Marudu. Maka si ayah pun bergegas ke tempat kejadian, kesian, cucunya yang baru 5 tahun pun di situ juga. Kereta yang tadi ada masalah bateri, terpaksa diguna juga. Ditolak oleh anak-anak buahnya dan diguna untuk mengambil cucunya dan 3 orang anaknya dan dihantar ke Kudat. Selepas itu, mereka kembali ke tempat kejadian, dan menarik kereta lama kami tu ke bengkel di Kota Marudu. Lebih kurang selepas maghrib, mereka sampai di Kudat. Aku pun siapkan makanan untuk suamiku. Memang penat dan letih. Selepas beberapa minit makan malam, dia di telefon lagi oleh menantunya mengatakan bahawa, kereta tidak dapat disiapkan hari tu, pirate ke Kudat sudah tiada, dan mereka menunggu di bengkel di Kota Marudu. Untuk ke Kota Marudu, memakan masa sejam, dengan keadaan kereta kami yang mempunyai masalah bateri, kami tidak tahu, kami dapat kah tidak mengambil mereka di Kota Marudu. Kami bertanya dengan ipar-ipar ku semua tidak dapat meminjamkan kereta mereka untuk mengambil menantu, anak lelaki dan seorang anak buah laki ku di Kota Marudu. Akhirnya, kami mencuba semula menggunakan kereta kami untuk ke sana. Saya maklumkan kepada suamiku, biarlah aku ikut sekali, boleh juga aku berganti-ganti memandu jika suamiku kepenatan. Semasa kami mencuba menghidupkan kereta, kawan suamiku yang tinggal berdekatan datang menghampiri, dan sedia membantu kami. Dia membantu kami menghidupkan injin kereta dengan jumper dari kereta iparku. Kami pun pergi ke Kg Kokol (lebih kurang 30 minit perjalanan masuk ke pedalaman kampung dari pekan Kota Marudu) iaitu kampung menantu kami kerana mereka telah diambil oleh abangnya. Keadaan masa tu agak renyai-renyai hujan. Jika mereka tunggu di bengkel, memang bernyamuk dan basah. Sesampai kami di rumah kampung menantu kami dijemput untuk minum dahulu. Tanpa mematikan injin kereta, kami singgah minum di rumah keluarga menantu kami tersebut. Setelah itu kami pun balik ke Kudat. Sesampai di Kudat, lebih kurang jam 11 malam. Kami pun keletihan, tidur.

Keesokan harinya kami menghantar kedua pengantin untuk ke pejabat JHEAINS dahulu. Sebelum itu kami terpaksa membuat jumper lagi untuk menghidupkan injin kereta di awal pagi. Selepas itu kami pun menukar bateri kereta kami. Nasib baik tiada perkara buruk berlaku kepada kereta kami. Bateri tersebut memang tidak dapat digunakan lagi, airnya kering habis. Syukur lah juga. Setelah menukar kepada bateri baru, kami pun ke Kota Marudu menghantar menantu kami untuk mengambil kereta kami yang satu lagi, di bengkel. Setelah menghantar menantu yang ditemani anak lelaki kami ke bengkel, kami pun ke tempat menjual ayam / daging. Mereka tidak menyatakan apa-apa masalah atau kemungkinan masalah yang mungkin dihadapi. Kami pun balik ke Kudat setelah membeli barang keperluan untuk majlis kenduri. Semasa dalam perjalanan balik, kami ditelefon oleh menantu kami. Dia menyatakan bahawa dia tidak cukup duit untuk membayar kerosakan kereta. Jumlah keseluruhan adalah RM700 dan dia cuma ada RM300 sahaja, belum termasuk tayar yang terpaksa diganti sebab tiada bunga langsung. Suami ku pun cakap, " menantu hantu ni". hahaha Kami pun berpatah balik dan memberikan baki duit yang diperlukan. Selesai masalah berkaitan kenderaan. Duit untuk majlis pernikahan, banyak dihabiskan untuk baiki kedua-dua kereta kami. Itu belum masuk bayar insuran dan roadtax setelah kami balik dari Kudat. Apa pun kami bersyukur, tiada masalah yang serius berlaku.


Acara pernikahan ini diadakan 2 hari selepas Hari Raya Haji. Acara berinai diadakan pada hari Jumaat, dan nikah dan terus bersanding dan potong kek diadakan keesokan harinya pada sebelah petang dan malam. Syukurlah, setelah itu semuanya berjalan seperti yang dirancang. Walaupun ada sedikit salah faham dengan majlis gunting rambut anak adik iparku dengan majlis berinai. Sepatutnya diadakan sekali sahaja dan tidak perlu diadakan berasingan. Tetapi, semuanya dapat diatasi dengan baik. Semua masalah selesai. Yang tinggal hanya penat. Setelah beberapa bulan, kami masih terasa penat.

Pengantin bersama kedua ibu bapa


Saya harap, suatu hari anak saya dapat membaca coretan saya ini. Cuma saya harap, ambillah iktibar dari apa yang telah dilakukan oleh ayah kamu untuk menunaikan hasrat dan impian seorang anak. Segala kepayahan dan pengorbanannya memang tidak akan dapat di balas oleh seorang anak. Oleh itu, jangan mudah untuk menginginkan perceraian. Proses pernikahan kamu penuh dengan rintangan. Memang tidak dinafikan, cabaran dan rintangan akan menjadi lebih besar lagi setelah berkahwin. Hadapilah masa depan kamu dengan penuh keinsafan sebab, jalan ini adalah pilihan kamu sendiri. Semoga kamu berjaya menempuhinya.






No comments:

Post a Comment